Parlimen Malaysia mula persidangan terakhir, kemungkinan dibubar dalam masa terdekat

Pembubaran Parlimen akan berlaku selepas pembentangan Belanjawan 2023 bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum, kata para penganalisis.
Ray Sherman & Noah Lee
2022.10.03
Kuala Lumpur
Parlimen Malaysia mula persidangan terakhir, kemungkinan dibubar dalam masa terdekat Sidang Dewan Rakyat yang dihadiri Ahli-ahli Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 16 Julai, 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Parlimen Malaysia memulakan sesi mesyuarat terakhir untuk tahun ini pada Isnin, dengan ramai penganalisis politik percaya bahawa ia berkemungkinan akan dibubarkan selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada hujung minggu ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Badan kepimpinan utama parti UMNO yang mengetuai kerajaan persekutuan pada Jumaat lepas juga telah memutuskan supaya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat diadakan tahun ini, walaupun tidak mengumumkan tarikh pembubaran tersebut, dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang sebelum ini dilihat menentang idea tersebut, dilihat antara yang bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Sekiranya pembubaran berlaku, Malaysia akan mengadakan PRU15 pada tahun ini bagi memilih kerajaan baru negara itu, yang keempat dalam tempoh empat tahun.

"Ia akan berlaku tidak lama lagi. Mungkin selepas Belanjawan 2023 dibentangkan dan diluluskan, kecuali jika kerajaan mahu memaksakannya (diluluskan)," kata Lau Zhe Wei, seorang profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memberitahu BenarNews.

Kata beliau, Perdana Menteri tidak mempunyai pilihan, melainkan beliau berani melanggar pendirian partinya berkenaan pembubaran Parlimen.

"Ismail Sabri boleh berharap bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menolak tarikh yang akan dipersembahkannya nanti, tetapi itu adalah satu pertaruhan yang besar," tambah Lau.

Perdana Menteri memerlukan persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh matangnya sampai pada 23 September 2023.

Lau bagaimanapun berkata, walaupun Agong mempunyai hak untuk menolak cadangan supaya Parlimen dibubarkan tahun ini, Tuanku dipercayai berkemungkinan tidak akan masuk campur dalam keputusan politik.

Pada 30 Sept, UMNO yang merupakan parti politik terbesar di Malaysia mengumumkan keputusannya bahawa sudah tiba masa untuk Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 dilaksanakan pada tahun ini, satu tindakan yang ditentang pelbagai pihak terutama sekali pembangkang disebabkan musim tengkujuh yang dijangka akan melanda negara tidak lama lagi.

Pada musim tengkujuh tahun lepas, Malaysia telah melihat kemusnahan terburuk akibat banjir dengan ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan besar yang dianggarkan mencecah sejumlah RM6 bilion (AS$1.29 bilion).

Jabatan Meteorologi Malaysia pada bulan lepas telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang yang dijangka akan berlaku antara Oktober dan November, ketika negara melalui fasa transisi ke musim tengkujuh, selepas berakhirnya musim monsun barat daya.

Para pengkritik turut menyelar pendirian UMNO yang berkeras mahukan pilihan raya diadakan segera sebagai satu "langkah terdesak" untuk melengah atau masuk campur dalam kes mahkamah yang sedang berjalan terhadap beberapa pemimpin parti berkenaan, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, walaupun perkara itu dinafikannya.

Ismail Sabri yang merupakan salah seorang daripada tiga naib presiden UMNO pada hujung minggu lalu berkata bahawa beliau turut bersetuju dengan empat lagi pemimpin utama parti supaya pilihan raya diadakan tahun ini, walaupun sebelum ini beliau menyuarakan pendirian untuk memberikan fokus kepada memulihkan ekonomi yang terjejas oleh pandemik COVID-19 terlebih dahulu sebelum memanggil PRU15.

"Kami akan menggunakan satu kenyataan sahaja. Ia adalah kenyataan yang dikeluarkan setiausaha agung parti, Ahmad Maslan, pada 30 September lalu. Kami sudah menyatakan banyak kali sebelum ini bahawa kita perlu mempercepatkan pilihan raya dan kita mahu mandat dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

"Tidak ada syarat dikenakan oleh sesiapa untuk mengadakan pilihan raya tahun ini. Kalau kita nak buat pilihan raya ada asas yang kuat untuk dipercepatkan; dan kita setuju secara bersama. Cuma tarikh itu, tunggulah," kata Ismail kepada media pada Sabtu.

