Kabinet Akan Putuskan Persidangan Parlimen ‘Hibrid’ Selepas Kajian Terperinci, kata Menteri

Menteri Dalam Negeri pula berpendapat persidangan parlimen yang dibuat ketika pandemik boleh menjadi 'titik panas' penularan COVID-19.
Noah Lee
2021.06.04
Kuala Lumpur
Kabinet Akan Putuskan Persidangan Parlimen ‘Hibrid’ Selepas Kajian Terperinci, kata Menteri Bantahan secara aman oleh kumpulan hak asasi di hadapan bangunan Parlimen dalam usaha mempertahankan kebebasan bersuara susulan pelaksanaan Ordinan Darurat Kuasa Kuasa Perlu (No.2) 2021, di Kuala Lumpur, 14 Mac, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Malaysia telah "bersetuju secara dasar" untuk mengadakan sidang Parlimen secara "hibrid", kata menteri undang-undangnya pada Jumaat, ketika gesaan semakin memuncak supaya semua wakil rakyat dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka selepas Parlimen digantung sejak darurat dilaksanakan Januari lalu.

Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata keputusan akhir mengenai langkah mengadakan sidang Parlimen hibrid akan dibuat kabinet selepas satu kajian terperinci untuk melihat keperluan sidang secara fizikal atau maya dibuat terlebih dahulu.

Pada hari yang sama juga, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pula berkata kerajaan tidak membenarkan persidangan Parlimen diadakan ketika pandemik atas sebab ia boleh menjadi 'titik panas' penularan COVID-19 kerana lebih seribu pegawai kerajaan, kakitangan parlimen, pemandu serta petugas lain akan berada untuk bertugas di bangunan berkenaan.

Takiyuddin, dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Putrajaya berkata kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisma ke arah perlaksanaan sidang Parlimen hibrid bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya.

"Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid yang berasaskan penyertaan ahli-ahli parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.

"Langkah ini [adakah sidang parlimen hibrid] diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dengan program-program pemulihan yang masih berjalan di semua peringkat," kata Takiyuddin.

Beliau juga memberitahu mesyuarat yang diadakan secara maya antara Menteri berkenaan dengan kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Dipertua pada Jumaat itu telah membincangkan mengenai persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen hibrid dengan merangkumi aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan serta kewangan.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Sidang parlimen secara kacukan, atau hibrid, adalah merupakan satu bentuk mesyuarat yang dijalankan dalam dua mod, iaitu secara fizikal melibatkan sebilangan ahli parlimen yang hadir di bangunan parlimen manakala sebahagian lagi pula bersidang secara maya menggunakan kaedah atas talian atau virtual.

Kerajaan Perikatan Nasional pada 11 Januari lalu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat Proklamasi Darurat bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negara itu dengan proklamasi tersebut berkuatkuasa sehingga 1 Ogos, atau boleh ditamatkan lebih awal mengikut kehendak kerajaan.

Di bawah perintah darurat, kerajaan mempunyai kuasa untuk menangguhkan sidang parlimen melebihi had maksima enam bulan yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Kali terakhir Dewan Rakyat yang menjadi medan untuk ahli-ahli parlimen bersidang adalah pada Disember lepas.

Walaupun Putrajaya mendakwa bahawa proklamasi darurat dibuat bagi membolehkan tindakan yang perlu diambil untuk melawan pandemik COVID-19, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima kecaman hebat pelbagai pihak sejak awal langkah itu dibuat, khususnya parti pembangkang yang mendakwa bahawa ia hanyalah untuk menghalang parlimen bersidang bagi menyelamatkan Perikatan Nasional yang dikatakan tidak mempunyai sokongan yang cukup dari ahli Dewan Rakyat untuk kekal memegang tampuk pemerintahan negara.

Kecaman terhadap kerajaan dan gesaan supaya parlimen dibenar bersidang semula semakin memuncak baru-baru ini, ketika situasi pandemik negara menjadi semakin buruk dengan kes positif harian direkodkan melebihi 5,000 setiap hari sejak 19 Mei lepas.

