Perangi Kegiatan Judi Haram, Polis Malaysia Tahan Lebih 14,700 Orang

Ali Nufael
2019.06.24
Kuala Lumpur, Malaysia
190624-MY-Gambling620.jpg Suspek yang dipecayai terlibat dalam perjudian haram menyembunyi wajah mereka selepas ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan di Kajang, luar Kuala Lumpur, 5 April 2012.
[AFP]

Polis Malaysia telah menahan seramai 1,462 individu menerusi Ops Dadu bagi tempoh seminggu di seluruh negara, sebagai langkah memerangi kegiatan perjudian haram, kongsi gelap dan rasuah, demikian kata ketua jabatan siasatan jenayahnya pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed juga memberitahu seramai 14,759 individu yang terlibat dalam kegiatan judi haram telah ditahan sejak Januari lagi di mana 3.8 juta ringgit berjaya dirampas dan 10,361 peralatan perjudian turut disita dalam operasi sepanjang tempoh 6 bulan pertama itu.

"Sejak 19 Jun, polis telah menjalankan operasi khas iaitu Ops Dadu di seluruh negara dengan tindakan penguatkuasaan dibuat secara khusus sebagai usaha memerangi sindiket perjudian haram, selaras dengan gesaan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara,” kata Huzir pada Isnin itu.

Tumpuan memerangi aktiviti haram termasuk pelacuran dan perjudian haram itu dibuat susulan gesaan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador baru-baru ini.

Ketua Polis yang baru dilantik telah memberi amaran kepada pasukannya itu supaya tidak mempunyai sebarang hubungan atau menerima wang daripada kumpulan ketua kongsi gelap, jika tidak mahu berdepan dengan tindakan.

Huzir berkata, polis juga mengenal pasti 160 sindiket perjudian haram yang beroperasi di seluruh negara terutamanya di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Pahang.

Kata pegawai kanan polis itu lagi, selain menahan 1,462 orang itu, pihak polis turut menahan 667 individu lagi sebelum itu dengan sebanyak 447 premis diserbu.

Selain itu, Huzir turut mendedahkan mengenai sindiket perjudian antarabangsa yang menggunakan Malaysia sebagai pusat panggilan untuk menipu mangsa di luar negara.

Katanya sindiket berkenaan melibatkan warga China dan Indonesia dan seramai 1,228 warga asing dalam 75 operasi yang dijalankan ditahan di seluruh negara sejak Januari.

"Sindiket antarabangsa itu, menggunakan Malaysia sebagai pusat panggilan dan mereka akan menghubungi mangsa untuk membuat pertaruhan perjudian melalui dalam talian. Kami merampas peralatan komunikasi seperti telefon dan komputer," kata Huzir

Beliau berkata kesemua kes itu disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan juga Akta Imigresen.

Sekiranya didapati bersalah, seseorang itu boleh dipenjarakan untuk tempoh sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi 20 ribu ringgit (AS$4,826) jika sabit kesalahan.

Selain perjudian haram, Huzir berkata polis juga menjalankan operasi terhadap aktiviti maksiat melibatkan 55 sindiket dengan Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Johor adalah antara bandar utama yang mempunyai aktiviti maksiat yang tinggi.

"Dari Januari, pihak berkuasa telah menyerbu kira-kira 2,537 pusat maksiat (disko dan pelacuran) di mana 55 sindiket yang dikenalpasti beroperasi di negara ini menggunakan wanita dari Vietnam, China dan Thailand serta wanita tempatan sebagai pelacur. Sindikat ini juga mengendalikan bilik urut yang turut menyediakan perkhidmatan seks," tambah Huzir.

Semua kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Kesesakan  yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Huzir juga berkata polis juga telah mengenalpasti 105 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara dengan 72 daripadanya telah disenarai hitam dan seramai 9,042 individu juga dikenalpasti sebagai anggota kumpulan tersebut.

"Anggota kumpulan terdiri dari keturunan India, Cina dan Melayu telah dikenalpasti sebagai antara 10,000 ribu ahli dari 105 kumpulan kongsi gelap itu, dengan 627 telah ditahan kerana terlibat dengan kongsi gelap, manakala 400 lagi individu didakwa atas pelbagai kesalahan,” tambah Huzir.

Titik perubahan

Penganalisa jenayah, Mohammad Rahim Kamaluddin ketika dihubungi berkata titik perubahan terhadap tindakan membenteras aktiviti haram bermula dengan kenyataan berani dari Ketua Polis Negara.

"Ia adalah langkah yang berani dari Hamid dan ia menjadi peringatan kepada semua sindiket bahawa wang mereka tidak boleh membeli pasukan polis. Ini juga akan membawa keyakinan orang ramai kepada pasukan polis, tetapi ia akan mengambil masa tetapi boleh berlaku jika masyarakat dan polis bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini," kata ahli akademik dan kriminologi kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Hamid menghadapi tugas berat dalam usaha membersihkan pasukan polis daripada rasuah.

Pada 12 Jun lalu semasa wawancara dengan sebuah akhbar tempatan, Hamid berkata bahawa beliau dan Pengarah Siasatan Jenayah akan membuat ketua penjenayah dan sindiket sebagai sasaran mereka.

Hamid memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk menghentikan sebarang hubungan dengan tauke sindiket perjudian dan maksiat sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Nasihat saya, hentikan segera connection (hubungan) dengan sindiket judi dan maksiat kerana saya tidak akan bertolak ansur dan akan berusaha hapuskan gejala rasuah dalam pasukan. Selagi mereka (anggota polis) belum memakai baju jingga (baju lokap) dan digari tangan, ia masih belum terlambat,” tambah beliau.

Abdul Hamid berkata kegiatan judi yang berleluasa ketika ini hanya akan merosakkan tamadun dengan menambah, “Saya seru tauke judi ini lakukan perniagaan yang halal kerana Malaysia banyak sumber,”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.