Roger Ng Menipu Jutaan Dolar Dana 1MDB, kata Pendakwa Raya Amerika Syarikat

Peguambelanya bagaimanapun berkata Ng "seratus peratus tidak bersalah" dalam kes songlap sejumlah besar wang daripada dana pelaburan Malaysia.
Daripada laporan agensi berita
2022.02.14
Roger Ng Menipu Jutaan Dolar Dana 1MDB, kata Pendakwa Raya Amerika Syarikat Peguambela Marc Agnifilo (kiri) dan Roger Ng (juga dikenali sebagai Ng Chong Hwa) tiba di kompleks Mahkamah Persekutuan di New York bagi proses pemilihan juri dalam kes di mana beliau menghadapi pertuduhan jenayah berkaitan penyelewangan wang berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad, 8 Feb 2022.
[AP]

Seorang bekas pegawai bank Goldman Sachs dituduh di mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan terlibat dalam konspirasi menyeleweng berbilion dolar daripada sebuah dana pelaburan negara Malaysia dengan tujuan untuk mendapatkan wang tersebut, kata Pendakwa raya AS semasa Roger Ng berdepan dengan perbicaraan di New York City pada Isnin.

Dalam kenyataan pembukaan, peguam yang mewakili defenden yang juga dikenali sebagai Ng Chong Hwa, berkata anak guamnya tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan menyasarkan seorang lagi bekas eksekutif Goldman yang sebelum ini telah mengaku bersalah di mahkamah atas pendakwaan serupa.

Pihak berkuasa AS menuduh Ng, seorang rakyat Malaysia, memainkan peranan penting dalam skandal terancang melibatkan rasuah, penyelewangan wang serta pengubahan wang haram merentas sempadan antarabangsa, serta melibatkan Perdana Menteri Malaysia dan menyebabkan kerajaan pimpinannya jatuh pada 2018.

"Dia [Ng] melihat peluang untuk membuat duit jutaan dolar dengan menipu dan mengambil kesempatan itu," kata Pendakwa raya Brent Wible kepada para juri di Mahkamah Persekutuan AS di Brooklyn, New York pada hari pertama perbicaraan yang dijangka pengambil masa beberapa minggu, menurut laporan agensi berita Associated Press.

Peguambela Marc Agnifilo pula menyatakan kepada juri bahawa memang ramai individu yang melakukan kesalahan dalam kes 1MDB - tetapi anak guamnya bukan salah seorang daripada mereka.

"Roger adalah serratus peratus tidak bersalah," Agnifilo berkata dalam kenyataan pembukaan beliau, menurut laporan agensi berita Reuters. "Ia bukan kerana isu teknikal, juga bukan kerana beberapa helah... Ia adalah jenayah yang besar dan terdapat ramai yang bersalah. Cuma dia [Ng] bukan salah seorang daripada mereka."

Agnifilo cuba membawa fokus untuk mempersalahkan seorang lagi pegawai bank Goldman Sachs, Timothy Leissner, serta hubungan Leissner dengan ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low) yang kini dalam buruan pihak berkuasa, lapor Reuters.

Low yang menjadi buruan pihak berkuasa antarabangsa berhadapan dengan pendakwaan jenayah di Malaysia dan AS kerana peranannya dalam penyelewangan berbilion dolar dana daripada 1MDB melalui hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

"Orang yang melindungi Low selama ini ialah Leissner. Bukannya Roger," Agnifilo dilaporkan berkata oleh Reuters. "Leissner mempergunakan orang. Kamu akan melihat ini lebih lagi dari semasa ke semasa. Beliau cuba menggunakan anak guam saya... untuk menjalani hukuman penjara bagi dirinya."

Menurut AP, pendakwa raya menyatakan bahawa Ng telah menerima rasuah sejumlah AS$35 juta daripada Leissner.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kepada dua kesalahan berkaitan dengan pengubahan wang haram dan bersetuju untuk melepaskan AS$43.7 juta (RM182.9 juta).

Beliau tidak pernah dijatuhkan hukuman dan dijangka akan memberikan keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama dan pertukaran untuk hukuman lebih ringan, menurut laporan beberapa agensi-agensi berita antarabangsa.

Jabatan Keadilan AS mendakwa bahawa Ng, dengan disertai oleh Leissner, Low dan beberapa yang lain, telah berkonspirasi untuk mencuri lebih AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion) daripada 1MDB.

Pihak berkusa juga menuduh Ng berkonspirasi dengan melanggar Akta Amalan Korup Di Luar Negara AS (FCPA) dan membayar rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan di Malaydia dan Abu Dhabi, serta berkonspirasi untuk memintas mekanisme pengawalan akaun Goldman Sachs, menurut dokumen mahkamah.

Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia telah bersetuju untuk membayar kepada kerajaan Malaysia lebih AS$2.9 bilion selepas mengaku bersalah terhadap konspirasi dengan melanggar FCPA.

Dalam apa yang disifatkan sebagai "skandal kleptokrasi terburuk masa kini", pihak pendakwa raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB, dana yang ditubuh oleh Najib pada tahun 2009 bagi membiayai program-program di Malaysia.

Najib hilang kuasa selepas kerajaan Barisan Nasional pimpinannya kalah pada Pilihan Raya Umum 2018, yang melihat pembangkang ketika itu menggunakan isu 1MDB sebagai subjek utama kempen mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan yang menggantikan Barisan Nasional kemudiannya memfailkan sebanyak 42 pertuduhan jenayah terhadap Najib, yang membawa kepada sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun kepada beliau pada Julai 2020 atas pendakwaan berkaitan penyelewengan wang daripada sebuah anak syarikat 1MDB. Najib kini bebas dengan jaminan sementara proses rayuan beliau berjalan dan juga menghadapi pertuduhan lain yang berkait secara terus dengan 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.