Pemimpin IS Punyai Kaitan Dengan Malaysia Cedera Dalam Serangan Tentera Filipina

Hata Wahari & Anis Natasha
2017.01.27
Kuala Lumpur
170127-MY-ID-isnilon-620.jpg Presiden Filipina Rodrigo Duterte bersama pasukan keselamatan negara itu semasa mengadakan lawatan ke Lanao del Sur, 30 Nov 2016.
AFP

Serangan tentera Filipina telah mencederakan pemimpin yang mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam di negara itu, yang turut mempunyai hubungan dengan sel baru pengganas di Malaysia, serta membunuh empat militan termasuk seorang rakyat Malaysia, menurut laporan media yang diterbitkan pada Jumaat.

Isnilon Hapilon, dilaporkan melarikan diri dari sebuah kem di Lanao del Sur, wilayah di selatan Filipina, selepas cedera semasa operasi ketenteraan yang dilancarkan dari udara dan darat pada Rabu dan Khamis, kata Ketua Tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano kepada agensi berita Associated Press (AP).

Isnilon mengalami kecederaan pada bahagian lengan dan terpaksa dibawa oleh orang lain semasa melarikan diri, berita televisyen Filipina ABS-CBN melaporkan. Laporan itu bagaimanapun tidak mengenal pasti rakyat Malaysia yang terbunuh.

Pakar-pakar keganasan menggambarkan Isnilon, bekas pemimpin kumpulan Abu Sayyaf, sebagai ketua IS Filipina yang terdiri daripada tiga kumpulan militan. Para penyokong di Malaysia dan Indonesia pula pada tahun lepas memberi gelaran 'Amir' kepada beliau di dalam video propaganda IS.

Kecederaan Isnilon itu merupakan tamparan kedua kepada IS Filipina pada bulan ini kerana pada 5 Jan, seorang lagi pemimpin IS yang berpangkalan di selatan Filipina, Mohammad Jaafar Maguid, yang dikenali sebagai Tokboy, telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan di sisir pantai di pulau Mindanao, kata seorang pegawai.

Beliau merupakan pengasas dan pemimpin Ansarul Khilafah Filipina (AKP), salah satu daripada tiga kumpulan yang membentuk IS cawangan Filipina, menurut pakar.

Dalam reaksi terhadap laporan mengenai empat militan terbunuh dan mencederakan Isnilon, Ketua Polis Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa pasukan keselamatan di Sabah bersedia untuk memintas apa saja cubaan militan yang mahu melarikan diri daripada serangan Filipina.

"Kami menyokong penuh serangan tentera Filipina ke atas kumpulan pengganas di selatan negara itu. Kami akan memberi kerjasama penuh, " kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Jumaat. " Anggota barisan hadapan kami telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang percubaan oleh pengganas yang melarikan diri dari selatan Filipina dan berlindung di Sabah."

Awal minggu ini, Khalid mengumumkan bahawa polis telah menahan seorang warga Filipina dan dua warga Bangladesh bersama seorang wanita tempatan dengan berkata keempat mereka merupakan anggota baru sel IS yang merancang untuk menggunakan Sabah sebagai transit sebelum dihantar ke Filipina.

Sel itu telah menerima arahan dari Isnilon dan bekas pensyarah di Universiti Malaya, Mahmud Ahmad, kata Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

'Persoalan Masa’


Isnilon mengetuai al Harakat ul Islamiyah Basilan, salah satu daripada tiga kumpulan militan selatan Filipina yang telah berjanji setia kepada IS dan berusaha membentuk IS Filipina, menurut Rohan Gunaratna, penyumbang BeritaBenar yang juga Pengarah Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura.

Juga bekas timbalan ketua Abu Sayyaf (ASG) yang bertanggungjawab bagi kawasan Basilan itu, Isnilon berpecah dari ASG dan bersatu dengan beberapa kumpulan lain yang berikrar setia kepada IS dengan menjemput pejuang asing untuk turut sama menyertai mereka.

“Dengan Presiden Dutarte bersumpah untuk menghapuskan ancaman daripada kumpulan-kumpulan yang berkaitan dengan IS di Filipina, Isnilon berpindah dari Basilan di barat Mindanao ke Mindanao tengah pada Disember 2016," Gunaratna memberitahu BeritaBenar pada Jumaat.

"Sebagaimana diketahui Isnilon tidak biasa dengan kawasan Mindanao tengah dan beliau terdedah kepada berbagai ancaman. Adalah menjadi persoalan, sama ada beliau akan ditangkap atau dibunuh."

Isnilon (gambar di bawah dalam notis yang diedarkan oleh FBI) berada dalam senarai kerajaan Amerika Syarikat, pengganas yang sangat dikehendaki kerena membunuh rakyat Amerika di luar negara itu; menculik yang mengakibatkan kematian; konspirasi menggunakan dan membawa senjata api semasa melakukan jenayah keganasan.  FBI menawarkan hadiah sehingga AS$5 juta bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan atau hukuman.

“Isnilon menjadi terkenal di peringkat global pada Mei 2001 apabila beliau dan anggota ASG lain menculik 20 orang pelancong termasuk tiga warga Amerika Syarikat, dari Dos Palmas Resort di Palawan," menurut Projek Anti-Ekstremisme. "ASG memancung salah seorang tebusan Amerika, Guillermo Sobero, dan merujuk kepada pembunuhan itu sebagai 'hadiah' kepada Presiden Filipina pada masa itu, Gloria Macapagal-Arroyo.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.