Konvensyen parti, isyarat jelas PRU15 semakin dekat

“PRU tidak lama lagi, Perdana Menteri sudah bagi komitmennya, tapi dia tak boleh bagi tarikh,” kata pemimpin kanan UMNO.
Iskandar Zulkarnain & Nik Sukry Ramli
2022.08.29
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Konvensyen parti, isyarat jelas PRU15 semakin dekat Potret Pesiden UMNO dari yang pertama sehingga terkini dapat dilihat terpampang di dalam dewan utama semasa Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL) di Kuala Lumpur, 15 Mei 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Parti-parti politik utama Malaysia mengadakan perhimpunan besar-besaran atau konvensyen pada hujung minggu, memberikan isyarat jelas yang mereka yakin pilihan raya umum akan berlangsung dalam masa terdekat, demikian menurut para penganalisis, selepas kerajaan pada Jumaat mengumumkan Bajet 2023 akan diawalkan.

Pada perhimpunan khas UMNO yang mengetuai kerajaan, presiden parti itu menghuraikan hujahnya kepada 5,000 perwakilan perwakilan yang hadir mengapa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu disegerakan sambil disambut oleh sorakan cemuhan oleh pemimpin dan ahli akar umbi setiap kali nama perdana menteri dari parti itu sendiri, Ismail Sabri Yaakob disebut dalam ucapan berkenaan.

Perdana menteri telah beberapa kali menyatakan secara terbuka berhubung pendirian untuk tidak mengadakan PRU15 lebih awal dari penghujung penggal, sambil menyatakan isu inflasi dan persekitaran ekonomi global yang mencabar sebagai faktor utama.

“Biarlah saya mengingatkan semua termasuk pembangkang, desakan supaya PRU15 dipercepatkan bukan isu baru, ia bukan soal kita gilakan kuasa, bukan kerana kita gopoh hingga ada yang menuduh sesama sendiri kononnya kita mahu percepatkan PRU kerana gilakan kuasa dan gilakan kedudukan.

“Desakan ini telah kita lakukan sejurus kerajaan Pakatan Harapan terbubar dengan sendirinya ekoran percaturan kuasa sesama mereka.

“Begitu juga apabila berlaku peralihan perdana menteri kita dengan tegas menyebut kerajaan yang dibentuk adalah bersifat sementara dan PRU mesti diadakan dengan segera,” ujar presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya pada Taklimat Khas Presiden yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan UMNO konsisten mendesak supaya Dewan Rakyat dibubarkan dan mandat dipulangkan kepada rakyat sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada Feb 2021.

“…kita akhirnya telah berjaya meletakkan naib presiden kita menerajui kerajaan. Walaubagaimanapun, kita tetap tegas dengan pendirian bahawa PRU perlu diadakan segera,” ujar Zahid lagi, sambil disambut ejekan cemuhan oleh para perwakilan terhadap Ismail Sabri.

Menurutnya, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memberikan panduan kepada perdana menteri agar PRU diadakan setelah negara mencapai imuniti kelompok (pandemik COVID-19) telah dicapai.

“Dengan kata lain, semua itu telah berakhir, pandemik telah berakhir, bila lagi? Kita konsisten menuntut PRU perlu diadakan kerana kita menghormati mandat rakyat, kita mahu sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat dan bukannya percaturan kuasa,” tambah Zahid lagi disambut sorakan ‘bubar’ dari perwakilan yang hadir.

Ujarnya lagi, PRU15 perlu diadakan segera bagi membuka laluan kepada penubuhan sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat rakyat dan bukannya melalui percaturan kuasa.

“Jadi janganlah ada di antara kita yang menuduh kita gopoh kita mahukan PRU. Ini keputusan keputusan MKT UMNO, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO!” tegasnya, yang menyaksikan para ahli parti bangun dan menjerit supaya parlimen dibubarkan.

Pengampunan Diraja

Majlis taklimat itu berlangsung dengan penuh emosi apabila Zahid menzahirkan kesedihan di atas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM250 juta terhadap mantan perdana menteri Najib Razak kerana menyelewang RM42 juta dana dari SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Dengan linangan air mata, Zahid merakamkan penghargaan parti itu kepada isteri Najib, Rosmah Mansor dan dua anak pasangan yang turut hadir.

“Kita berhimpun pada petang ini hanya dengan satu matlamat iaitu mahu mengembalikan Malaysia menajdi sebuah negara yang bersendikan hukum dan bukannya negara yang ditadbir oleh pencatur undang-undang rimba,” ujarnya sambil menyatakan sokongan kepada gerakan supaya Najib dibebaskan dari penjara melalui pengampunan diraja.

Timbalan Zahid, Mohamad Hassan pula mendesak supaya PRU15 diadakan sebelum penghujung tahun.

“Pilihan raya umum sudah tidak lama, Perdana Menteri sudah bagi komitmennya, tapi dia tak boleh bagi tarikh, takkan dia hendak bagi tarikh sehingga dia terpaksa kata, takkan saya hendak bawa tahun depan.

“Jadi, jelas sangatlah, jelas pilihan raya tahun ini. Kalau pilihan raya umum tahun ini takkan hendak buat bulan 12, nanti orang berenang pula pergi mengundi. Bulan 12 di Pahang bukan calang-calang banjir.

