Sidang Parlimen Minggu Depan Mungkin Saksikan Gesaan Pilihan Raya Tergempar

Lex Radz
2020.07.10
Kuala Lumpur, Malaysia
200710-MY-parliament-1000.jpg Ahli-ahli Parlimen Malaysia mendengar titah Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pembukaan persidangan Parlimen separuh hari di Kuala Lumpur, 18 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Minggu depan Malaysia akan memulakan sesi Parlimen yang pertama sejak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pemerintahan lebih empat bulan lalu, di tengah-tengah petunjuk bahawa usul undi tidak percaya atau pilihan raya umum tergempar akan memutuskan selama mana beliau bakal berkuasa.

Pembangkang nampaknya bertekad untuk menewaskan kerajaan bukan melalui pilihan raya yang diterajui Muhyiddin namun mereka tidak sepakat mengenai siapa yang harus menjadi calon yang bakal menggantikannya sebagai perdana menteri, jika pilihan raya tergempar itu diadakan akhir tahun ini. Pada masa yang sama, terdapat petunjuk bahawa rakan-rakan dalam gabungan kerajaan semasa tidak menyokong sepenuhnya pemimpin berusia 73 tahun itu.

Menurut penganalisis politik dan pelbagai sumber di kedua-dua  pihak, satu usul mungkin dikemukakan pada sesi baru itu bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat - langkah pilihan Muhyiddin kerana ia dapat membuka laluan baginya mengadakan pilihan raya tergempar.

"Ini adalah langkah yang realistik dan pasti berkesudahan dengan berkesan," kata Oh Ei Sun, felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada prospek pilihan raya umum yang diadakan lebih awal.

Muhyiddin mengetuai parti Bersatu tetapi parti utama dalam kerajaan gabungannya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang menguasai pemerintahan Malaysia selama 61 tahun sebelum ditumbangkan pada pilihan raya umum 2018.

Menurut laporan Nikkei Asian Review bulan lalu, sumber yang rapat dengan perdana menteri itu menyatakan bahawa beliau menyasarkan pilihan raya umum tergempar dengan harapan dapat "menyelesaikan kancah politik yang tidak menentu itu dengan mendapatkan mandat lima tahun yang baru daripada rakyat."

UMNO mempunyai 39 kerusi dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang, berdasarkan maklumat terbaru dalam laman web Parlimen, menguasai 114 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. UMNO telah membentuk pakatan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), satu lagi parti dalam gabungan kerajaan. Kerjasama dua parti berkenaan dikenali sebagai Muafakat Nasional.

“Orang Melayu mahukan UMNO atau PAS, yang kini sudahpun menjalinkan kerjasama, bukannya puak tidak menentu dalam parti Bersatu pimpinan Muhyiddin," kata Oh.

Usul ganti Speaker


Persidangan Parlimen, yang akan bermula pada Isnin dan berlanjutan selama 25 hari sehingga 27 Ogos, akan menjadi sesi pertama badan perundangan itu sejak Muhyiddin mengambil alih kepimpinan negara, selepas persidangan separuh hari diadakan tanpa perbahasan atau usul kira-kira dua bulan lalu.

Aturan urusan mesyuarat Parlimen bagi sesi kali ini akan merangkumi usul untuk menukar speaker Dewan Rakyat serta usul yang sudah diterima, yang dikemukakan pada awal tahun ini oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad - sekarang pemimpin pembangkang - untuk mencabar Muhyiddin melalui undi tidak percaya.

Namun, usul yang dikemukakan Mahathir mungkin tidak dibincangkan jika Muhyiddin berjaya menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat Mohd Ariff Md Yusof, yang pada awal Mei telah bersetuju menerima usul bekas perdana menteri itu. Mahathir, yang berusia 95 tahun pada  Jumaat, memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kejatuhannya pada akhir Februari.

Sejak itu, Mahathir tidak lagi terlibat dengan Pakatan Harapan, yang kini diterajui oleh ahli politik veteran Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan menjadi calon perdana menteri bagi PH.

Pada Khamis, Anwar membayangkan bahawa Pakatan Harapan akan berusaha menyekat usul bagi menukar Speaker Dewan Rakyat.

“PH akan mempertahankan speaker. Ariff, yang merupakan bekas hakim, telah melakukan tugasnya dengan baik. Menukar speaker pada sesi yang sudah bermula tidak pernah berlaku sebelum ini, ”kata Anwar.

Sementara itu, gabungan Pakatan Harapan juga goyah, dengan pembangkang terbahagi kepada puak yang diketuai oleh Anwar dan Pakatan manakala satu lagi  diketuai oleh Mahathir, menurut sumber daripada kedua-dua belah pihak itu.

Walaupun kekal berada dalam Pakatan Harapan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan parti Amanah yang berasaskan agama menyatakan bahawa mereka menyokong Mahathir untuk kembali sebagai perdana menteri, tetapi Mahathir pula berkata beliau mahu mencalonkan Shafie Apdal dari parti Warisan yang berpusat di Sabah sebagai pengganti perdana menteri,

Pilihan raya kecil

Minggu lalu, UMNO sekali lagi membuktikan bahawa ia masih menjadi pilihan dalam politik Malaysia apabila ia memenangi pilihan raya kecil pertama yang diadakan selepas kerajaan baru berkuasa.

Bekas perdana menteri Najib Razak membantu menggerakkan kemenangan UMNO pada pilihan raya kecil Chini dalam Dewan Undangan Negeri Pahang, selepas hakim membenarkan satu daripada perbicaraan rasuah Najib yang berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB ditangguhkan bagi membolehkan beliau membantu calon pilihan raya kecil itu berkempen. Chini terletak di kawasan Parlimen Pekan di Pahang yang diwakili Najib.

Kemenangan besar itu di Chini adalah bukti bagaimana hati orang Melayu - medan pertempuran utama untuk UMNO, PAS dan Bersatu - masih memilih parti tradisional Melayu yang membentuk Muafakat Nasional pada tahun lalu, kata bekas pemimpin berusia 66 tahun itu .

“Muafakat Nasional (MN) menjadi pilihan para pengundi di kawasan  Melayu. Itulah kebenaran yang tidak dapat diketepikan,” kata Najib.

"PN masih baru. Pengundi masih mempersoalkan sama ada ia sesuai,” kata Najib dalam wawancara khas yang disiarkan secara langsung di Facebook The Malaysia Gazette pada Khamis (9 Jun).

Oh pula berpendapat UMNO-PAS akan mendapat manfaat paling banyak daripada pilihan raya umum tergempar kerana mereka telah mengumpulkan sokongan pengundi yang berjumlah 75 peratus pada pilihan raya umum 2018.

"Parti Bersatu yang dipimpin Muhyiddin pasti akan diketepikan kerana tidak disukai oleh MN dan tidak dipercayai oleh pihak PH," kata penganalisis itu.

"Satu-satunya rahmat yang akan menyelamatkan Bersatu adalah perebutan kuasa dalaman UMNO, yang mungkin menyaksikan beberapa pihak akan tewas dan perlu mencari parti lain yang sesuai untuk dijadikan sandaran, atau sekurang-kurangnya bersekutu, demi pengaruh dan kepentingan politik," tambahnya.


Hadi Azmi dan Nisha David di Kuala Lumpur turut  menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.