Speaker Parlimen Tolak Perbincangan 1MDB

Hata Wahari
2017.07.24
Kuala Lumpur
170724-my-pembangkang620.jpg Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama anggota parlimen pembangkang menunjukkan surat penolakan soalan berkaitan 1MDB dari Speaker Parlimen di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Julai, 2017.
(Hata Wahari/BeritaBenar)

Parlimen Malaysia pada Isnin menolak hampir 30 soalan berkaitan dana pelaburan bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika persidangan dewan rakyat itu, sehingga mencetuskan bantahan dikalangan anggota parlimen pembangkang.

Ketua pembangkang, Wan Azizah Wan Ismail memberitahu Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia telah membuat keputusan itu yang dilihat sebagai satu usaha untuk menggelapkan maklumat dan keterangan mengenai skandal kewangan melibatkan Perdana Menteri Najib Razak.

“Sebagai Ketua Pembangkang saya mendapat keistimewaan menurut tradisi dan amalan Parlimen Malaysia tetapi dari Buku Aturan Mesyuarat yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, saya mendapati beberapa soalan saya telah digugurkan terutama soalan berkaitan 1MDB,” tegasnya dalam sidang media pada Isnin di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, soalan khusus seperti sama ada Najib Razak bersedia untuk membentangkan Kertas Putih bagi menjelaskan campur tangan asing berkaitan dengan penyiasatan skandal dana 1MDB juga telah ditolak.

“Saya juga minta perdana menteri menyatakan sama ada  kerajaan sedia bentangkan kertas putih bagi menjelaskan campur tangan asing berkaitan siasatan dana 1MDB,” tambahnya lagi.

Keputusan muktamad

Keputusan penolakan soalan itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia. Menurut Timbalan Speaker Ismail Mohamed Said, faktor subjudis adalah antara sebab ia ditolak.

“Saya sudah dengar semua dan saya dah bagi peluang, semua yang tak berpuas hati saya dah bagi peluang untuk beri penjelasan,” Ismail berkata sambil menambah, “Keputusan Speaker adalah muktamad, kalau tidak berpuas hati bolehlah buat usul persendirian.”

Sesi soal jawab di Parlimen pada Isnin menjadi kecoh apabila beberapa ahli parlimen dari pembangkang dan kerajaan bertelagah mengenai keputusan Pandikar itu.

Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan oleh Najib telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara. Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.

Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.

Pada bulan lepas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia, demikian menurut saman yang  difailkan di sebuah mahkamah di California.

Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles baru-baru ini, Jabatan Keadilan (DOJ) berusaha mendapatkan semula aset bernilai kira-kira AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Kira-kira setahun lepas, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri.

Pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah AS$4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia Pertama) yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada perdana menteri Najib.

Soalan barang sitaan juga ditolak

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang  dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula berkata soalannya mengenai barangan sitaan DOJ Amerika Syarikat yang didakwa berasal dari penyelewengan syarikat berkaitan 1MDB juga ditolak Parlimen.

Lim menegaskan soalan tersebut berkenaan sama ada kerajaan  sudi menerima balik wang dan barang kemas yang bernilai berbilion-bilion ringgit yang disita DOJ dari mereka yang bersalah dalam pengubahan wang haram 1MDB.

“Tindakan tersebut tidak masuk akal kerana soalan itu ditolak. Ada satu kes dalam mahkamah California untuk sita harta benda yang ada bersangkut paut dengan 1MDB, dan apa pendirian kerajaan,” soalnya.

Namun, ahli parlimen dari parti memerintah Barisan Nasional Bung Mokhtar Radin berkata dakwaan pembangkang bahawa penolakan kesemua soalan berkenaan adalah untuk menutup skandal itu adalah tidak betul kerana soalan dari partinya juga telah ditolak.

“Soalan saya pun kena tolak tetapi saya lihat bahawa keputusan Speaker adalah muktamad, saya diam (kerana) kita ikut peraturan,” katanya.

Peguam Negara Malaysia Apandi Ali sebelum ini telah menyatakan bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah satu sumbangan politik dari Arab Saudi dan kebanyakan wang tersebut telahpun dikembalikan.

Beliau tampil mempertahankan Najib dan menyatakan bahawa Jabatan Keadilan AS telah menghina perdana menteri.

“Selepas semakan, kami mendapati tiada sebarang jenayah dilakukan,” kata Apandi sambil menambah bahawa pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Peguam Negara Malaysia itu turut meluahkan kekecewaannya kerana Jabatan Keadilan AS telah gagal untuk “memaklumkan atau memberitahu” pihaknya berhubung saman terbaharu itu.

Najib yang  telah berulang kali menafikan sebarang salah laku di dalam kes 1MDB, dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang kesalahan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.