Dua Kanak-kanak Filipina Berlepas Pulang Sejurus Dibebaskan Imigresen Malaysia

Ray Sherman & Aminah Farid
2019.07.03
Kuala Lumpur, Malaysia
190703-MY-PH-Babbies1000.jpg Seorang kanak-kanak tanpa izin warga Filipina tidur di atas lantai kayu diperhatikan oleh ibunya dan tahanan lain di sebuah kem tahanan di Tawau, Sabah, Malaysia, 6 September 2002.
[AP]

Dua kanak-kanak berusia di bawah dua tahun yang berada di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil berlepas pulang dengan penerbangan Malaysia Airlines, lewat petang Rabu bersama ibu-ibu mereka, sejurus sahaja dibebaskan oleh pihak berkuasa negara itu, demikian disahkan kumpulan aktivis Tenaganita.

Tenaganita, kumpulan yang memperjuangkan hak imigran dan wanita berkata pihak berkuasa imigresen Malaysia telah menahan kedua-dua kanak-kanak berkenaan dalam satu operasi di sebuah kompleks apartmen di bandar Kajang yang terletak 20 km (12 batu) dari Kuala Lumpur dan berada di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil, selama 20 hari.

“Kedua kanak-kanak berumur bawah dua tahun berlepas ke Manila dengan penerbangan MH804 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama kedua ibu mereka pada kira-kira pukul 5.25 petang, Rabu.

“Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada jam 9.25 malam waktu tempatan dan akan disambut oleh rakan kami dan beberapa media di sana,” kata Glorene Das, Pengarah Eksekutif Tenaganita kepada BeritaBenar.

Das juga memberitahu yang salah seorang ibu kepada kanak-kanak itu mengambil anak beliau di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil di mana kedua-duanya ditempatkan manakala seorang lagi terus dibawa ke lapangan terbang sebelum berlepas.

“Kedua kanak-kanak itu ditahan semasa operasi di kawasan itu. Kedua-duanya dilahirkan di hospital Malaysia dan mempunyai dokumen sah berkenaan kelahiran mereka dari hospital tersebut.  Tetapi semasa pemeriksaan operasi itu, kedua ibu mereka tiada di rumah,” tambah Das kepada BeritaBenar.

Tidak diketahui lebih lanjut mengenai status kedua ibu mereka dan mengapa kanak-kanak itu dilahirkan di Malaysia dan juga sebab mereka ditahan di pusat tahanan selama 20 hari.

Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan pengesahan daripada Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud dan juga Pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur gagal kerana panggilan dan mesej yang dihantar tidak mendapat sebarang respon.

Penahanan kanak-kanak Filipina itu mendapat perhatian selepas Tenaganita mengeluarkan kenyataan pada lewat petang Selasa meminta supaya kedua-duanya dilepaskan segera daripada pusat tahanan imigresen itu.

Semasa ditahan kanak-kanak tersebut berada di bawah jagaan saudara kerana ibu mereka yang mempunyai pas perjalanan sah tiada di rumah.

Das dalam kenyataannya itu turut memberitahu yang Jabatan Imigresen terus menahan kedua kanak-kanak tersebut walaupun mendapat campur tangan Kedutaan Filipina dan Pejabat Timbalan Menteri Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Das juga berkata penahanan kedua-dua kanak-kanak tersebut melanggari Akta Kanak-Kanak 2001 dan melanggari semangat Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Artikel 37B, C) di mana Malaysia merupakan negara anggota konvensyen tersebut yang antara lain telah menyatakan apa yang terbaik bagi kanak-kanak merupakan perkara yang paling penting dan perlu diberikan keutamaan.

“Penahanan berterusan itu juga melanggari Akta Kanak-Kanak 2001 yang turut mengambil maklum hak untuk melindungi dan membantu dalam apa jua keadaan mana-mana kanak-kanak tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa dan agama,” kata Das lagi.

Pada Selasa, Khairul Dzaimee yang enggan mengulas lanjut berhubung sebab kenapa kanak-kanak itu ditahan hanya memaklumkan BeritaBenar tarikh kanak-kanak itu akan dihantar pulang selain memberitahu kelengkapan asas telah disediakan kepada kedua-duanya.

Pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil yang terletak di luar Kuala Lumpur pernah menjadi perhatian pada Mac 2017, apabila dokumen dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [Suhakam] yang dibiayai kerajaan menunjukkan bahawa pusat itu adalah antara kemudahan imigresen di negara itu, di mana lebih 100 warga asing meninggal dunia akibat pelbagai penyakit dan sebab kematian yang tidak diketahui dalam tempoh dua tahun.

Dua tahun sebelum itu agensi berita Reuters melaporkan bahawa data yang diberikan oleh Imigresen Malaysia kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) menunjukkan terdapat 83 kematian pada 2015 dan sekurang-kurangnya 35 kematian pada 1 Jan. sehingga 20 Dis. 2016. Dokumen tersebut menyatakan bahawa mereka yang ditahan meninggal dunia akan radang paru-paru, kondisi berkaitan jantung dan bakteria.

Kementerian Dalam Negeri yang memantau jabatan imigresen berkata ia sedang cuba untuk menambahbaik kondisi di pusat-pusat tahanan walaupun berdepan dengan kekangan kewangan menurut laporan.

Memetik temu bual dengan 13 bekas tahanan dan 12 yang lain yang kerap melawat pusat tersebut, Reuters berkata tahanan tidak diberikan makanan, air atau penjagaan kesihatan yang mencukupi dan banyak yang telah mengalami jangkitan kulit.

Daripada 118 orang yang direkodkan telah meninggal dunia pada 2015 dan 2016, sekurang-kurangnya 63 adalah dari Myanmar dan lima rakyat Indonesia, kata laporan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.