PM Baharu Malaysia Tawar Reformasi Politik Untuk Raih Sokongan Pembangkang

Usaha itu mungkin sia-sia jika kerajaan menyerahkan jawatan penting kepada bekas PM Najib Razak, menurut beberapa laporan.
S. Adie Zul & Noah Lee
2021.09.10
Kuala Lumpur
PM Baharu Malaysia Tawar Reformasi Politik Untuk Raih Sokongan Pembangkang Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) membincangkan kerjasama dengan pemimpin pembangkang Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim (tiga dari kanan), Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu (paling kiri) dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 25 Ogos 2021.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri baharu Malaysia menawarkan beberapa reformasi institusi pada Jumaat dalam usaha meraih sokongan pembangkang kepada kerajaan pimpinan beliau yang memiliki majoriti tipis di Parlimen, kata seorang penganalisis.

Pembangkang telah mendesak kebanyakan reformasi yang ditawarkan oleh Ismail Sabri Yaakob termasuk undang-undang bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti dan mengehadkan tempoh Perdana Menteri memegang jawatan kepada selama 10 tahun.

“[Tawaran] Ini selaras dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong… tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” menurut Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.”

Tawaran lain termasuk membenarkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, setiap rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama serta pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan tempoh bagi usaha memperkenalkan reformasi itu.

Ismail Sabri berkata tawaran itu juga “bertujuan mewujudkan landskap politik baharu” susulan kekecewaan yang diluahkan oleh rakyat Malaysia terhadap politik dan ahli politik.

Negara itu telah menyaksikan tiga perubahan kerajaan dalam tempoh tiga tahun, dengan dua yang terakhir merupakan kerajaan yang tidak dipilih melalui proses pilihan raya.

Ismail Sabri dinamakan sebagai PM oleh Yang di-Pertuan Agong bulan lepas selepas bekas pemimpin terdahulu Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana Ahli Parlimen parti terbesar dalam pakatan pemerintahannya menarik balik sokongan mereka terhadap beliau.

Muhyiddin telah dinamakan sebagai PM oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan yang dipilih pimpinan ahli politik veteran Mahathir Mohamad tumbang pada Februari 2020 susulan pertelingkahan dalaman selepas melakar kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum 2018.

Sepanjang tempoh selepas tumbangnya kerajaan pimpinan Mahathir dan penubuhan kerajaan pimpinan Ismail Sabri, ramai Ahli Parlimen melompat parti di tengah-tengah dakwaan bahawa terdapat usaha membeli sokongan bagi meningkatkan jumlah kerusi di Parlimen.

Kerajaan Pakatan Nasional pimpinan Muhyiddin yang membabitkan Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) telah diselubungi pertelingkahan dalaman sepanjang pemerintahan beliau selama 17 bulan.

Sejak Ismail Sabri daripada UMNO mengangkat sumpah jawatan sebagai PM pada 22 Ogos lepas, parti dalam pakatan itu termasuk Bersatu yang diterajui Muhyiddin, sering bertikam lidah.

Seperti pendahulunya, Ismail Sabri memiliki majoriti tipis di Parlimen dengan 114 daripada 220 Ahli Parlimen yang menyokong beliau, menurut laporan. Sekiranya empat Ahli Parlimen terbabit menarik balik sokongan mereka, beliau akan kehilangan sokongan majoriti.

‘Skim Insurans’ PM

Dalam konteks inilah PM baharu itu menawarkan reformasi yang dituntut oleh pembangkang, kata Tunku Mohar Mokhtar, ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sambil menambah bahawa Ismail Sabri ingin memastikan bahawa beliau memiliki sokongan yang mencukupi sekiranya berlaku usul undi percaya.

“Tawaran Ismail Sabri itu merupakan skim insurans. Beliau mungkin menghidu kebarangkalian berlaku dahagi dalam kalangan pakatan tidak utuh yang membentuk kerajaan semasa,” kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Muhyiddin telah menawarkan reformasi serupa sehingga peringkat akhir beliau memegang jawatan apabila keadaan semakin jelas menunjukkan bahawa UMNO berhasrat menarik balik sokongan terhadapnya.