“Jadi, itu jangka masa yang kita perlu perhatikan betul-betul, gerak kerja kita, kita buat sebelum bulan 12,” katanya pada Majlis Perjumpaan Timbalan Pengerusi BN bersama Komponen BN Pahang di Kuantan, pada Isnin.

PN, PKR sedia hadapi PRU15

Dalam pada itu, Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional menegaskan gabungan yang diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersedia menghadapi PRU dalam masa terdekat.

“…. kita dengar ura-ura kemungkinan ia akan diadakan dalam masa yang terdekat. Mungkin lepas perdana menteri bentang belanjawan 7 Oktober, esok mungkin parlimen dibubarkan. Itu telahan saya,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen PN 2022 yang turut berlangsung pada Sabtu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia.

Muhyiddin yang juga presiden BERSATU mendakwa terdapat perjanjian bertulis di antara perdana menteri dengan PN dalam menentukan tarikh pilihan raya.

“Tapi tahu lah sama ada PM masih ingat adanya perjanjian itu. Apapun kita sudah pun bersedia untuk hadapi pilihan raya bila-bila masa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketua pembangkang yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim turut melaungkan keyakinan parti itu telah bersedia untuk menghadapi PRU15 seawal Oktober.

“Seperti mana yang disebut oleh Pengarah Pilihan Raya (Rafizi Ramli tadi, (kita) siap sedia (gerak kerja) sehingga akhir September. Maknanya Oktober itu kita dah bersedia penuh,” ujar Anwar kepada media pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 yang juga berlangsung pada Sabtu.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berpandangan UMNO dijangka mengeksploitasi sepenuhnya keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib untuk meraih undi, terutamanya daripada orang Melayu.

"Seperti yang kita lihat pada sesi taklimat Presiden UMNO, Zahid menggunakan sepenuhnya pentas untuk memainkan emosi ahli akar umbi UMNO dengan merujuk kepada kes Najib.

"Begitu juga ucapan daripada anak Najib, Noryana dan Mohd Nizar, ia adalah strategi untuk mempengaruhi emosi semua yang hadir di dalam dewan dan di luar dewan," katanya ketika dihubungi Benarnews di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, perubahan tarikh bagi pembentangan Bajet 2023 diawalkan kira-kira tiga minggu dari tarikh asal juga boleh dikira sebagai tanda bahawa PRU15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

"Melalui (pembentangan) Bajet itu, Perdana Menteri atau Menteri Kewangan akan membentangkan satu bajet yang boleh memberikan pelbagai insentif kepada rakyat.

"Ini termasuklah insentif seperti subsidi atau perkara berkaitan yang boleh meringankan beban rakyat, beban kos sara hidup dan inflasi.

"Saya jangka kerajaan akan membubarkan Parlimen selepas pembentangan bajet dan ini bukan kali pertama kerajaan berbuat demikian, kalau tak silap saya, ketika Mahathir menjadi PM, dia juga pernah membubarkan Parlimen selepas pembentangan bajet," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, pilihan raya umum perlu dibuat segera, ketika sentimen simpati terhadap bekas Perdana Menteri, Najib dalam kalangan rakyat dan penyokong masih tinggi.

Katanya, kalau pilihan raya umum ditunda sehingga tahun depan, UMNO tidak dapat menggunakan isu pemenjaraan Najib untuk bahan kempen mereka.

"Jadi, masa paling baik ialah sekarang, ketika isunya masih hangat dan rancak diperkatakan oleh orang ramai," katanya.

PN, PKR sedia hadapi PRU15

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi, mempunyai pendapat hampir sama dengan apa disuarakan Jeniri susulan langkah mempercepatkan pembentangan bajet.

"Begitu juga dengan pergerakan dalam parti politik utama di Malaysia hujung minggu lalu, UMNO dengan sesi taklimat Presiden, PKR buat konvokesyen dan PN juga buat konvensyen, semuanya adalah persiapan akhir mereka untuk berdepan PRU15.

"Jadi, saya jangkakan ia (PRU15) akan diadakan tahun ini juga dan UMNO akan menggunakan sepenuhnya kes Najib sebagai bahan utama dalam kempen mereka apabila Parlimen dibubarkan," katanya.

Lau Zhe Wei, penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula percaya bahawa PRU15 akan diadakan pada tahun ini.

Ujarnya, pemimpin UMNO akan meningkatkan desakan ke atas Ismail Sabri dan tidak menolak kemungkinan mereka akan mengambil langkah drastik memecat perdana menteri itu dari parti sekiranya perlu.

“Tambahan lagi, dengan tekanan yang semakin memuncak selepas Najib dipenjarakan, saya menjangkakan kepimpinan UMNO yang berpihak kepada Zahid akan mendesak supaya parlimen dibubarkan. Walaupun sehingga terpaksa memecat Ismail Sabri dari parti itu, ia bukan perkara yang mengejutkan buat saya,” katanya kepada BenarNews.

“Ismail Sabri akan terus kekal sebagai perdana menteri kerana ia melibatkan sokongan dalam Dewan Rakyat namun beliau akan kehilangan segalanya selepas penggal ini berakhir,” ujar pensyarah Jabatan Sains Politik UIAM itu lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.