1MDB: Mahkamah Malaysia Keluar Perintah Interim Beku Sementara AS$340 juta di UK

Hadi Azmi
2020.07.16
Kuala Lumpur , Malaysia
200716-MY-PetroSaudi620.jpg Peguam Yusof Zainal Abidin (kanan) yang mewakili Tarek Obaid dan peguam Alex Tan, mewakili PetroSaudi Oil Services (Venezuela) berjalan keluar selepas pendengaran kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia, 16 Julai, 2020.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis mengeluarkan perintah pembekuan sementara dana bernilai AS$340 juta yang disimpan di dalam akaun di United Kingdom (UK) yang dipercayai telah digelapkan dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh firma PertoSaudi International, walaupun mendapat tentangan daripada peguam firma dan dua individu yang dinamakan dalam perintah tersebut.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi menyekat sementara terhadap PetroSaudi  International Ltd (PSI) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tarek Obaid daripada memindahkan dana berjumlah lebih AS$340 juta (RM1.45 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar notis yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  minggu lalu atas pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkata berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan perintah pemeliharaan sementara yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

“Setelah mendengar hujah ke dua-dua pihak, saya membenarkan perintah sementara seperti yang dimohon,” kata Hakim itu selepas mendengar hujah lebih 30 minit daripada peguam-peguam yang mewakili SPRM, Tarek dan PetroSaudi.

Hakim itu kemudiannya membenarkan perintah sementara itu berkuatkuasa dari 16 Julai sehingga 28 Ogos, 2020.

SPRM minggu lalu telah memfailkan permohonan menyita lebih AS$340 juta milik firma itu dan ketua eksekutifnya Tarek yang disimpan dalam akaun firma undang-undang antarabangsa Clyde & Co di London serta sejumlah lagi wang di Barclays Bank di bawah penama ‘Temple Fiduciary Services’ yang jumlahnya tidak dinyatakan.

Selain Tarek dan PSI sebagai responden pertama dan kedua, permohonan oleh SPRM itu turut menyenaraikan firma PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd, Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services, masing-masing sebagai responden ketiga, keempat dan kelima.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas memperolehi perintah itu berkata,“Berdasarkan siasatan, SPRM percaya bahawa wang tersebut mempunyai kaitan dengan konspirasi penipuan antaranya melibatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi, Tarek Obaid, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta individu-individu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya,”

Kenyataan agensi pencegahan rasuah negara itu juga berkata notis pembekuan sementaa itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa UK untuk tindakan lanjut melalui “Mutual Legal Assistance”.

“Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan yang dibuat SPRM baru-baru ini…. Sehubungan itu, SPRM akan melanjutkan perintah interim ini kepada pihak berkuasa di United Kingdom melalui “Mutual Legal Assistance”(MLA) untuk harta tersebut dibekukan sementara,” kata kenyataan SPRM pada Khamis itu.

Kehadiran Peguam Tarek dan PetroSaudi

Sementara itu, kedatangan kedua peguam yang mewakili Tarek dan PetroSaudi telah mengejutkan mahkamah dengan kedua-dua peguambela itu memberitahu mahkamah bahawa hanya mengetahui berkenaan permohonan tersebut melalui laporan media.

Tarek diwakili peguam Yusof Zainal Abidin, manakala Alex Tan mewakili PetroSaudi Oil Services (Venezuela).

“Adakah kamu akan tahu berkenaan perkara ini jika bukan dari media?” tanya Hakim Nazlan.

“Tidak, Yang Arif, kami hanya dihubungi anak guam kami petang semalam (Rabu),” jawab Yusof.

Hakim itu kemudiannya meminta Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamad menerangkan kenapa mahu memfailkan notis supaya perkara itu didengari dengan segera.

Budiman telah memaklumkan Hakim berkenaan yang tindakan itu perlu dibuat segera selepas melihat perkembangan kes di mana terdapatnya perintah mahkamah United Kingdom pada 10 Julai lalu yang mana akan menyaksikan sejumlah AS$340, 258,246.87 diserahkan kepada PetroSaudi Oil Services(Venezuela).

“Apabila wang itu diserahkan kepada responden ketiga dan kemudiannya kepada yang pertama, ia adalah kali terakhir kita akan melihat wang itu.

“Kami sedang mencuba untuk memastikan status quo supaya wang itu tidak dipindahkan,” kata Budiman merujuk kepada Tarek Obaid dan PetroSaudi Oil Services (Venezuela).

Dalam jawapan balas, Yusof membantah perintah interim sementara tersebut dan menuduh SPRM sebagai tidak cekap kerana mereka sudahpun mengetahui berkenaan dana tersebut sejak Januari.

“Mereka tahu wang tersebut ada di sana sejak sekian lama dan mereka tidak berbuat apa-apa. Anda mengambil masa yang lama. Anak guam saya tidak harus menderita atas ketidakcekapan SPRM,” kata Yusof yang turut menambah bahawa perkara itu tidak adil bagi anak guamnya.

Peguam SPRM Nizamuddin Hamid yang turut hadir pada sesi itu walaubagaimanapun menangkis dakwaan Yusof dan berkata usaha suruhanjaya itu terganggu kerana Tarek Obaid tidak pernah didakwa di UK.

“Saya membantah bagi pihak SPRM bahawa tiada tindakan dilakukan. Agensi Jenayah Kebangsaan (National Crime Agency) di UK telah memfailkan perlucutan hak di UK tetapi responden pertama tidak pernah didakwa maka ianya tidak boleh dilakukan.

“Maka NCA meminta SPRM untuk memfailkan perintah interim dari Malaysia kepada UK,” terang Nizamuddin.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Nizamuddin berkata prosiding pada Khamis merupakan langkah pertama diambil untuk mendapatkan semula wang itu dan membawanya kembali ke Malaysia.

Tarek serta seorang lagi pengarah PSI, Patrick Mahony pada 10 Febuari lalu telah dikenakan waran tangkap oleh SPRM dan Notis Merah Interpol – iaitu permintaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mencari dan menangkap orang yang dinamakan itu, berhubung tuduhan melakukan konspirasi jenayah membabitkan wang sejumlah AS$69 juta (RM294 juta) yang turut dipercayai milik 1MDB.

Najib kini berhadapan dengan tujuh pertuduhan berkaitan bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International, termasuk salahguna kuasa dan penggubahan wang haram dengan Hakim Nazlan akan memberi keputusannya pada 28 Julai ini setelah perbicaraan tamat pada 5 Jun lalu.

Jika disabitkan bersalah bekas perdana menteri itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kes 1MDB yang melibatkan Najib masih lagi berjalan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.