“Seperti Muhyiddin, beliau sedar bahawa sokongan daripada 114 Ahli Parlimen terbabit masih tidak menentu dalam jangka panjang. Perbezaannya di sini ialah tawaran Muhyiddin dibuat pada saat-saat akhir pelan untuk menyelamatkan beliau apabila kehilangan sokongan majoriti,” kata Tunku Mohar.

Ismail Sabri sepatutnya mengadakan usul undi percaya selepas sidang Parlimen dibuka semula pada Isnin namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada awal minggu ini berkata Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Kenyataan itu bagaimanapun bercanggah dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bulan lepas apabila baginda menyatakan bahawa individu yang dinamakan sebagai PM hendaklah mengadakan usul itu bagi memastikan sokongan majoriti.

Dua hari sebelum Wan Junaidi mengeluarkan kenyataan itu, Ismail Sabri melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara iaitu pasukan khas kerajaan berkaitan COVID-19.

Tindakan itu mengejut sesetengah rakyat Malaysia dan penganalisis kerana beberapa Ahli Parlimen dalam pakatan pemerintah, selain orang ramai, telah menuduh kerajaan Muhyiddin salah mengendalikan isu pandemik itu.

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi memberitahu BenarNews bahawa pelantikan Muhyiddin mempunyai kepentingan kepada PM baharu iaitu “bagi tujuan sokongan politik dan mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu,” parti pimpinan Muhyiddin yang menyokong PM dari UMNO itu.

Selepas mengumumkan pelantikan Muhyiddin, tersebar berita bahawa kerajaan telah mencalonkan ahli UMNO iaitu Ahmad Maslan, yang dikatakan anti-Ismail Sabri, sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Langkah itu turut dilihat oleh pemerhati sebagai tindakan Ismail Sabri bagi memastikan sokongan dalam kalangan partinya sendiri.

Kini PM baharu itu telah menawarkan beberapa reformasi yang diharap mampu mencapai matlamat yang sama dengan pembangkang, kata Tunku Mohar.

Penganalisis itu berkata beliau menjangkakan pembangkang menilai tawaran itu dengan berhati-hati dan mungkin mendesak agar pelaksanaan reformasi terbabit dipercepat.

“Pembangkang sememangnya mungkin mendesak perkara lain namun ia adalah permulaan yang baik bagi memastikan apa yang mereka perjuangkan sejak sekian lama kini boleh dilaksanakan,” katanya.

Jawatan Baharu untuk Najib?

Di tengah-tengah pelantikan dan tawaran itu, timbul pula laporan media bahawa Ismail Sabri merancang untuk melantik seorang lagi bekas PM, Najib Razak, sebagai penasihat ekonomi beliau. Bagaimanapun, pentadbiran beliau dan para pegawai kerajaan tidak mengesahkan perkara itu.

Najib, yang sedang mengemukakan rayuan berhubung sabitan bagi kesalahan rasuah dan hukuman penjara 12 tahun terhadapnya dalam perbicaraan pertama kes membabitkan skandal 1MDB, dianggap tokoh berpengaruh dalam UMNO.

Para penyokongnya, menurut pemerhati, boleh digunakan bagi menghalang elemen tidak puas hati dalam UMNO daripada menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri.

Jika Najib dinamakan sebagai penasihat ekonomi PM, Ismail Sabri mungkin agak keterlaluan dan menjejaskan sebarang peluang kerjasama dengan pihak pembangkang, kata Lim Kit Siang yang merupakan pemimpin Parti Tindakan Demokratik.

‘Pengumuman unilateral’ Muhyiddin sebagai peneraju pasukan khas COVID-19 sudah pun mencetuskan pelbagai reaksi, menurutnya dalam satu kenyataan.

“Kini terdapat pula desas-desus bahawa seorang bekas Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengheret Malaysia ke kancah kleptokrasi akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri kepada Perdana Menteri,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.