Pelaburan boleh terjejas jika kerajaan kembali goyah, tiada stabiliti, kata pemerhati
2023.05.08
Kuala Lumpur
Pelabur asing yang semakin kembali yakin dengan kestabilan pentadbiran Putrajaya selepas kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya mengharungi 100-hari pertamanya berkemungkinan akan memikirkan semula pandangan optimis mereka, demikian menurut penganalisis, ekoran pelbagai isu yang melanda pentadbiran baharu berusia enam bulan itu.
Antara isu utama dihadapi kerajaan pimpinan Anwar, kata mereka, adalah kegusaran kumpulan masyarakat sivil dan rakyat kebanyakan mengenai fungsi perdana menteri berada dalam Lembaga Pengampunan yang akan meneliti permohonan bekas perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak untuk dilepaskan melalui proses pengampunan diraja.
Ia memandangkan Najib adalah seorang bekas pemimpin utama parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang kini menjadi salah satu parti tonggak menyokong Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, menurut pemerhati politik, berita-berita serta spekulasi mengenai gerakan menjatuhkan kerajaan oleh pembangkang turut dikhuatiri akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara yang sedang cuba dipulihkan selepas mengalami impak teruk disebabkan suasana ekonomi global serta pandemik COVID-19.
"Perdana Menteri mesti memberikan keyakinan kepada para pelabur dan orang ramai bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang. Berita mengenai usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar telah ada sejak pilihan raya umum pada tahun lepas lagi, manakala isu Najib dan Ahmad Zahid Hamidi telah digunakan sehabisnya oleh pembangkang sebagai senjata mereka menyerang kerajaan.
Walaupun Anwar telah berulang kali menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan perkara itu (pengampunan) mengikut proses yang sewajarnya," kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Sama ada terdapat kebenaran atau tidak, berita-berita sedemikian yang tersebar luas akan memberikan kesan kepada keyakinan pelabur kepada ekonomi Malaysia. Mana-mana negara yang mengalami ketidakstabilan politik memberikan risiko kepada perniagaan kerana polisi pelaburan boleh berubah setiap kali kerajaan bertukar," tambah pensyarah sains politik itu.
Tunku Mohar merujuk kepada persoalan dibangkitkan ahli-ahli politik pembangkang serta orang ramai mengenai keputusan parti UMNO pimpinan Ahmad Zahid pada bulan lepas untuk membuat rayuan supaya Najib - yang merupakan bekas perdana menteri Malaysia yang keenam dan kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah - diberikan pengampunan diraja.
Antara isu dibangkitkan oleh pengkritik ialah mengenai peranan Anwar dalam Lembaga Pengampunan yang bertanggungjawab meneliti setiap permohonan pengampunan sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada seseorang banduan itu layak diberikan pengampunan.
Sekiranya mendapat pengampunan diraja, seseorang pesalah bukan sahaja akan dibebaskan dari penjara tetapi rekod jenayah mereka juga akan turut dibersihkan.
Anwar merupakan pemimpin yang pernah diberikan pengampunan diraja pada 2018 selepas Kerajaan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum buat pertama kali dalam sejarah negara itu.
Isu tersebut turut mencetuskan percakaran antara beberapa orang pemimpin parti gabungan Pakatan Harapan yang dipengerusikan Anwar dengan UMNO ekoran desakan dari dalam Pakatan supaya Najib tidak diberikan pengampunan, sekaligus mewujudkan kegusaran mengenai keutuhan hubungan antara parti-parti utama yang mendokong kerajaan.
Antara insiden yang berlaku termasuk kenyataan dibuat pengarah komunikasi parti Amanah, Khalid Samad yang dilaporkan berkata parti komponen Pakatan Harapan itu menolak cadangan supaya Najib diampunkan dan ekoran itu, seorang pemimpin kanan UMNO, Mohd Puad Zarkashi kemudiannya mengkritik Amanah yang disifatkan sebagai "kawan makan kawan".
Amaran serupa mengenai ketidakstabilan kerajaan kepada ekonomi negara turut disuarakan oleh Mohd Shahidan Shaari, pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi di Universiti Malaysia Perlis.
"Banyak kajian telah membuktikan bahawa ketidakstabilan politik boleh memberikan kesan buruk yang signifikan kepada pelaburan, menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi lebih lembab serta penurunan nilai mata wang sesebuah negara," katanya kepada BenarNews.
Menurut Shahidan, keadaan politik yang tidak stabil juga boleh memberikan kesan kepada bursa saham jika para pelabur menjual pegangan mereka di dalam negara, sekaligus menyebabkan kejatuhan nilai saham.
"Dengan negara kini menghadapi isu ekonomi seperti kos sara hidup yang tinggi serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini, saya percaya ekonomi Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi pertukaran kerajaan sekali lagi kerana ia akan memberikan kesan kepada pelaburan asing dan ekonomi secara keseluruhannya," tambah beliau.
Keyakinan rakyat
Beberapa penganalisis politik yang bercakap kepada BenarNews berbeza pandangan mengenai tahap impak permohonan pengampunan diraja Najib kepada Kerajaan Perpaduan, tetapi mereka percaya ia adalah sesuatu yang harus ditangani dengan baik oleh perdana menteri bagi mengelak daripada menjadi polemik yang mampu menghakis keyakinan rakyat kepada pentadbiran Anwar.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata langkah UMNO untuk menyokong rayuan Najib bermakna parti itu menyerahkan keputusan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada bekas perdana menteri tersebut layak diberikan pengampunan.
"Memang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan dalam hal pengampunan, dan perkara ini perlu jelas difahami. Tiada pihak yang boleh mempengaruhi keputusan Agong sesuai dengan kuasa yang ada pada Tuanku.
"Dan Perdana Menteri perlu perjelaskan isu ini kepada seluruh komponen parti kerajaan perpaduan agar tidak timbul kekeliruan dan ketegangan sesama mereka," kata penganalisis politik itu.
Tambahnya, Anwar perlu seimbangkan tekanan dari UMNO dengan penolakan dari dalam partinya sendiri berhubung isu berkenaan.
"Anwar perlu menimbang akan akibat serta potensi dalam setiap keputusan dan perlu membuat pilihan terbaik kepada negara. Namun kuasa akhir pemutus ialah Yang di-Pertuan Agong, bukan Anwar atau mana-mana parti politik," tambah beliau.
James Chin dari Universiti Tasmania pula berpendapat bahawa UMNO sebenarnya tidak begitu serius dalam mendapatkan pengampunan Najib kerana bekas PM itu masih berdepan beberapa perbicaraan jenayah yang lain, dan beliau perlu menghabiskan kesemua kes terlebih dahulu.
"UMNO cuma membuat pertunjukan dengan merayu pengampunan untuk Najib dan ia hanya satu sebab: ramai ahlinya yang masih menyokong Najib dan mereka telah menyuarakan kehendak mereka semasa perhimpunan agung parti itu supaya Najib diberikan pengampunan."
Kata Chin, Anwar tidak perlu berbuat apa-apa dalam masa terdekat kerana isu pengampunan untuk Najib hanya perlu ditangani selepas semua kes bekas PM itu selesai di mahkamah.
Pensyarah Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Izmer Yusof pula memberitahu BenarNews bahawa Anwar kini tersepit di dalam isu Najib kerana perdana menteri itu dan parti pimpinannya mempunyai imej sebagai penentang rasuah.
"Anwar dalam keadaan yang sangat tersepit. Jika beliau menerima bahawa Najib diberikan pengampunan, beliau akan dilihat seperti bersetuju dengan rasuah.
"Sejujurnya, saya tidak nampak bagaimana Anwar boleh uruskan isu ini, kerana beliau hanya ada dua pilihan iaitu menyokong atau menentang (pengampunan). Tidak boleh tengah-tengah," kata Izmer kepada BenarNews.
Kata beliau lagi, isu mengenai pengampunan Najib boleh memberikan kesan kepada UMNO dan Pakatan Harapan di mana sokongan rakyat kepada parti pembangkang boleh menjadi bertambah kuat disebabkan sentimen mereka.
"Perikatan Nasional kuat bukan sebab mereka bagus tetapi sebab sentimen di pihak mereka. Barisan Nasional (sebelum ini) kalah teruk sebab sentimen sudah tiada lagi di pihak mereka dan Pakatan Harapan,” kata Izmer.