Putrajaya Umum SOP Sambut Aidilfitri Seluruh Negara

Sambutan rumah terbuka tidak dibenarkan sama sekali, solat sunat dan ziarah Aidilfitri dibenarkan di kawasan yang mendapat kelonggaran.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-05-04
Share
Putrajaya Umum SOP Sambut Aidilfitri Seluruh Negara Seorang peniaga hiasan sedang menyusun barang-barang jualan di gerainya yang terletak di Bazaar Aidilfitri di Lorong Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, 27 April 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Masyarakat Muslim di Malaysia perlu menghadkan bilangan tetamu ke rumah mereka bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu antara 15 hingga 25 orang pada satu-satu masa di kawasan yang mendapat kelonggaran, susulan lonjakan mendadak kes baru koronavirus, umum Menteri Kanan Keselamatan pada Selasa.

Bagaimanapun Putrajaya tidak membenarkan sebarang aktiviti kunjung mengunjung di kawasan yang berada di bawah kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, selain tidak membenarkan sebarang penganjuran rumah terbuka Aidilfiri seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri semasa sidang medianya di pusat pentadbiran negara itu turut memberitahu enam daerah di negeri Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei sehingga 17 Mei 2021.

“Tiada sebarang penganjuran rumah terbuka Aidilfiri dibenarkan di seluruh negara manakala untuk ziarah Aidilfitri, kawasan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dan dibolehkan menerima kehadiran tetamu seramai 15 orang pada satu-satu masa serta perlu mengamalkan penjarakan sosial.

“Ziarah Aidilfitri pula tidak dibenarkan sama sekali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) dan sambutan hanya boleh dibuat oleh ahli keluarga dalam satu rumah sahaja manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, ziarah Aidilfitri dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal,” katanya.

Ismail berkata bagi semua tuan rumah yang menerima kunjungan tetamu, mereka digalakkan untuk menyediakan pengimbas suhu, kod QR My Sejahtera dan juga buku pencatat kehadiran.

Jelasnya lagi, bagi kawasan PKPB, tetamu hanya dibenarkan seramai 20 orang pada satu-satu masa, manakala di kawasan PKPP pula tetamu tidak dibenarkan melebihi 25 orang pada satu-satu masa, tertakluk kepada saiz rumah dan penjarakan fizikal perlu diamalkan setiap masa.

Enam daerah di bawah PKP

Ismail semasa sidang media yang sama berkata kerajaan turut memutuskan bahawa enam daerah di Selangor dikenakan PKP selama 12 hari bermula 6 Mei berikutan kenaikan kes COVID-19 yang mendadak melibatkan kawasan-kawasan tersebut.

Selangor terus menduduki tangga teratas bagi negeri yang merekodkan kes harian tertinggi pada Selasa dengan 675 kes daripada jumlah 3,120 kes harian.

“PKP akan dilaksanakan semula di enam daerah di negeri Selangor melibatkan daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang selama 12 hari bermula 6 Mei sehingga 17 Mei 2021.

“Dengan itu pergerakan rentas negeri dan daerah antara daerah ini tak dibenarkan kecuali kes melibatkan urusan kematian, kerja dan kecemasan,” katanya.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berkuat kuasa Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti pelaksanaan PKP yang dilaksanakan di Kelantan dan lima daerah di Kedah," katanya lagi.

Menurut Ismail, Majlis Keselamatan Negara memutuskan PKP untuk enam daerah di Selangor selepas meneliti pembentangan Kerajaan Selangor serta merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan data sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021," ujarnya.

Menurut Ismail, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau serta aktiviti takbir raya adalah dibenarkan di kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun jumlah kehadiran adalah tertakluk pada keputusan pihak berkuasa agama Kerajaan Negeri masing-masing.

“Bagaimanapun, solat sunat Aidilfitri di surau dan masjid dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak dibenarkan sama sekali manakala takbir raya dari rumah ke rumah, ia tidak dibenarkan di semua kawasan seluruh negara.

Ismail berkata jamuan selepas solat Hari Raya di surau dan masjid tidak dibenarkan untuk kawasan PKP dan PKPD, tetapi dibenarkan untuk kawasan PKPB dan PKPP tetapi juadah digalakkan dibungkus untuk diedarkan kepada jemaah.

Bagi aktiviti ziarah kubur pula, ia hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP sahaja, dengan kehadiran hanya enam orang pada satu lot petak kubur, dan tidak melebihi 30 minit tetapi aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan sama sekali di kawasan PKP dan PKPD.

Dalam sidang media berkenaan, Ismail turut mengumumkan butiran SOP di kawasan PKP.

“Premis makanan restoran, food truck dan penjaja dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 12 malam, berbanding waktu operasi sebelum ini yang dibenarkan sehingga waktu sahur,” katanya.

Ujarnya lagi, waktu operasi bagi kedai runcit dan farmasi adalah di antara jam 6 pagi sehingga 10 malam manakala waktu operasi bagi stesen minyak adalah di antara jam 6 pagi hingga 10 malam kecuali bagi stesen minyak yang terletak di lebuhraya dibenarkan beroperasi selama 24 jam.

Waktu operasi bagi hospital dan klinik dibenarkan beroperasi mengikut waktu biasa.

“Bagi pasar harian, tani, pasar minggu dibenarkan beroperasi di antara jam 6 pagi hingga 2 petang manakala bazar Ramadan masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ketat.

“Untuk menutup bazar Ramadan, kita menyerahkan kepada kerajaan negeri manakala bagi aktiviti ekonomi yang lain masih dibenarkan dengan SOP yang ketat, namun aktiviti sosial adalah tidak dibenarkan.

“Untuk makluman lanjut tentang apa yang boleh dan tak boleh boleh dilakukan bagi enam daerah di Selangor yang diletakkan di bawah PKP, orang ramai boleh mengakses laman sesawang mkn.gov.my,” ujarnya lagi.

Pengumuman SOP Aidilfitri itu disambut dengan hambar oleh rata-rata netizen khususnya di beberapa daerah di Selangor yang diletakkan di bawah PKP.

Mereka berkata sambutan Aidilfitri akan menjadi hambar akibat kekangan SOP yang dikenakan dalam tempoh 12 hari berkenaan malah ada yang mempertikaikan PKP sepatutnya dikuatkuasakan di seluruh negara bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Larangan merentas negeri bagi tahun kedua berturut-turut bagi sambutan Aidilfitri turut disambut dengan nada yang kecewa oleh umat Islam khususnya mereka yang menetap di perantauan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kesan sampingan darah beku ke atas para penerima vaksin AstraZeneca.

Menurut Menteri Kesihatan Adham Baba, kementerian akan memberi rawatan segera sekiranya berlaku kesan sampingan ke atas penerima vaksin berkenaan.

“Insiden berkenaan adalah sangat jarang berlaku memandangkan kebaikan pemberian vaksin ini adalah bagi mencegah jangkitan COVID-19, yang sekaligus mengatasi risiko vaksinasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Malaysia telah menerima sejumlah 268,800 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca pada 24 April lalu dan akan mula disuntik kepada mereka yang telah mendaftar bermula Rabu.

Vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada 268,000 individu di Kuala Lumpur dan Selangor dan akan diberikan di tiga pusat vaksin iaitu di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur World Trade Centre dan Shah Alam Ideal Convention Centre (IDCC).

Adham berkata para penerima vaksin AstraZeneca dinasihatkan untuk terus memantau kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami symptom seperti sakit kepala yang serius dalam tempoh empat hari selepas mendapat suntikan pertama.

Antara simptom lain adalah pandangan menjadi kabur, loya dan muntah, kesukaran bertutur, lemah badan atau epilepsi, bintik merah di kulit dan sebagainya.

Baru-baru ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengumumkan tambahan 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca akan ditawarkan kepada orang ramai di seluruh Malaysia susulan sambutan menggalakkan ke atas 268,800 dos yang habis ditempah penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

Khairy yang juga Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan dijangka akan menerima tempahan kira-kira 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca yang dibeli menerusi fasiliti Covax sekitar bulan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh