UMNO setuju sertai kerajaan perpaduan namun bukan dengan Muhyiddin

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan bagi membincangkan kebuntuan pasca pilihan raya.
Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2022.11.23
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
UMNO setuju sertai kerajaan perpaduan namun bukan dengan Muhyiddin Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada media semasa kenderaannya mahu memasuki perkarangan Istana Negara di Kuala Lumpur, 23 Nov 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

UMNO, parti yang sekian lama memerintah Malaysia dan dicemari rasuah serta mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas yang menghasilkan keputusan tidak konklusif, pada awal Khamis berkata ia akan mematuhi titah diraja bagi membantu membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, “kerajaan perpaduan” itu yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, demikian menurut kenyataan UMNO merujuk kepada gabungan politik yang berada di tempat kedua pungutan kerusi Parlimen di belakang blok ikon pembangkang Anwar Ibrahim selepas pengundian pada 19 Nov.

Sehingga kini, Yang di-Pertuan Agong tidak mengeluarkan dekri megenai kerajaan perpaduan sebaliknya menitahkan mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan pada Khamis bagi membincangkan siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

“Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” menurut kenyataan UMNO yang merujuk kepada peneraju gabungan politik itu.

Semua wakil parti komponen Barisan yang menang dalam pilihan raya umum pada 19 Nov lepas akan “mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya.

Barisan Nasional berpotensi sebagai penentu meskipun mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum Sabtu lepas kerana jumlah 30 kerusi Parlimen yang dimenanginya berupaya membantu dua pihak yang sedang bersaing iaitu Perikatan dan Pakatan Harapan pimpinan Anwar mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan pemimpin Barisan meminta Ahli Parlimen blok itu mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan, kata Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi kepada sebuah portal berita tempatan.

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menitahkan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan pada Khamis bagi membincangkan siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid, yang juga Presiden parti itu, menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu. Menurut kenyataan itu, kumpulan teras UMNO membuat keputusan selepas berbincang sama ada menyokong Perikatan yang diterajui Muhyiddin atau Pakatan pimpinan Anwar.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan cadangan baginda berkaitan penubuhan kerajaan perpaduan yang ditolak oleh Muhyiddin namun Anwar lebih bersikap terbuka.

Baginda mengulangi perkara itu pada Rabu ketika bertemu Ahmad Zahid dan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang memenangi 23 kerusi.

“Titah Seri Paduka Baginda ialah membentuk kerajaan perpaduan. Baginda telah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan,” kata Ahmad Zahid kepada portal berita tempatan Malaysiakini.

Sebelum ini, Barisan menyataka bahawa ia akan menjadi pembangkang.

221123-MY-Inside.jpeg

Anggota Polis DiRaja Malaysia membuat sekatan jalan raya dengan tujuan mengetatkan kawalan keselamatan di sepanjang jalan di Sentul, Kuala Lumpur, 23 Nov 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

‘Kerajaan perpaduan boleh berlaku dengan Pakatan’

Selepas bertemu Ahmad Zahid dan GPS, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa Seri Paduka Baginda menitahkan mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan pada Khamis.

“Perbincangan khas ini bertujuan untuk Seri Paduka mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Majlis Raja-Raja Malaysia terdiri daripada sembilan sultan dan empat yang dipertua negeri.

Biasanya, Yang di-Pertuan Agong tidak membuat keputusan mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kerana pemimpin parti atau gabungan politik yang memenangi majoriti kerusi Parlimen menjadi pemimpin negara. Bagaimanapun, baginda mempunyai kuasa untuk melantik seorang Perdana Menteri yang diyakini memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Sudah dua kali Al-Sultan Abdullah terpaksa campur tangan dalam pelantikan Perdana Menteri iaitu pada 2020 ketika pelantikan Muhyiddin dan 2021 bagi melantik penyandang PM Ismail Sabri Yaakob.

Semasa pilihan raya umum pada Sabtu, dua blok pembangkang muncul sebagai calon yang mendahului meskipun masing-masing gagal mendapat majoriti mudah 111 kerusi manakala penyandang iaitu Barisan kalah teruk apabila hanya memperoleh 30 kerusi, yang terendah setakat ini.

Bersama rakan kongsi yang diisytihar iaitu MUDA dan DAP, Pakatan memperoleh lebih banyak kerusi Parlimen berbanding mana-mana gabungan politik lain iaitu 82, menurut keputusan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Perikatan pimpinan Muhyiddin pula, bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan GRS yang berpangkalan di Sabah megikuti rapat dengan 79 kerusi.

221123-MY-GE15 results bahasa.jpg

Penganalisis Tunku Mohar Mokhtar, yang bercakap kepada BenarNews sebelum pengumuman UMNO, berkata beliau optimis mengenai pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

“Ini boleh diusahakan … pada masa sama, turut mematuhi konsep perkadaran dalam kalangan parti komponen gabungan yang dicadangkan,” kata penganalisis daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada BenarNews.

“Jadi, kerajaan perpaduan boleh berlaku dengan Pakatan, Barisan dan GPS kerana blok yang berpangkalan di Sarawak itu pernah berkata bahawa ia akan menyokong siapa sahaja yang disokong oleh BN,” kata Tunku Mohar.

Sebelum ini, GPS berkata ia akan menyokong kombinasi Perikatan dan Barisan namun keputusan itu telah diselar oleh sesetengah pihak dalaman blok itu yang enggan bersekutu dengan parti komponen Perikatan iaitu PAS.

PAS, atau Parti Islam Se-Malaysia, memperoleh 49 kerusi dan berdasarkan pengiraannya, jumlah itu adalah yang terbanyak pernah dimenangi. Sesetengah wakilnya bertanding atas tiket Perikatan manakala yang lain atas tiket PAS.

PAS adalah sebuah parti konservatif yang tidak begitu disenangi oleh sebahagian masyarakat bukan Islam, menurut penganalisis. Penduduk Sarawak pula terdiri daripada 70 peratus penganut agama Kristian.

Sesetengah rakyat Malaysia juga tidak selesa dengan gabungan politik Pakatan yang dianggotai pelbagai kaum kerana khuatir kebajikan etnik Melayu yang merupakan penduduk majoriti Malaysia akan terjejas.

Sementara itu, polis pada Rabu telah memperketat kawalan keselamatan di seluruh negara selepas beberapa hantaran di media sosial dilihat mempromosi kebencian antara kaum di negara berbilang bangsa dan etnik itu.

Platform video TikTok pada Rabu menyatakan bahawa ia diletak dalam keadaan 'berwaspada' terhadap kandungan yang melanggar garis panduannya susulan peningkatan ketegangan kaum di media sosial, lapor agensi berita Reuters.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.