Kumpulan Hak Asasi Manusia Kecam Rang Undang-Undang Tatakelakuan Polis

Noah Lee & Ray Sherman
2020.09.01
Kuala Lumpur, Malaysia
200901-MY-police-800.jpg Polis melakukan rondaan di laluan yang ditutup berdekatan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan awam berikutan pandemik koronavirus, 16 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Badan bebas bagi menyiasat aduan salah laku polis, yang dicadangkan penubuhannya oleh kerajaan baru Malaysia, adalah tanpa ‘taring’ dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, kata kumpulan hak asasi manusia.

Kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu membentangkan di Parlimen satu rang undang-undang yang akan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis, dan menarik balik undang-undang serupa yang dibentangkan kerajaan sebelum ini pada 2019.

Tindakan itu menerima kecaman dan kritikan para pejuang hak asasi di dalam dan luar negara termasuk Human Rights Watch, yang menyifatkan rang undang-undang baru itu sebagai "langkah ke belakang daripada undang-undang sedia ada."

Suruhanjaya yang dicadangkan itu "tidak akan mempunyai kuasa untuk menghukum anggota polis yang melanggar hak," kata organisasi itu, yang berpejabat di New York, dalam satu kenyataan, sambil meminta kerajaan Muhyiddin menarik balik dan menyemak semula dengan teliti rang undang-undang tersebut "bagi memastikan kebertanggungjawaban polis secara lebih tulen."

Human Rights Watch menyifatkan rang undang-undang sebelum ini yang dibentangkan pada Julai 2019 sebagai "ada kekurangannya" tetapi suruhanjaya berkenaan akan mempunyai lebih banyak kuasa bagi mendisiplinkan tata laku polis.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga mengkritik rang undang-undang baru itu. Suhakam, sebuah suruhanjaya yang disokong Parlimen, menyatakan pihaknya "amat bimbang dengan kurangnya kebebasan selain adanya kelemahan fungsi" dalam cadangan suruhanjaya tatakelakuan polis itu.

Undang-undang itu, yang diperkenalkan oleh kerajaan Muhyiddin, yang memegang tampuk kuasa tanpa pilihan raya pada Mac lalu, tidak menggambarkan ‘roh’ Suruhanjaya Siasatan Diraja, kata Suhakam.

Pada 2005, suruhanjaya kerajaan itu telah mengesyorkan supaya sebuah badan bebas dibentuk untuk menyiasat dakwaan salah laku polis selepas terdapat aduan awam mengenai kezaliman dan tingkah laku buruk polis selain kematian tahanan polis.

Pada 2009, berdasarkan cadangan itu, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. Walaupun suruhanjaya itu diberi kuasa untuk menyiasat aduan salah laku terhadap anggota polis, namun ia tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa pesalah dan hanya boleh mengesyorkan tindakan disiplin terhadap mereka.

Kerajaan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad memperkenalkan rang undang-undang pengawasan polis pada Julai 2019, di tengah-tengah dakwaan bahawa penguatkuasa undang-undang terlibat dalam kehilangan paderi Kristian Raymond Koh pada Februari 2017 dan aktivis Syiah Muslim Amri Che Mat pada November 2016. Pada April 2019, siasatan Suhakam terhadap kehilangan kedua-dua lelaki itu merumuskan bahawa "ejen negara" mungkin terlibat dalam kes penculikan mereka.

Ketua polis Malaysia enggan mengulas versi terbaru rang undang-undang yang dibentangkan itu, yang secara langsung akan melibatkan 130,000 anggota pasukan persekutuan berkenaan.

"Kami akan menunggu perkembangan selanjutnya," kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada BeritaBenar pada Selasa, tanpa mengulas lanjut.

Pegawai lain dalam kerajaan semasa tidak melayani permintaan BeritaBenar untuk mengulas mengenai rang undang-undang kontroversi itu.

Sebuah persatuan yang mewakili anggota polis bersara menyuarakan bantahan keras mereka terhadap versi rang undang-undang 2019 dengan menyatakan bahawa pasukan polis tidak memerlukan "badan luar" untuk memantau tingkah laku pegawai dan anggota berpakaian seragam biru itu.

Rang undang-undang baru itu membolehkan polis menolak untuk menjawab soalan atau mendedahkan dokumen sensitif. Suruhanjaya itu juga harus memaklumkan kepada pihak polis sebelum melakukan sebarang kunjungan ke lokap atau pusat penahanan, menurut salinan rang undang-undang baru itu yang dilihat oleh BeritaBenar.

"Dengan memasukkan bahagian itu dalam Rang Undang-undang IPCC, Suruhanjaya berkenaan akan menjadi lebih buruk daripada mekanisme sedia ada," kata Suaram, sebuah kumpulan hak asasi manusia Malaysia. "Anggota polis boleh menolak untuk menjawab [soalan] berdasarkan alasan subjektif dan sewenang-wenangnya."

Suruhanjaya itu juga tidak mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa cadangannya dikuatkuasakan atau dilaksanakan, kata kumpulan itu.

Cynthia Gabriel, Pengarah Center for Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), sebuah NGO Malaysia, pula menyatakan bahawa pembentangan rang undang-undang baru itu menunjukkan bahawa integriti, memerangi impuniti dan menangani rasuah dalam pasukan polis bukanlah sebahagian daripada agenda kerajaan.

"Ikrar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memerangi rasuah mungkin sekadar kata-kata sahaja tanpa melakukan perubahan sistemik bermakna dan berstruktur terhadap institusi dan agensi penguatkuasaan undang-undang kita," katanya kepada BeritaBenar.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.