Pemimpin Kanan Pembangkang Nyata Sokongan Kepada Kerajaan Muhyiddin

Bekas pemimpin PKR Xavier Jayakumar umumkan keluar parti, isytihar Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
Noah Lee & Hadi Azmi
2021.03.15
Kuala Lumpur
Pemimpin Kanan Pembangkang Nyata Sokongan Kepada Kerajaan Muhyiddin Kepingan kayu bertingkat yang menampilkan gambar pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim semasa kempen pilihan raya umum ke-14 di Batu Caves, Selangor, Malaysia, 20 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang pemimpin tinggi parti politik pimpinan ketua pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim telah mengumumkan peletakan jawatan pada Sabtu dan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri dengan lebih banyak pembelotan seumpama itu dijangka akan berlaku dalam masa terdekat semasa negara itu terus menyaksikan perubahan landskap politik menjelang pilihan raya umum yang dikatakan akan dibuat tahun ini.

Xavier Jayakumar, yang merupakan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Kuala Langat mengumumkan perletakan jawatannya melalui satu kenyataan di akaun laman sosial Facebooknya pada pagi Sabtu, dengan berkata beliau telah membuat keputusan menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin kerana percaya rakyat memerlukan negara yang stabil bagi memulihkan ekonomi.

"Saya meletakkan jawatan sebagai naib presiden dan ahli PKR. Saya akan terus berkhidmat untuk kawasan saya dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional sebagai seorang ahli parlimen bebas," kata Xavier yang sudah bersama dengan PKR sejak 1998 lagi.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan mengenai parti-parti politik yang membincangkan mengenai pilihan raya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

"Keutamaan kita pada masa ini adalah untuk menyokong kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengumpul dana mencukupi bagi membina kembali ekonomi. Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk menghabiskan program vaksinasi COVID-19 dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

"Ini memerlukan sokongan dari kedua-dua belah pihak (bipartisan), bagi memastikan usaha kerajaan terlaksana. Rakyat mahukan keseimbangan dan menghidupkan semula sektor ekonomi. Bagi mencapai ini, kita perlu bekerja bersama dan bukannya melawan satu sama lain.

Xavier adalah Ahli Parlimen PKR dan yang ketiga keluar dari parti itu dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan Muhyiddin dalam tempoh dua minggu, dua minggu lepas, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon telah menyatakan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional dan menyerahkan surat akuan bersumpah mereka kepada Muhyiddin pada 28 Feb.

Perubahan sokongan itu berlaku ketika kerajaan Perikatan Nasional dikatakan berada dalam kedudukan yang goyah dan didakwa telah kehilangan majoriti di Parlimen dengan dua menteri dalam kabinet Muhyiddin pula memberikan isyarat bahawa mungkin akan ada lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan menuruti langkah Xavier itu.

"1+1+1+...... dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang," kata Menteri Kanan Azmin Ali dalam satu chantaran di Twitter sejurus selepas pengumuman Xavier.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa pula, seperti dilaporkan oleh media tempatan, berkata antara tujuh hingga lapan orang lagi Ahli Parlimen pembangkang dijangka akan turut melompat dan menyokong Perikatan Nasional.

Dewan Rakyat Malaysia mempunyai 222 kerusi secara keseluruhan, namun dua daripada kerusi itu kini kosong ekoran kematian penyandangnya pada tahun lepas, termasuk seorang daripadanya adalah daripada parti UMNO manakala seorang lagi adalah ahli parlimen pembangkang dari parti Warisan Sabah.

Menurut laporan media-media tempatan, berdasarkan kedudukan ahli parlimen semasa sidang Dewan Rakyat yang terakhir pada tahun lepas, Perikatan Nasional mempunyai majoriti tipis.

Tindakan Xavier serta Larry dan Steven telah menerima sambutan baik daripada 10 Ahli Parlimen kerajaan yang dahulunya berasal dari PKR. Kumpulan itu, termasuk Azmin, telah keluar beramai-ramai dari PKR pada 2020 ketika rampasan kuasa politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan digantikan oleh Perikatan Nasional.

Dalam satu kenyataan bersama, 10 orang Ahli Parlimen bekas PKR itu memuji tindakan ketiga-tiga rakan dari bekas parti mereka itu sebagai satu "langkah berani dan senada dengan aspirasi rakyat" selain turut mengkritik kepimpinan Anwar dalam PKR sebagai satu faktor yang menyebabkan parti tersebut ditinggalkan.

"Keputusan mereka untuk meninggalkan PKR juga didorong oleh rasa kecewa yang mendalam terhadap kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran," kata kenyataan itu.

Keluar parti kerana tekanan

Sementara itu, kepimpinan PKR pula mendakwa bahawa tindakan Xavier meninggalkan parti itu didorong oleh intimidasi dari pihak berkuasa, yang dikatakan telah menekan Ahli Parlimen tersebut supaya menyokong Muhyiddin.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan pada Sabtu mendakwa bahawa Xavier telah menjadi sasaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan PKR memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan. Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius," kata kenyataan Saifuddin itu.

"Ini adalah satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib," tambah beliau.

Beberapa hari sebelum itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam kenyataan media telah mendakwa bahawa agensi-agensi kerajaan termasuk SPRM, polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri telah digunakan sebagai "senjata politik" bagi menekan Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh agensi-agensi kerajaan tersebut.

Ketika ditemui media pada satu program vaksinasi COVID-19 di Kuala Langat pada Isnin, Xavier bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan mengenai tekanan ke atas beliau. Ahli politik itu bagaimanapun menegaskan bahawa beliau "kekal dengan pendirian" yang telah dibuat.

Sementara itu, penganalisis politik dari Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata tindakan pembelotan ahli-ahli parlimen PKR bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Kemusnahan PKR secara beransur-ansur adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Walaupun tanpa tawaran dan ugutan, ramai yang telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar yang lebih kepada bercakap besar tetapi tidak membuahkan hasil.

"Tetapi Xavier sendiri adalah sesuatu yang mengejutkan, kerana beliau adalah orang yang begitu mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri," kata Oh kepada BeritaBenar.

Beliau menambah bahawa ia adalah sesuatu yang "amat berkemungkinan" bahawa lebih ramai akan mengikut jejak langkah keluar dari parti itu.

Aktivis hak asasi Kee Thuan Chye pula mempersoalkan mengenai sebab di sebalik keputusan Xavier, dan menyatakan bahawa ahli politik itu tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan seandai dirinya benar bersih.

"Sesetengah bekas rakan (Xavier) di dalam PKR seolah cuba mempertahankan tindakan beliau, mengatakan bahawa dia tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak dipaksa. Beliau dikatakan telah terpaksa melompat kerana kononnya disasarkan oleh siasatan SPRM. Jadi para bekas rakan beliau menggesa kerajaan PN supaya menghentikan menyalahguna SPRM untuk menakutkan ahli parlimen pembangkang supaya menyeberang.

"Mungkin apa yang mereka terlepas pandang ialah: mengapa seorang ahli parlimen pembangkang menyerah kalah kepada intimidasi sekiranya mereka tidak bersalah dan tidak perlu takut disiasat?" kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.