Mahkamah Persekutuan Beri Hak Kerakyatan Kepada Remaja Tidak Bernegara

Mahkamah mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara keluarkan semula sijil kelahiran dengan mendaftarkan remaja tersebut sebagai warganegara Malaysia.
Ray Sherman & Nisha David
2021.11.19
Kuala Lumpur
Mahkamah Persekutuan Beri Hak Kerakyatan Kepada Remaja Tidak Bernegara Seorang kanak-kanak lelaki sedang memanjat buaian di sebuah pantai di Kampung Penarik, Setiu di Terengganu, 11 September, 2020.
[AFP]

Seorang remaja yang ditinggalkan di sebuah hospital awam di Malaysia 17 tahun lalu, diberikan hak kerakyatan pada Jumaat, setelah mahkamah tertinggi Malaysia meletakkan beban pembuktian ke atas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri.

Ketika mengumumkan keputusan sebulat suara oleh barisan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri tidak berhak untuk menafikan permohonan mana-mana kanak-kanak untuk mendapat hak kerakyatan, setelah mereka memenuhi kesemua keperluan undang-undang.

“Kami dengan ini membenarkan perintah berikut – deklarasi bahawa CYM adalah rakyat Malaysia berdasarkan kelahirannya dalam Persekutuan Malaysia,” ujar Tengku Maimun ketika membacakan ringkasan keputusan panel hakim dalam perbicaraan yang dijalankan secara maya.

Mahkamah turut mengarahkan supaya keputusan terdahulu oleh mahkamah rendah – untuk mengeluarkan sijil kelahiran dan remaja itu didaftarkan sebagai bukan warganegara, dibatalkan.

Mahkamah dengan itu turut mengarahkan JPN untuk mengeluarkan semula sijil kelahiran remaja itu dengan mendaftarkannya sebagai warganegara Malaysia.

Tegasnya, perkatan warganegara ‘melalui pelaksanaan undang-undang’ adalah sangat jelas, justeru ia sama sekali tidak memberi ruang untuk melaksanakan tanggapan subjektif atau andaian tentang apa itu kewarganegaraan.

Remaja berkenaan telah ditinggalkan ketika dilahirkan oleh ibu kandungnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Januari 2004.

Remaja itu, yang hanya dikenali sebagai “CYM” bagi melindungi identitinya, telah diambil sebagai anak angkat oleh pasangan tempatan. Susulan itu, pasangan berkenaan telah mengemukakan semua maklumat berkaitan kepada JPN untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi kanak-kanak tersebut.

Kesulitan yang dilalui remaja itu bermula apabila dia mencapai usia 12 tahun dan keluarganya cuba mendapatkan kad pengenalan untuknya.

Bagaimanapun, badan pendaftaran kerajaan telah menolak permohonan mereka, atas alasan terdapat “beberapa perkara tidak tepat” pada nama kanak-kanak tersebut dan nama saudara angkatnya.

Berikutan itu, ibubapa angkatnya menyerahkan sijil kelahiran kanak-kanak itu kepada JPN bagi membolehkan sijil kelahiran baru dikeluarkan. JPN kemudian mengeluarkan dokumen kedua, di mana maklumat mengenai ibubapanya dinyatakan sebagai “tidak diperoleh”, manakala taraf kewarganegaraannya dinyatakan sebagai “belum ditentukan”.

Pada 2017, pasangan itu membuat permohonan semula bagi mendapatkan sijil kelahiran yang baru bagi kanak-kanak itu, sebaik sahaja menyelesaikan proses pengambilan anak angkat secara rasmi di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kali ini, JPN telah meminda status kewarganegaraan kanak-kanak itu kepada “bukan warganegara” – sekaligus menjadikannya sebagai rakyat tanpa kerakyatan.

Pada Disember 2018, pasangan itu telah menfailkan semakan kehakiman bagi pihak remaja itu di Mahkamah Tinggi, namun pada bulan Julai tahun berikutnya, mahkamah telah menolak permohohannya untuk mendapatkan kerakyatan – keputusan yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Julai 2020.

Pasangan itu kemudiannya merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.

Beban pembuktian kepada kerajaan

Pada penghakiman pada Jumaat, Tengku Maimun menegaskan bahawa beban pembuktian bagi membuktikan sama ada ibu kandung remaja itu adalah penduduk tetap di negara ini, terletak di bahu JPN serta Kementerian Dalam Negeri.

