Follow us

Dua Kanak-kanak Filipina Bersama Ibu Selamat Tiba Di Manila

Muzliza Mustafa & staf BeritaBenar
Kuala Lumpur & Manila
2019-07-05
E-mel
Komen
Share
Pemandangan umum di depot tahanan imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 2017, di mana dua kanak-kanak Filipina ditahan lebih tiga minggu baru-baru ini, 28 Mac, 2017.
Pemandangan umum di depot tahanan imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 2017, di mana dua kanak-kanak Filipina ditahan lebih tiga minggu baru-baru ini, 28 Mac, 2017.
[Reuters]

Dua kanak-kanak Filipina yang ditahan hampir tiga minggu di depot tahanan Imigresen Malaysia, selamat tiba bersama-sama ibu masing-masing di Manila, kata kumpulan hak asasi Filipina.

Kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun itu ditahan susulan satu serbuan pihak Imigresen pada 13 Jun lalu di sebuah kompleks pangsapuri di Kajang, kira-kira 20 kilometer (12.5 batu) di barat daya Kuala Lumpur.

"Mereka yang dihantar pulang dari Malaysia kelihatan beremosi sejurus tiba pada 3 Julai 2019 di NAIA Terminal 1 kira-kira 9.40 malam," kata kumpulan hak asasi itu yang berpejabat di Migrante dalam kenyataan yang dipaparkan di laman webnya, yang merujuk kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di ibu negara Filipina.

Dua kanak-kanak itu diambil oleh ibu masing-masing dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Rabu, dan kemudian berlepas pulang dengan penerbangan Malaysia Airlines ke Manila pada petang itu.

Migrante menyiarkan gambar kanak-kanak itu dengan ibu masing-masing serta rakan-rakan mereka selepas tiba di Manila.

Kedua-dua kanak-kanak itu ditahan semasa pihak berkuasa melancarkan serbuan setelah menerima aduan daripada penduduk mengenai sejumlah besar rakyat Afrika yang menghuni kediaman di kompleks pangsapuri itu, kata sumber Imigresen kepada BeritaBenar.

Para pegawai Imigresen menahan 80 warganegara Afrika dalam serbuan tersebut, kata sumber itu, namun kanak-kanak itu turut ditemukan dalam sebuah pangsapuri semasa dalam jagaan pengasuh mereka yang tidak mempunyai dokumen Imigresen yang sah.

Ibu kanak-kanak berkenaan tidak berada di rumah semasa serbuan dilakukan dan pengasuh memberitahu pihak Imigresen bahawa mereka tidak tahu di mana ibu bapa kanak-kanak itu bekerja.

"Kami tidak boleh meninggalkan kanak-kanak itu di sana dan di bawah jagaan orang lain apabila penjaga sahnya tidak ada," kata seorang pegawai Imigresen yang enggan dikenali kepada BeritaBenar.

"Jadi, apabila mereka [pengasuh] ditahan, kami meletakkan mereka [kanak-kanak itu] bersama-sama pengasuh mereka [di depot tahanan] sehingga kami dapat mengesan ibu-ibu mereka."

Pengarah Eksekutif kumpulan hak asasi manusia Tenaganita Glorene Das berkata Jabatan Imigresen enggan melepaskan kanak-kanak itu walaupun adanya campur tangan daripada Kedutaan Filipina dan Hannah Yeoh, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia.

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang bapa masing-masing adalah warganegara Afrika, didapati tidak mempunyai sijil kelahiran kecuali satu borang yang tertera nama hospital di Malaysia di mana mereka dilahirkan, kata pegawai Imigresen kepada BeritaBenar.

Kelahiran dalam mana-mana kawasan di Malaysia tidak memberi hak kewarganegaraan secara automatik.

Pihak berkuasa memberitahu BeritaBenar bahawa seramai 363 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, termasuk rakyat Indonesia, Bangladesh dan Myanmar, sedang ditahan di depot tahanan Imigresen di seluruh Malaysia. Beberapa kanak-kanak itu berada di bawah jagaan penjaga mereka manakala yang lain ditahan bersama-sama ibu bapa mereka yang didapati tinggal di negara itu secara haram.

Kehadiran dua kanak-kanak Filipina di depot tahanan itu diketahui selepas Das mengeluarkan kenyataan pada Selasa bagi menggesa pembebasan mereka.

"Kanak-kanak itu tidak dibenarkan dijaga oleh ibu masing-masing dan ditahan dalam yang kurang memuaskan," kata Das sambil memberitahu bahawa penahanan kanak-kanak itu melanggar hak asasi kanak-kanak.

Kedua-dua ibu itu didapati mempunyai visa pelancong yang sah dan memberitahu pegawai Imigresen bahawa mereka sedang melakukan lawatan dan kunjungan ke beberapa tempat semasa serbuan itu dilakukan, tetapi pihak berkuasa memberitahu BeritaBenar bahawa mereka mengesyaki wanita tersebut bekerja secara haram di Malaysia.

"Ibu-ibu itu tidak diusir tetapi mereka perlu menemani anak masing-masing pulang ke Manila," kata sumber Imigresen.

Lihat Laman Penuh