Bilangan kes harian memuncak pada 29 Mei dengan 9,020, manakala bilangan kes kematian akibat COVID-19 terbanyak dicatatkan dalam negara adalah Rabu (2 Jun) iaitu seramai 126 orang, yang merupakan pertama kali kematian direkodkan melebihi 100 dalam sehari.

Setakat tengah hari Jumaat, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 7,748 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan bilangan kumulatif kes COVID-19 di negara itu meningkat kepada 603,122.

Antara mereka yang lantang mendesak supaya Parlimen dibenarkan bersidang adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said, di mana wakil rakyat kawasan Pengerang dari Parti UMNO itu pada 27 Mei lepas mengeluarkan kenyataan media bahawa "kerajaan tidak seharusnya membungkam proses demokrasi", dan mengutarakan beberapa sebab dan cadangan bagaimana persidangan boleh diadakan semula dengan selamat ketika pandemik.

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mengepalai pembangkang di parlimen turut mengeluarkan gesaan pada 27 Mei supaya Parlimen dibuka semula, menyatakan bahawa "lockdown" politik itu memburukkan lagi situasi pandemik.

"Lockdown kendiri politik ini sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional yang kehilangan majoriti Parlimen. Malangnya lockdown kendiri politik ini tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak dan imbang telahpun memburukkan pandemik COVID-19," kata majlis tersebut dalam satu kenyataan media.

'Mesti capai imuniti kelompok'

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri memberitahu wartawan pada hari sama bahawa kerajaan tidak membenarkan persidangan Parlimen dibuat semasa pandemik kerana akan menjadi 'titik panas' penularan COVID-19.

Menurut beliau, setiap kali Parlimen bersidang, ia akan melibatkan lebih seribu orang iaitu pegawai kerajaan, kakitangan Parlimen, pemandu dan petugas lain yang perlu berada di bangunan kompleks Parlimen.

"Mereka akan duduk di Parlimen dari pagi sehingga jam 5 atau 6 petang, setiap hari dari Isnin hingga Khamis. Bukankah ini akan menjadikan Parlimen satu hotspot? Jadi kalau kita kawal perkara ini sekarang, ia tidak akan menjadi satu kluster jangkitan," kata Hamzah ketika ditemui media di Kuala Lumpur.

Hamzah berkata bahawa perkara yang penting kepada kerajaan buat masa ini adalah untuk memastikan semua orang diberikan vaksin COVID-19 bagi mewujudkan imuniti kelompok, dengan persidangan parlimen boleh dibuat apabila imuniti kelompok berjaya dicapai.

"Kalau sudah semua dapat vaksin, ada imuniti kelompok, apa yang akan berlaku adalah pembukaan Parlimen boleh kita buat, perjumpaan boleh kita buat bila sudah capai tahap imuniti kelompok.

"Tapi selagi mana kita belum dapat tahap itu, mengapa mesti kita buat cadangan yang boleh jadi kluster-kluster yang boleh merosakkan," kata Hamzah, merujuk kepada gesaan membuka Parlimen.

Parlimen hibrid langkah terbaik

Sementara itu, Peguam veteran Salim Bashir Bhaskaran, yang juga merupakan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, memuji langkah untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid itu sebagai satu alternatif yang bagus.

Kata beliau, rancangan tersebut boleh dilaksanakan dan dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan sambil memetik beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti Artikel 62(1) yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibenarkan untuk menentukan prosedur tersendiri.

"Menjadi fleksibel dengan membenarkan persidangan secara maya adalah penting ketika keadaan masa kini, yang belum pernah terjadi sebelum ini," kata beliau kepada BenarNews.

Salim juga mencadangkan supaya bilangan ahli Parlimen yang dibenarkan menghadiri persidangan secara fizikal dibahagikan sama rata antara kerajaan dan pembangkan

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.