Kelantan Bercadang Buka Semula Pawagan Selepas 26 Tahun
2016.07.18
Kuala Lumpur

Parti PAS yang memerintah kerajaan Kelantan mahu membuka semula pawagam di negeri itu, selepas hampir 26 tahun tidak beroperasi, tetapi sayap pemudanya yang radikal membantah usaha itu.
Kelantan, sebuah negeri konservatif dengan majoriti penduduknya beragama Islam, selepas berjaya merampas kuasa dari parti Barisan Nasional pada 1990, telah menutup semua panggung wayang atas alasan ia melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan 1998.
Baru-baru ini, kerajaan Kelantan dikatakan bersedia membenarkan mana mana pusat membeli belah membuka pawagam di negeri berkenaan walaupun mendapat bantahan daripada sayap pemudanya.
Pembukaan pawagan di negeri itu sekali gus dilihat bakal membuka dimensi baru dalam aspek hiburan di negeri berkenaan tetapi perlu memenuhi pelbagai syarat dan garis panduan yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Kota Baru terhadap pengunjung dan juga operator pawagam.
Pada 14 Julai lepas, Pemuda PAS Kelantan seperti dilaporkan oleh akhbar Harakah Daily, akhbar terbitan parti Islam itu berkata yang sayap berkenaan tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang merancang untuk membuka semula pawagan, kerana ia bakal menimbulkan gejala sosial.
Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata cadangan membuka pawagan tidak sesuai dengan imej Kelantan sebagai gedung ilmu dengan menegaskan bahawa negeri itu perlu terus kekal dengan keadaan sekarang tanpa memerlukan sebuah pawagan untuk golongan muda.
“Dikhuatiri kewujudan pawagan boleh mengundang pelbagai masalah dan gejala sosial yang semakin buruk,” katanya menyerah memorandum membantah cadangan membuka pawagan kepada Menteri Besar Ahmad Yakob di pejabatnya di negeri ini.
Bagaimanapun, semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin, Ahmad Fadhli berkata, "Ia bukan satu protes tetapi memorandum untuk menyokong kerajaan negeri. Bagi kami garis panduan yang sedia ada di Kelantan adalah cukup baik, dan apa yang kami mahukan ialah kerajaan negeri mesti tegas dalam melaksanakannya tanpa kompromi.
"Ada yang mengatakan bahawa kami menentang pembukaan semua pawagam di negeri ini, tetapi sebenarnya tidak betul. Kami tidak mempunyai masalah jika pengusaha pawagam sanggup mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, "katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata, perkara itu [pembukaan pawagan] bukan sesuatu yang baru sebaliknya sudah lama. Pengendali pawagan mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan antaranya pengasingan mengikut jantina dan larangan mengadakan tayangan pada waktu solat malam.
"Jika ada (niat) untuk beroperasi (pawagam), kita akan membenarkan pawagam beroperasi mengikut syariah Islam," katanya kepada BeritaBenar.
Kelantan mempunyai penduduk seramai 1.68 juta dengan 97 peratus terdiri daripada orang Islam, dan ia merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang berada dibawah pemerintahan PAS sejak 43 tahun lepas.
Berita mengenai Kelantan bakal mempunyai pawagam pertama selepas 26 tahun muncul di media sosial selepas sebuah pusat membeli-belah yang paling terkenal di negeri ini - KB Mall mencatatkan imej pawagam yang dicadangkan di laman Facebooknya pada April lepas.
Eksekutif KB Mall Mohd Ashrul semasa dihubungi BeritaBenar berkata, rancangan untuk membuka pawagam itu oleh Cinema Paragon telah dibincangkan. Beliau enggan mengulas lanjut mengenainya dan lesen yang dimohon, kerana perkara tersebut melibatkan keputusan pengurusan tertinggi gedung berkenaan.
"Jangkaan awal kami adalah untuk membukanya pada Julai tetapi masih tidak mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Sementara itu, seorang penyelia, Zanan Fitri, 27 dari Kota Bharu berkata, Kelantan akan terus mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri walaupun ia mempunyai pusat hiburan di negeri itu.
"Terus terang saya katakan, Kelantan mahu pusat hiburan tetapi kita masih boleh mengikut arahan dan peraturan oleh kerajaan negeri, dan sekiranya semua yang terlibat mematuhi syarat, ia akan menjadi sesuatu yang baik untuk rakyat, " katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Dalam pada itu, seorang penduduk Tanah Merah, yang hanya mahu dikenali sebagai Umairah, 25, berkata beliau menyambut baik rancangan untuk membuka panggung wayang di negeri berkenaan kerana ia boleh menjadi tempat berhibur dan percutian bersama keluarga.
"Saya tidak mempunyai masalah jika pawagam mematuhi syariah Islam cuma pada ketika ini tidak dapat mengambarkan bagaimana mereka akan melaksanakannya, terutama bagi mereka yang datang bersama keluarga, " katanya kepada BeritaBenar.