Malaysia Hantar Pasukan Ke Mindanao Pantau Proses Gencatan Senjata

Hadi Azmi & Zam Yusa
2019.03.06
Kuala Lumpur, Malaysia
190306-MY-PH-Mindanao620.jpg Ketua Delegasi TPA M14 ke Mindanao Mejar Jeneral Ya'cob Samiran bercakap kepada pemberita di Wisma Transit Angkatan Tentera Malaysia, di Kem Kementah, Kuala Lumpur, Malaysia, 6 Mac, 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Malaysia pada Rabu berkata yang kerajaan negara itu akan menghantar satu pasukan ke wilayah Mindanao di selatan Filipina bagi melaksanakan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), seperti yang ditetapkan di bawah perjanjian damai bagi wilayah autonomi Islam baru itu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, pasukan Pemantauan Antarabangsa Mindanao (TPA M14) itu akan berlepas pada Khamis dan akan berkhidmat selama 12 bulan di wilayah itu.

“Pasukan itu akan dianggotai seramai 16 orang di mana empat pegawai dan seorang anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiga pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia, tiga lagi dari Tentera Udara DiRaja Malaysia dengan dua pegawai daripada Polis DiRaja Malaysia.

“Pasukan itu juga akan dibantu masing-masing seorang pegawai dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya selepas memperkenalkan anggota pasukan pemantau itu di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, komposisi TPA M14 secara keseluruhannya melibatkan 28 pegawai dan anggota daripada empat buah negara dan Malaysia menjadi negara peneraju kepada pasukan itu yang turut dianggotai oleh Brunei yang menghantar sembilan pegawai, Jepun [2] dan Norway [1].

“Situasi keselamatan di Mindanao baru-baru ini agak tegang berikutan peningkatan insiden keganasan yang didalangi kumpulan militan dan penjenayah di samping pertempuran akibat masalah pertikaian hak milik tanah, politik dan keluarga.

“Ini jelas menunjukkan zon berkenaan tidak stabil dan berbahaya. Oleh itu, kita berharap dapat mewujudkan keadaan kondusif dalam menjalankan proses rundingan damai sehingga wilayah tersebut mendapat keamanan sepenuhnya,” tambah Panglima Tentera Darat itu lagi.

Penglibatan Malaysia dalam pemantauan wilayah Mindanao bermula sejak 10 Okt 2004 atas jemputan kerajaan Filipina dan MILF, dan bertetusan sehingga kini.

Mejar Jeneral Ya’cob Samiran yang akan mengetuai pasukan berkenaan pada sidang media yang sama juga mengulas tentang perbezaan mandat pasukan pemantauan kali ini berbanding siri terdahulu.

“Pada masa ini di Mindanao sudah ada Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM) dan telah melakukan gencatan senjata selain ketua menterinya turut dipilih.

“Misi ke-14 ini adalah lebih kepada memantau pelaksanaan gencatan senjata yang telahpun dibuat sebelum ini,” jelas beliau.

Dalam melaksanakan proses damai di wilayah itu, pihak kerajaan Filipina melalui Commission on Election (COMLEC) mengadakan satu pungutan suara bagi mendapatkan kata putus rakyat di selatan Filipina mengenai sokongan kepada Bangsamoro Organic Law (BOL), yang telah diluluskan oleh Kongres Filipina pada 24 Julai 2018.

Hasil pungutan suara itu menunjukkan keputusan yang memihak kepada sokongan terhadap BOL, sekali gus mewujudkan BARMM sebagai sebuah wilayah autonomi yang diketuai oleh mantan pengerusi MILF, Murad Ebrahim, yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri wilayah BARMM pada 22 Feb.

Tidak Memihak

Susulan perkembangan itu, Ya’cob berpendapat bahawa cabaran utama bagi TPA M14 di sana adalah untuk memastikan setiap rancangan selepas pungutan suara tersebut dilaksanakan dengan betul dan tepat.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pihak TPA M14 di bawah pimpinannya akan melaksanakan tugas mereka secara adil dan tidak memihak kepada kerajaan Filipina di Manila atau pun kerajaan wilayah BARMM.

Jarak antara Manila dan kepulauan Mindanao yang terletak di selatan negara itu adalah kira-kira 650 batu [1,040kilometer].

Mengulas tentang pihak yang masih tidak berpuas hati dengan hasil pungutan suara tersebut, Ya’cob berkata walaupun mereka terdiri daripada kumpulan-kumpulan kecil namun pihak TPA M14 akan terus berusaha membawa mereka kembali ke meja rundingan.

“Masih ada lagi elemen pergolakan di sana tetapi kami berharap perkara ini akan menjadi lebih baik kerana rakyat telah pun memilih BARMM… ia adalah kehendak mereka,” katanya.

Dalam laporan BeritaBenar sebelum ini, Murad mengesahkan bahawa terdapat cabaran besar yang bakal dihadapi kerajaannya ekoran wujudnya kumpulan serpihan MILF yang bersatu dengan gerakan militant Negara Islam (IS), yang kini cuba untuk bertapak di Asia Tenggara setelah tewas di Timur Tengah.

“Kami sedar tentang cabaran besar yang bakal dihadapi,” katanya dalam laporan pada 26 Feb lalu.

Selain itu, pemimpin gerakan Islam, Nur Misuari melalui peguamnya Emmanuel Fontanilla, berkata bahawa beliau enggan mengiktiraf kepimpinan Murad manakala pemimpin masyarakat Islam di daerah Lanao, Firdausi Abbas yang juga dikenali sebagai Sultan Lanao, bertegas untuk mewujudkan gerakan baru bagi menentang ‘pemerintahan diktator’ MILF di BARMM.

Sementara itu, penganalisis dari Institut Kajian Orang Asal Borneo Universiti Malaysia Sabah, Ayesah Uy Abubakar, berkata penglibatan Malaysia dalam proses damai di Mindanao sudah memasuk tahun ke-14.

“Setiap kali pasukan itu dihantar ke Mindanao, nampaknya sudah ada satu persepsi bahawa ia mungkin misi terakhir pasukan itu berdasarkan kepada perkembangan proses damai di antara kerajaan Filipina dan BARMM.

“Bagaimanapun, sebahagian daripada hala tuju Perjanjian Komprehensif Bangsamoro dan Rangka Kerja Bangsamoro ialah untuk membolehkan proses damai dilaksanakan sepenuhya sehingga mencapai fasa Perjanjian Keluar. Dalam konteks ini, tidak dapat dinafikan pentingnya kehadiran TPA sebagai pemerhati dalam proses tersebut,” katanya.

Ayesah berkata walaupun fungsi TPA adalah jelas dan dalam ruang lingkup tertentu seperti yang termaktub dalam perjanjian, namun ia tidak menghalang pasukan itu menjadi lebih proaktif dalam menyelesaikan konflik di Mindanao.

Menurutnya peranan Malaysia sebagai ketua kontinjen adalah sama penting dengan peranan fasilitator pada pertemuan dan dialog di antara kerajaan Filipina dan panel proses damai.

“Fasilitator Malaysia, Kamaruddin Mustafa, boleh terus menyumbang dalam membantu fasa pelaksanaan bersama-sama ketua misi TPA,” katanya.

Aiman Abd Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.