Follow us

Tahap Kemiskinan Hampir Sifar Malaysia Tidak Tepat, kata Pelapor Khas PBB

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata beliau akan meneliti dakwaan yang dibuat pakar PBB Philip Alston.
Hadi Azmi & Aminah Farid
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-23
E-mel
Komen
Share
Pelapor Khas PBB Philip Alston bercakap kepada media berhubung penemuannya di Kuala Lumpur, 23 Ogos 2019.
Pelapor Khas PBB Philip Alston bercakap kepada media berhubung penemuannya di Kuala Lumpur, 23 Ogos 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Kadar kemiskinan Malaysia lebih tinggi berbanding angka rasmi yang dikeluarkan negara, kata seorang pakar PBB pada Jumaat ketika beliau mempertikai dakwaan negara Asia Tenggara tersebut bahawa ia hampir berjaya membasmi kemiskinan.

Kerajaaan Malaysia mendakwa bahawa kadar kemiskinan negara itu ialah 0.4 peratus namun Philip Alston, pelapor khas PBB berkaitan kemiskinan melampau dan hak asasi manusia, berkata ia mungkin sehingga 20 peratus berdasarkan beberapa analisis bebas.

“Dakwaan rasmi bahawa kemiskinan telah berjaya dibasmi atau wujud hanya dalam kelompok yang kecil di kawasan-kawasan pedalaman adalah tidak tepat dan telah menjejaskan pembuatan dasar,” kata Alston dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pada akhir lawatan 11 harinya ke negara itu. “Angka rasmi kerajaan akan menampilkan ia sebagai juara dunia dalam pembasmian kemiskinan... namun saya rasa adalah amat jelas itu bukanlah hakikat sebenarnya.”

Alston berkata beberapa siri analisis bebas yang ketat telah mencadangkan “satu kadar kemiskinan lebih realistik sebanyak 16 hingga 20 peratus, dan bahawa kira-kira sembilan peratus isi rumah meneruskan kelangsungan hidup dengan pendapatan kurang daripada 2,000 ringgit (AS$479) setiap bulan.”

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata kerajaaan akan meneliti dakwaan itu.

“Kita akan mengkaji apa yang mereka katakan untuk mengetahui sama ada ia benar atau tidak,” lapor agensi berita rasmi Bernama memetik kenyataan beliau kepada pemberita dalam satu majlis makan malam amal.

Sejurus selepas sidang akhbar Alston, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali meluahkan “kekecewaan” terhadap kenyataan Alston dan mempertahan angka rasmi itu dan berkata ia telah diperoleh berdasarkan piawaian yang diterima pakai di peringkat antarabangsa, menggunakan angka daripada sebuah buku panduan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami berpegang teguh kepada kadar kemiskinan tegar kami, yang kini mencatat sebanyak 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah pada 2016 atau 24,700 isi rumah,” kata Azmin dalam satu kenyataan. Kadar kemiskinan rasmi semasa Malaysia, yang merosot berbanding 49 peratus pada 1970, membayangkan bahawa kemiskinian telah hampir berjaya dibasmi.

Alston turut menyifatkan garis kemiskinan negara sebanyak 980 ringgit ($234) bagi setiap isi rumah sebulan sebagai “amat rendah” kerana ia bermakna setiap keluarga dengan empat anggota di bandar perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan perbelanjaan kurang daripada $2 seorang sehari.

Angka yang lebih rendah itu telah menyebabkan terlalu banyak program terkurang pembiayaan dilaksanakan, menjejaskan masyarakat orang asli yang berdepan kadar kemiskinan paling tinggi, katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai kadar kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, yang menurutnya adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan negara, dan berkata kerajaan tidak kelihatan seperti memiliki sistem sokongan yang memadai untuk menangani isu itu.

Beliau merujuk satu kaji selidik UNICEF 2018 mengenai golongan berpendapatan rendah di ibu negara Kuala Lumpur dan negeri jiran Selangor yang mendapati sebanyak 15 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mengalami masalah kurang berat badan.

Pada Jun, Institut Penyelidikan Khazanah mengeluarkan satu laporan yang menunjukkan kelemahan struktur dengan langkah kemiskinan rasmi digunakan untuk memperoleh statistik kerajaan. Antara lain, ia merumuskan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia akan menjadi lebih miskin jika pelarasan itu menggambarkan realiti.

Alston mencadangkan bahawa satu garis kemiskinan “bermakna” yang selaras dengan piawaian antarabangsa diguna  pakai di Malaysia dan berkata tahap semasa adalah “tidak konsisten dengan kos sara hidup atau pendapatan isi rumah.”

190823-UN-620-INSIDE.jpg

Pelapor Khas PBB Philip Alston (kanan) bercakap kepada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur semasa lawatan 11 harinya, 23 Ogos 2019. [Bassam Khawaja/PBB]

Lihat Laman Penuh