PAS Tangguh Hudud Selepas Umum Gabungan Pakatan Baru

Fahirul N. Ramli
2016.03.16
Kuala Lumpur
160316-my-hadi-620 Presiden parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang semasa ditemubual di pejabatnya di Kuala Lumpur, 31 Mac 2015.
AFP

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Rabu membuat pengumuman penangguhan pelaksanaan hukum Hudud yang diperjuangkannya, dengan memberitahu bahawa Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), adalah rakan gabung dalam sebuah pakatan pembangkang baru di Malaysia.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada satu sidang media di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Presiden Ikatan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

“PAS akan memikirkan tentang Hudud 'kemudian' dan ianya tidak akan menimbulkan sebarang isu kepada Ikatan,” kata Abdul Hadi mengulas lanjut mengenai penangguhan itu.

Tambah beliau, pelaksanaan hukum hudud bukan bertujuan untuk mewujudkan undang-undang Islam di seluruh negara, sebaliknya mahu memperkukuhkan undang-undang mahkamah syariah.

Mengenai gabungan baru pakatan pembangkang yang diumumkan itu, Abdul Hadi berkata, kerjasama baru pembangkang itu akan memberi tumpuan kepada kuasa rakyat dan mendukung Perlembagaan.

Katanya, pakatan itu akan memberi tumpuan kepada memperkasakan rakyat serta menegakkan perlembagaan melalui pendekatan yang sederhana dalam membangkang kerajaan.

"Kami tidak mahu menjadi pembangkang yang melampau, sebaliknya mahu menjadi pakatan yang menasihati kerajaan. Kami akan memberi mereka kredit apabila mereka melakukan perkara baik untuk rakyat," kata Abdul Hadi dipetik sebagai berkata.

Mengulas mengenainya, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan yang parti itu masih lagi sebagai pembangkang walaupun mengambil pendekatan ‘berlembut’ terhadap kerajaan.

PAS sebelum ini berada di dalam gabungan pembangkang, yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, terdiri daripada dua lagi parti pembangkang iaititu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

PAS bagaimanapun menarik diri daripada pakatan itu selepas berbalah dengan DAP dalam pelbagai isu semasa politik termasuk pelaksanaan hukum hudud, dua tahun lepas.

‘Tidak jejas hubungan’

Beliau juga memberi jaminan bahawa hubungan antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan terjejas dengan pengumuman mengenai gabungan pakatan baru itu.

"Ia masih satu blok lawan…, saya tidak fikir PKR mempunyai sebarang keraguan kerana, kita semua menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh kerajaan," katanya kepada BeritaBenar.

Menurut laman web Ikatan, parti itu dilancarkan pada Januari tahun lepas, oleh Abdul Kadir sendiri, dengan usahanya mahu menggerakkan Malaysia secara adil, progresif dan selaras dengan warisan dan visi Perdana Menteri pertama Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Abdul Kadir semasa diminta mengulas mengenai penggabungan itu berkata, Ikatan bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS kerana ianya bukan parti ekstrim.

“Pakatan baru yang diwujudkan diharap dapat menjadi penghubung dengan kerajaan dalam menangani rungutan rakyat terutama dalam hal berkaitan sosio-ekonomi, dalam senario politik hari ini” katanya.

Mengenai penangguhan perlaksanaan hukum Hudud, Abdul Kadir berkata, banyak perkara dalam Islam yang boleh diberi tumpuan dan adalah lebih baik jika pelaksanaannya ditangguhkan.

‘Langkah kurang bijak’

Walaubagaimanapun, pakar undang-undang dan penganalisas politik Malaysia, Dr. Azmi Shahrom melihat tindakan PAS bergabung dengan Ikatan adalah kurang bijak kerana Ikatan adalah sebuah parti baru tanpa mempunyai sebarang ideologi politik yang jelas.

"PAS mungkin kehilangan beberapa undi dan kalah dalam pilihan raya akan datang, mereka cuba untuk mencari sesuatu yang eksklusif, tetapi saya tidak fikir ianya [penggabungan] dapat berjalan lancar," katanya kepada BeritaBenar.

Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang dihubungi oleh BeritaBenar memberitahu, PAS memerlukan sokongan dari pengundi bukan Melayu yang sebelum ini datang dari penyokong DAP, jika mahu memenangi pilihanraya.

“Kemenangan pemimpin PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lepas disebabkan sokongan pengundi Cina yang kebanyakannya menyokong DAP,” tambah beliau.

Seorang lagi penganalisa  politik, Dr Mazlee Malek berkata, apapun yang ditunjukkan oleh PAS pada hari ini membuktikan mereka bukanlah parti ‘pak lebai’ yang naif tetapi kelompok politikus yang mengamalkan politik sebenar.

Ahmad Najmi Nasruddin dan Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.