NGO Malaysia Bantu Pendatang Bimbang Ditahan Dapatkan Vaksin

Etnik Rohingya antara 6,000 pelarian yang menerima suntikan vaksin itu sejak awal September daripada Persatuan Bulan Sabit Merah.
Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2021.10.01
Kuala Lumpur
NGO Malaysia Bantu Pendatang Bimbang Ditahan Dapatkan Vaksin Seorang pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia kelihatan bersedia menyuntik vaksin COVID-19 kepada seorang pendatang tanpa dokumen dalam satu kempen di Selangor, 26 Sept 2021.
[Hadi Azmi/BenarNews]

Seorang wanita hamil warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen terpaksa melawan perasaan bimbang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana berada di negara itu secara haram semata-mata mahu menerima vaksin COVID-19 di sebuah klinik kendalian Persatuan Bulan Sabit Merah yang dibantu oleh kerajaan serta kedutaan beberapa negara jiran.

Wanita berusia 20-an itu yang dikenali sebagai Nisa, datang ke Malaysia lima tahun lepas dan tinggal di negara itu tanpa memperbaharui visanya. Suaminya, yang bekerja sebagai buruh di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, juga tidak memiliki dokumen.

“Saya takut jika saya pergi ke klinik kerajaan atau pusat pemberian vaksin seperti yang dinasihati oleh sesetengah pihak, saya akan ditahan,” kata Nisa kepada BenarNews.

Beliau juga bimbang dengan nasib anaknya yang bakal lahir.

“Saya bimbang jika berlaku perkara buruk kepada bayi saya kerana di kejiranan saya, sudah ramai yang dijangkiti COVID-19 dan sesetengahnya meninggal dunia,” katanya.

“Saya sudah menerima dos pertama. Suami saya sudah menerima dos keduanya sebelum ini dan saya gembira kami telah divaksinasi,” katanya.

Seorang lagi warga Indonesia yang ingin dikenali sebagai Ari, kini berusia 30-an dan turut tinggal di negara ini tanpa memperbaharui visanya yang telah tamat tempoh. Katanya beliau menyedari kepentingan mendapatkan suntikan itu.

“Saya memerlukan vaksin itu untuk bekerja, jika tidak saya berasa tidak selamat dan orang lain juga akan berasa tidak selamat semasa berada bersama-sama kami,” katanya kepada BenarNews. “Kini saya sudah boleh bekerja dan saya gembira kerana ada program seperti ini bagi membantu golongan tidak berdokumen seperti saya.”

Susulan sekatan pergerakan, Ari berdepan kesukaran untuk mencari rezeki dan berkata beliau tidak mampu membayar kos bagi mendapatkan vaksin itu.

“Sesetengah rakan saya ke klinik untuk mendapatkan vaksin itu namun telah dikenakan bayaran sebanyak RM350 (AS$83), dan saya tidak mampu berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, BenarNews tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa pendatang tanpa dokumen telah dipaksa membayar untuk vaksinasi yang diberikan percuma kepada rakyat tempatan di klinik kerajaan. Suntikan itu juga adalah percuma di klinik kendalian Persatuan Bulan Sabit Merah.

Mesej berbeza

Nisa, Ari dan pendatang lain yang berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah telah mendapat mesej berbeza daripada para pegawai kerajaan sehingga mengundang kebimbangan untuk mereka ke tempat awam meskipun berlaku peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 susulan kehadiran varian Delta di negara itu yang begitu pantas menular.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin telah secara konsisten berkata semua penduduk dewasa di negara ini termasuk mereka yang tidak memiliki dokumen boleh mendapatkan vaksin dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan.

Rakannya, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pula berkata satu-satunya cara untuk membolehkan pendatang tanpa dokumen divaksinasi adalah dengan melakukan serbuan dan operasi polis. Selain itu, Hamzah baru-baru ini berkata petugas kesihatan dikehendaki memaklumkan pihak berkuasa jika mereka bertemu dengan pendatang tanpa dokumen – satu polisi yang wujud sejak 2001 dan tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada 2020, semasa permulaan pandemik itu, beribu-ribu pendatang dan pelarian dikumpulkan semasa perintah sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Kebanyakan mereka telah dihantar ke pusat tahanan imigresen yang kemudian menjadi lokasi panas COVID-19 manakala mereka yang berjaya mengelak daripada ditahan bertindak menyembunyikan diri.

Meskipun dalam situasi normal, kumpulan yang ditindas di Malaysia termasuk pelarian berdepan kesukaran mendapatkan penjagaan asas dari segi kesihatan dan pendidikan. Negara itu bukan pihak yang meratifikasi Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 dan tidak memiliki sistem suaka yang mengawal status serta hak-hak pelarian.

Sejak awal September, Persatuan Bulan Sabit Merah telah memberikan vaksin kepada pelarian dari Indonesia, Somalia, etnik Rohingya, Bangladesh, Myanmar (Chin, Kachin, Karen, Mon, Zomi, Falam, Shan, Kachin), Nepal dan Vietnam.

Lebih 6,000 pendatang tanpa dokumen dan pelarian telah mendapat manfaat daripada program yang disokong oleh kerajaan Malaysian serta para pegawai kedutaan dari negara jiran termasuk Kemboja.

Malaysia, yang dihuni sejumlah 32.7 juta penduduk, mencatat 12,735 jangkitan COVID-19 dan 192 kematian pada Khamis, demikian menurut para pegawai pada Jumaat yang menjadikan jumlah keseluruhan kes akibat pandemik itu 2.2 juta dengan lebih 26,000 kematian.

Sejak kempen imunisasi kerajaan bermula pada 24 Feb lepas, berjuta-juta rakyat Malaysia menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac. Para pegawai melaporkan bahawa lebih 85 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dan telah menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang akhir bulan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.