Beliau menyatakan yang fakta mengenai kanak-kanak itu telah ditingalkan selepas dilahirkan di hospital awam, telah tidak disanggah, termasuk semasa perintah pengambilan anak angkat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, serta pada sijil kelahiran yang dikeluarkan pada kali ketiga.

“Semasa proses perbicaraan, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili kementerian berhujah bahawa ibubapa angkat telah menyembunyikan fakta yang identiti ibubapa kandung kanak-kanak itu sememangnya diketahui atau boleh ditemukan, namun telah disembunyikan.

“Selepas membuat semakan, kami mendapati dakwaan responden bahawa ibubapa angkat remaja itu menyembunyikan fakta yang seterusnya menunjukkan bahawa mereka mengetahui identiti ibu bapa kandung kanak-kanak itu, tidak disokong oleh bukti,” ujarnya.

Ujar Tengku Maimun lagi, menurut Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan beban bukti terletak di pihak kerajan bagi membuktikan bahawa ibu kandung kanak-kanak itu bukan penduduk tetap di negara ini.

"Memandangkan kanak-kanak itu dilahirkan di hospital berkenaan, pastinya responden (Kementerian Dalam Negeri) mempunyai cara untuk mengesahkan daripada rekod kemasukan hospital, identiti ibu kandung kanak-kanak itu, jika bukan identiti bapanya. Justeru, berdasarkan rekod yang dinyatakan, responden tidak dapat meringankan beban undang-undang mereka,” kata Tengku Maimun lagi.

Beliau meminta kerajaan mengambil kes terbaharu itu sebagai duluan mengenai bagaimana Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN serta Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian perlu menangani semua kes sedemikian pada masa depan, dalam konteks bayi baru lahir yang ditinggalkan.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Remaja itu diwakili oleh barisan peguam Cyrus Das, Raymond Mah, Eric Toh, dan Jasmine Wong manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Mazlifah Ayob dan Liew Horng Bing tampil mewakili kerajaan.

Keputusan pada Jumat adalah satu kemenangan besar kepada keluarga dari Pulau Pinang itu, namun perjuangan masih jauh bagi sekumpulan ibu yang status kerakyatan anak mereka masih tergantung kerana dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan dengan pasangan warga asing.

Pihak pendakwaan telah memutuskan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi awal minggu ini, selepas permohonan mereka untuk mendapatkan pengangguhan pelaksanaan keputusan penghakiman sebelum ini - yang membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu kandung rakyat tempatan hasil perkahwinan dengan pasangan warga asing, mendapat taraf kewarganegaraan secara automatik, ditolak.

Mahkamah Rayuan pada Rabu menetapkan 22 Mac sebagai tarikh pendengaran.

Menurut laporan media tempatan, Malaysia mempunyai kira-kira 290,437 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara berkenaan.

Selain itu, Malaysia juga adalah satu daripada 25 negara di dunia yang menetapkan bahawa kewarganegaraan anak kepada pasangan yang bernikah dengan warga asing dan dilahirkan di luar negara, adalah berdasarkan kepada kewarganegaraan bapa.

Bagi wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, anak mereka hanya berhak mendapat status kerakyatan secara automatik, sekiranya anak itu dilahirkan di Malaysia.

Jika anak itu dilahirkan di luar negara, ibu mereka perlu memohon kewarganegaraan bagi anak mereka – satu proses yang panjang, berliku dan merumitkan.

Kerajaan Malaysia pada tahun lalu berkata isu keselamatan adalah asas kepada ketetapan berkenaan dengan Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Parlimen pada Dis bahawa ketetapan itu bertujuan mengelakkan isu dua-kerakyatan di kalangan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara, yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa hanya 21 kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara berjaya mendapat kerakyatan, daripada 2,352 permohonan yang difailkan di antara 2018 dan 11 Oktober 2021 – kadar kelulusan sebanyak 0.89 peratus.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mendedahkan yang 142 permohonan kerakyatan melibatkan kanak-kanak telah diluluskan di antara tahun 2013 dan 2018, manakala 3,715 permohonan lagi telah ditolak, sementara 4,959 permohonan lagi masih dalam proses pertimbangan, sekaligus menjadikan kadar kelulusan adalah 1.6 peratus.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.