Pilihan raya umum Malaysia bakal saksikan persaingan sengit

Beberapa tinjauan menunjukkan tiada parti atau gabungan politik akan memperoleh majoriti mudah sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku Parlimen tergantung.
Iman Muttaqin Yusof & Fitri Hazim
2022.11.17
Kuala Lumpur
Pilihan raya umum Malaysia bakal saksikan persaingan sengit Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Pakatan Harapan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi ceramah semasa kempen pilihan raya umum di Kuala Lumpur, Malaysia, 16 Nov 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada Sabtu manakala beberapa tinjauan menunjukkan bakal berlaku persaingan sengit apabila gabungan parti pemerintah yang tercemar dengan rasuah dan tidak dipilih cuba mendapatkan semula mandat rakyat selepas disingkirkan pada pilihan raya bersejarah empat tahun lepas.

Para pengundi mencari kestabilan politik setelah menyaksikan taktik licik serta keadaan huru-hara sepanjang penggal Parlimen yang lepas selain risiko inflasi ketika kemelesetan ekonomi kelihatan semakin menghampiri dan mereka mahukan kerajaan yang bersih selain terhindar daripada pelbagai skandal rasuah.

Bagaimanapun, jika tinjauan terbaharu menjadi petanda, Malaysia mungkin menyaksikan Parlimen tergantung dan bukannya kemenangan UMNO susulan perpecahan dalam kalangan pembangkang sebagaimana yang diramalkan oleh penganalisis sebelum ini.

“Pilihan Raya Umum Malaysia Sabtu ini tidak mungkin menyaksikan kemenangan mutlak mana-mana pihak,” menurut firma penyelidikan pasaran YouGov dalam kenyataan mengenai tinjauan dari 8 hingga 14 Nov membabitkan 2,687 rakyat Malaysia, yang dikeluarkan minggu ini.

Satu lagi tinjauan bebas oleh Merdeka Center, yang diadakan dari 5 hingga 8 Nov, menunjukkan keputusan serupa. Kedua-dua tinjauan menunjukkan bahawa 20 hingga 22 peratus responden tidak dapat membuat keputusan atau enggan menyatakan siapa yang akan diundi Sabtu ini.

Lebih 21 juta rakyat Malaysia layak mengundi, meningkat daripada hampir 15 juta pada 2018 iaitu selepas rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 daripada 21 tahun berkuat kuasa Disember lepas.

Seramai 945 calon akan berentap bagi merebut 222 kerusi Parlimen yang menjadikan pilihan raya umum kali ini melakar sejarah tersendiri dengan jumlah calon paling ramai bertanding. Calon tertua ialah bekas Perdana Menteri dua kali Malaysia iaitu Mahathir Mohamad yang berusia 97 tahun dan dilihat sebagai tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam politik.

Pilihan raya itu diadakan hampir setahun selepas kerajaan gabungan yang diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang tidak dipilih memutuskan sudah tiba masanya, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob "untuk menunjukkan kestabilan politik dan membentuk kerajaan yang kuat stabil dan dihormati."

221117-MY-GE2.jpg

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (kiri), dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), berbual dengan seorang pengundi di sebuah restoran menjelang pilihan raya umum negara itu, di Kuala Lumpur, 14 Nov 2022. [Mohd. Rasfan/AFP]

Blok Barisan Nasional pimpinan UMNO yang memerintah negara sebelum Parlimen dibubarkan pada Oktober telah mengalami kekalahan bersejarah buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum 2018 susulan dakwaan rasuah yang berleluasa.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan yang menewaskannya tumbang akibat pertikaian dalaman dan sejak itu, Malaysia telah dibelenggu oleh ketidakstabilan politik yang menyaksikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun.

Adakah Pakatan, kini diterajui Anwar Ibrahim, akan memenangi pilihan raya umum buat kali kedua? Atau adakah rakyat Malaysia percaya hanya Barisan yang bertunjangkan etnik Melayu mampu mengemudi kerajaan yang stabil? Dan mampukah blok baharu iaitu Perikatan Nasional pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, satu lagi gabungan politik yang berpaksikan Melayu, memberi kesan yang ketara?

Meskipun pilihan raya umum pada 19 Nov ini akan memberikan jawapannya, tinjauan terbaharu mungkin memberikan beberapa petunjuk.

Pakatan Harapan mendahului tinjauan

Tinjauan menunjukkan bahawa gabungan pembangkang iaitu Pakatan dan Perikatan telah menunjukkan kemajuan ketara dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini meskipun pada awalnya penganalisis memberikan kelebihan kepada Barisan kerana meraih beberapa kemenangan dalam pilihan raya negeri.

Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata perkara ini berlaku susulan populariti Barisan yang semakin merosot.

"UMNO-BN mempunyai isu dalaman yang timbul daripada pemilihan calon, dan pemimpin kontroversi,” kata Ibrahim kepada BenarNews.

UMNO menggugurkan beberapa penyokong Perdana Menteri daripada senarai calon pilihan raya yang menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan ahli akar umbi. Selain itu, meskipun Presiden parti yang tercemar dengan rasuah Ahmad Zahid Hamidi bertegas bahawa Ismail Sabri Yaakob akan menjadi PM jika Barisan memenangi pilihan raya itu, spekulasi bertiup kencang bahawa beliau akan mengangkat dirinya sendiri ke jawatan itu.

Sesetengah pengundi juga mempunyai persepsi bahawa UMNO mahukan pilihan raya disegerakan atas alasan politik dan bukannya untuk menangani masalah negara, kata Ibrahim.

Tinjauan YouGov menunjukkan bahawa daripada tiga gabungan utama, blok Pakatan Anwar berkemungkinan besar memperoleh undi terbanyak iaitu 35 peratus diikuti Perikatan pimpinan Muhyiddin yang dijangka mendapat 20 peratus undi manakala Barisan yang diterajui UMNO meraih 17 peratus undi.

Parti-parti lain pula dilihat memperoleh lapan peratus undi manakala 20 peratus responden berkata mereka tidak dapat membuat keputusan atau enggan menyatakan siapa yang akan diundi.

"Walaupun Pakatan Harapan dijangka meraih kejayaan di kawasan bandar di Malaysia, bilangan pengundi yang jauh lebih rendah diperlukan untuk memenangi kerusi di kawasan luar bandar di mana Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mungkin menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan ini bermakna Parlimen akan menjadi lebih kompleks," demikian menurut Ketua Hal Ehwal Awam dan Pengundian YouGov Asia-Pasifik Campbell White dalam satu kenyataan.

Kesemua tinjauan turut menunjukkan tiada gabungan politik yang akan memenangi majoriti mudah iaitu 112 daripada 222 kerusi, yang bermaksud dua gabungan mungkin perlu bersekutu, atau parti serantau mungkin perlu menyokong mana-mana gabungan politik, atau beberapa gabungan politik.

Ini bukan formula untuk kerajaan yang stabil.

Ini bermakna Malaysia mungkin sekali lagi menyaksikan berlaku pertukaran dalam pentadbiran susulan janji yang tidak ditepati, perbuatan saling membalas budi yang tidak boleh dipercayai dan pertempuran ego yang terlalu besar.

221117-MY-GE3.jpg

Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Malaysia dan ketua gabungan Perikatan Nasional, memberi ucapan semasa kempen pilihan raya umum di Ulu Klang, Selangor, 14 Nov 2022. [Hasnoor Hussain/Reuters]

Melayu memilih

Semuanya mungkin bergantung kepada cara etnik Melayu memilih.

Merdeka Center melakukan survei ke atas orang Melayu, yang merupakan 70 peratus daripada penduduk Malaysia, mengenai gabungan politik pilihan mereka.

Ia mendapati 35 peratus orang Melayu memilih Perikatan, gabungan yang merangkumi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif dan hanya 28 memilih Barisan, yang pernah menjadi pilihan utama pengundi Melayu.

"PAS memiliki akar umbi yang utuh manakala Muhyiddin pula adalah pemimpin yang kebanyakan pengundi Melayu boleh terima," kata Ibrahim merujuk kepada imej bersih bekas Perdana Menteri itu.

Lau Zhe Wei, profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pula berkata Perikatan telah berjaya memenangi hati penyokong Barisan kerana bergabung dengan PAS dan berkempen atas platform ketuanan Melayu.

“Secara perlahan-lahan, Perikatan menjadikan kehadirannya dirasai semasa Pilihan Raya Negeri Melaka melalui penggunaan ‘Abah’ – figura bapa yang digunakan oleh orang Melayu untuk merujuk kepada Muhyiddin – dan imej bersih untuk kempen beliau,” kata Lau kepada BenarNews.

"Kehadiran Perikatan dalam pilihan raya ini tidak boleh dipandang enteng."

Penganalisis Azmi Hassan berkata kemenangan Barisan bergantung kepada sama ada ia mampu memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus undi Melayu di 90 kerusi di mana mereka adalah penduduk majoriti.

“Saya katakan 50 peratus adalah angka yang bagus untuk mereka memperoleh undi Melayu di setiap kawasan yang berbeza, kerana 50 peratus lagi akan berpecah dalam kalangan pembangkang iaitu Pakatan, Gerakan Tanah Air [Mahathir] dan Perikatan,” kata Azmi kepada BenarNews.

“Jika Barisan boleh meraih separuh daripada undi Melayu di 90 daripada 165 kerusi yang dipertanding di Semenanjung Malaysia, mereka akan menang,” kata felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu.

Isu-isu penting

Pada akhirnya, rakyat Malaysia mahukan kerajaan yang akan membendung inflasi terutama kenaikan kos makanan dan hidup.

Penganalisis berkata kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun depan adalah benar dan James Chin dari Universiti Malaya memberitahu agensi berita AFP bahawa “kos hidup sedia ada yang menyakitkan akan terus meningkat tahun depan.”

Menjangkakan senario ini, kerajaan UMNO telah membentangkan satu belanjawan yang bersifat populis termasuk potongan cukai dan bantuan tunai secara langsung sebelum Parlimen dibubarkan dan telah menegaskan dalam kempennya bahawa ia akan memastikan belanjawan itu dilaksanakan.

Pakatan pula bersandarkan kepada latar belakang Anwar sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meyakinkan pengundi bahawa penstrukturan semula ekonomi perlu dilakukan susulan apa yang digelar sebagai endemik rasuah.

Bagaimanapun, langkah membendung inflasi dan penstrukturan semula ekonomi memerlukan kerajaan yang bersih yang memfokus kepada tadbir urus berbanding kelangsungannya, justeru pengundi berharap untuk mengundi untuk kestabilan.

UMNO disingkirkan pada 2018 susulan dakwaan pembabitan Perdana Menterinya Najib Razak dalam skandal kewangan 1MDB. Najib kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Presiden UMNO Zahid pula sedang dibicarakan bagi kesalahan rasuah.

Kerajaan Pakatan sebelum ini, meskipun bersih, bukanlah model yang sesuai untuk kestabilan kerana tumbang selepas 22 bulan memerintah susulan pertikaian dalaman.

Bagi pemimpin Perikatan iaitu Muhyiddin, ramai yang berdepan kesukaran untuk memaafkan konspirator bersama 'langkah Sheraton' yang menumbangkan kerajaan pertama bukan diterajui UMNO iaitu pemenang pilihan raya umum pada 2018 iaitu Pakatan Harapan.

Jadi, bukan mudah untuk membuat keputusan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.