Lau menjangkakan bahawa Barisan Nasional yang diketuai UMNO akan memenangi PRU15 dengan majoriti tipis.

"Ia tetap satu kemenangan... Dan mereka akan terus memerintah... Tidak ada keperluan untuk menandatangani sebarang perjanjian dengan pembangkang bagi memastikan kestabilan sekiranya BN mampu menang sendiri dan membentukan kerajaan," tambahnya.

Memilih kerajaan baru

James Chin, pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania berkata kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini adalah tinggi.

"Ia akan diadakan dalam masa terdekat. Sesi Parlimen kali ini akan menjadi persidangan terakhir," kata beliau kepada BenarNews, merujuk kepada sidang yang bermula pada Isnin.

Walaupun sentimen rakyat pada waktu ini sukar dijangka, Chin berkata rakyat Malaysia secara amnya sudah berasa "letih" dengan ketidakstabilan politik, ekonomi yang teruk, dan mereka memerlukan keadaan ekonomi dipulihkan semula.

"Rakyat memerlukan kestabilan politik," kata beliau.

Ketidakstabilan politik di dalam negara telah mengakibatkan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali sejak 2018.

Kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir Mohamad telah dijatuhkan pada 2019 selepas hanya 22 bulan memegang kuasa. Pemerintahan negara kemudiannya telah diambil alih oleh Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dengan dukungan daripada UMNO serta parti Islam PAS.

Pada tahun lepas, Malaysia sekali lagi melihat perubahan kuasa kerajaan apabila Muhyiddin meletakkan jawatan dan digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob dari parti UMNO.

Bagi memastikan kestabilan politik di dalam negara, Ismail Sabri kemudiannya telah memeterai satu perjanjian dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, dengan salah satu syarat yang dipersetujui kedua pihak adalah supaya pilihan raya tidak diadakan sebelum 31 Julai 2022.

Akan tetapi, walaupun Ismail Sabri adalah perdana menteri pada waktu ini dan tidak mempunyai sebarang kes jenayah, pemimpin itu dipercayai tidak akan menjadi calon perdana menteri untuk UMNO pada PRU15.

"UMNO adalah parti yang mengikut hierarki secara 'rigid', dan tidak mungkin mereka akan memilih Ismail sebagai calon perdana menteri.

"Sekiranya Zahid tidak boleh menjadi perdana menteri, ia akan jatuh kepada Mat Hasan," kata Chin, merujuk kepada timbalan presiden UMNO Mohamad Hasan.

Sementara itu, di pihak pembangkang pula, calon perdana menteri mereka masih Anwar Ibrahim, tegas penganalisis itu.

Salah masa

Anwar, yang merupakan presiden Pakatan Harapan, berkata UMNO hanya mempunyai 38 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi keseluruhan dalam Dewan Rakyat, dan oleh itu ia tidak mempunyai kuasa untuk memaksa Ismail membubarkan Parlimen.

"Keputusan harus dibuat dengan wewenang PM. Sekiranya PM itu mempunyai kekuatan untuk bertindak dengan waras sebagai perdana menteri," beliau dilaporkan memberitahu media tempatan.

Timbalan Anwar dalam Parti Keadilan Rakyat pula mendakwa bahawa UMNO mahu mempercepatkan PRU15 kerana parti itu berdepan kemerosotan sokongan pengundi Melayu.

Pemimpin parti DAP, salah satu komponen dalam Pakatan Harapan, turut menghentam keputusan UMNO untuk mengadakan pilihan raya awal.

Masa untuk mengadakan PRU15 itu juga turut menimbulkan kemarahan orang ramai.

Di media sosial, seorang netizen Vishnu Kumaran menggesa supaya para pengundi menolak UMNO yang "gila kuasa" kerana tetap mahukan pilihan raya dibuat ketika banjir dijangka melanda.

"Undi jatuhkan ahli politik gila kuasa yang pentingkan kedudukan berbanding rakyat," kata beliau.

Sharan Pretam Singh pula merayu rakyat Malaysia untuk mengundi bagi menjatuhkan UMNO.

"Mari tunjukkan mereka dan kita keluar mengundi beramai-ramai untuk menjatuhkan mereka.

Tolonglah, saya merayu pada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama supaya keluar mengundi dan undilah untuk Malaysia yang lebih baik bebas dari rasuah,” katanya.

Pilihan raya umum kali ini dijangkakan akan memakan kos lebih kurang RM1 bilion (AS$219 juta) iaitu dua kali ganda dari jumlah yang digunakan dalam pilihanraya 2018 menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.