Dua Kanak-Kanak Antara Yang Maut Selepas Lolos Dari Depot Tahanan Malaysia

Enam tahanan etnik Rohingya maut dirempuh kereta ketika cuba melintasi lebuh raya itu dalam keadaan gelap, kata pegawai.
Ray Sherman & Nisha David
2022.04.20
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Dua Kanak-Kanak Antara Yang Maut Selepas Lolos Dari Depot Tahanan Malaysia Kelihatan pagar yang rosak di sebuah depot tahanan imigresen di sebuah negeri di bahagian utara Malaysia selepas ratusan tahanan etnik Rohingya melarikan diri termasuk enam yang terkorban ketika cuba melintasi sebatang lebuh raya, 20 April 2022.
[A. Ammaruddin/BenarNews]

Beratus-ratus etnik Rohingya yang ditahan bagi tempoh dua tahun di sebuah negeri di bahagian utara Malaysia meloloskan diri pada Rabu selepas berlaku rusuhan pada awal pagi dengan enam daripada mereka terkorban selepas dirempuh sebuah kereta semasa cuba melintasi sebatang lebuh raya dalam tragedi yang menyebabkan situasi di depot tahanan imigresen di negara itu menjadi tumpuan.

Hampir 400 orang berjaya ditahan semula setakat petang tadi, kata para pegawai manakala kumpulan hak asasi menggesa agar siasatan dijalankan berkaitan punca insiden rusuhan itu dan mendesak pihak kerajaan mendedahkan jumlah pusat tahanan di mana imigran ditahan tanpa had masa dan komunikasi, yang beroperasi di seluruh negara.

“Saya telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai punca mereka bertindak sedemikian,” kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin ketika mengulas isu tahanan lolos itu pada lewat Rabu. Pelbagai agensi dari dua negeri di utara Malaysia menjalin kerjasama bagi mengesan lebih 100 tahanan yang masih bebas, katanya.

“Kesemua 528 tahanan yang melarikan diri terdiri daripada pelarian etnik Rohingya yang dipindahkan dari sebuah kem di Langkawi selepas ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia dan melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020,” katanya. Langkawi merupakan sebuah pulau yang terletak di Selat Melaka berhampiran negeri Kedah.

Polis di Bandar Baharu, Kedah telah dimaklumkan mengenai insiden tahanan merusuh dan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap itu pada kira-kira pukul 4 pagi, menurut Ketua Polis Negeri Wan Hassan Wan Ahmad.

Sebelum insiden rusuhan itu, sejumlah 664 orang ditempatkan di depot tahanan tersebut yang terdiri daripada 430 lelaki, 97 wanita dan 137 kanak-kanak, katanya.

Beliau memaklumkan pemberita bahawa tiada kecederaan serius dilaporkan semasa rusuhan itu dan puncanya sedang disiasat. Tahanan terbabit telah bertindak memecahkan pintu dan pagar di depot itu sebelum melarikan diri, katanya sambil menambah bahawa 23 kakitangan keselamatan yang bertugas ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa.

"Memandangkan terdapat begitu ramai tahanan di kawasan yang sempit, keadaan telah menjadi tidak terkawal dan tahanan terbabit mengambil kesempatan untuk melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Kedah.

"Kemalangan maut membabitkan tahanan yang bolos berlaku kira-kira enam hingga tujuh kilometer dari depot itu. Dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak (seorang lelaki dan seorang perempuan) terkorban selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika mereka cuba melintasi sebatang lebuh raya semasa melarikan diri," katanya.

Penduduk kampung yang tinggal berhampiran depot tahanan imigresen itu berkata mereka takut untuk keluar rumah kerana ada tahanan terbabit yang masih bebas.

“Tahanan terbabit ada di mana-mana, selepas melarikan diri dari depot itu, mereka menuju ke arah kampung kami sebelum bergerak ke arah kawasan belukar,” kata seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim kepada BenarNews.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Husin, pula berkata mereka mungkin bersembunyi di ladang kelapa sawit di kawasan berhampiran.

“Sebelum itu, beberapa tahanan telah datang kepada kami meminta air minuman kerana dahaga tetapi tiada siapa yang berani memberikannya kepada mereka kerana takut berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada BenarNews.

Ketua Polis Kedah turut memberi amaran kepada penduduk kampung berhampiran agar tidak membantu tahanan terbabit dan berkata tindakan itu merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang.

‘Trauma yang berpanjangan’

Puluhan ribu penduduk etnik Rohingya telah melarikan diri ke Malaysia, Thailand, Indonesia, dan negara lain untuk mengelakkan penindasan di Myanmar, negara asal mereka selain keadaan tempat tinggal yang daif di kem pelarian yang sesak di Bangladesh.

Malaysia bagaimanapun tidak mengiktiraf status pelarian mereka. Sejak 2020, negara itu telah menahan beribu-ribu pelarian dan menempatkan mereka di pusat tahanan yang sesak dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai langkah membendung penularan koronavirus.

Dianggarkan sejumlah 180,000 pemegang kad UNHCR tinggal di Malaysia ketika ini, lebih tinggi berbanding anggaran 38,000 pada 2013.

Jerald Joseph, anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pihak berkuasa imigresen negara itu membenarkan wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian bertemu dengan tahanan terbabit.

“Jabatan Imigresen perlu memberikan akses kepada UNHCR bagi membolehkan mereka menentukan sama ada tahanan terbabit adalah sememangnya etnik Rohingya. Jika ya, mereka hendaklah dibebaskan seperti 150,000 pelarian Rohingya lain yang berada di negara ini,” katanya.

Amnesty International Malaysia pula mendesak kerajaan agar menyiasat sepenuhnya insiden itu secara telus “termasuk keadaan di dalam pusat tahanan imigresen Sungai Bakap yang menyebabkan tahanan terbabit cuba melarikan diri sehingga meragut enam nyawa.”

Suhakam hendaklah menyiasat berapa banyak pusat tahanan sementara imigresen yang terdapat di seluruh negara, kata Katrina Jorene Maliamauv, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, dalam satu kenyataan.

“Keadaan di kesemua pusat tahanan imigresen ini hendaklah didokumentasikan susulan insiden masa lampau berkaitan perlanggaran hak asasi manusia di depot imigresen di Malaysia,” katanya. Beliau turut menyifatkan tahanan tanpa had masa sebagai “trauma yang berpanjangan.”

“Justeru kerajaan perlu memberikan penjelasan bukan hanya mengenai kematian enam individu terbabit tetapi juga mengapa begitu ramai pelarian termasuk kanak-kanak ditahan,” katanya.

Yusof Ali, Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, turut merayu agar kerajaan Malaysia “meneliti isu etnik Rohingya yang ditahan di Depot Imigresen di negara ini.”

Ditanya mengenai punca insiden melarikan diri itu berlaku, beliau berkata “Mungkin kerana mereka sudah terlalu lama berada di dalam pusat tahanan itu. Sesetengahnya memiliki dokumen sementara dan kad UNHCR tetapi apabila mereka menunjukkannya kepada pihak berkuasa, anggota yang bertugas akan bertindak menahan mereka serta mendakwa bahawa dokumen atau kad itu adalah palsu.

“Tiada negara yang mahu menerima kumpulan etnik kami. Kini ia terpulang kepada budi bicara kerajaan Malaysia,” katanya.


Zul Suffian di Pulau Pinang, Iskandar Zulkarnain di Kedah dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh