Pelarian Rohingya ceritakan detik-detik ngeri hanyut di laut

Menurut IOM, lebih 100 individu yang berada di atas bot itu adalah kanak-kanak.
Pizaro Gozali Idrus & Dandy Koswaraputra
2022.12.27
Jakarta
Pelarian Rohingya ceritakan detik-detik ngeri hanyut di laut Seorang pelarian Rohingya mandi di pusat perlindungan sementara di Laweueng dalam wilayah Aceh, Indonesia, 27 Dis 2022.
[Chaideer Mahyuddin/AFP]

Muhammad Taher sedar dia mempertaruh nyawanya apabila mengambil keputusan meninggalkan kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan menaiki bot yang kelihatan uzur ke Indonesia tetapi bapa kepada empat anak itu terdesak untuk mencari pekerjaan.

Dia hampir kehilangan nyawanya.

Seminggu selepas bot yang membawa lebih 180 orang itu belayar, enjinnya tiba-tiba rosak. Mereka yang berada di atas bot itu terpaksa membuat layar sementara daripada kepingan plastik. Tidak lama selepas itu, mereka kehabisan makanan dan minuman sehingga terpaksa minum air laut, katanya.

"Ramai yang meninggal dunia dalam perjalanan akibat kebuluran dan ketiadaan makanan. Dua puluh orang kesemuanya,” kata Taher, 38, kepada BenarNews dalam temu bual melalui telefon. Jasad mereka terpaksa dibuang ke dalam laut, katanya.

Taher bercakap dari Pidie, sebuah daerah dalam wilayah Aceh di mana dia dan beberapa penumpang lain mendarat pada Isnin selepas lebih sebulan hanyut di laut. Seorang pekerja NGO yang berada di situ telah membantu sesi temu bual ini ini dengan menterjemah percakapan Taher daripada Bahasa Melayu asas kepada Bahasa Indonesia.

“Di atas bot, kami tidak dapat berbaring. Semua orang duduk kerana jumlah kami terlalu ramai,” kata Taher.

221227-MY-ID-Rohingya-Inside2.jpg

Pelarian Rohingya sedang makan di pusat perlindungan sementara sejurus tiba di Laweueng, Wilayah Aceh, 27 Dis 2022. [Chaideer Mahyuddin/AFP]

Sebuah video yang dikongsi oleh seorang penduduk tempatan menunjukkan keadaan pelarian Rohingya ketika mendarat pada Isnin, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak. Selepas turun dari bot, ramai dilihat keletihan sehingga terduduk di tepi pantai, kurus kering dan tidak berdaya. Ada yang meraung dan meratap hiba.

Sehari sebelum itu, pada Hari Krismas, sebuah lagi bot yang membawa hampir 60 pelarian Rohingya – kesemuanya lelaki – telah mendarat di satu lagi lokasi di Aceh, wilayah paling barat Indonesia.

'Di sekeliling kami, apa yang kelihatan hanyalah laut'

Meskipun polis Indonesia berkata seramai 185 orang telah turun dari bot itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan UNHCR meminda jumlah itu kepada 174. Mengikut maklumat IOM, seramai 107 orang kanak-kanak berada dalam kumpulan tersebut.

“Mereka yang diselamatkan berada dalam keadaan keletihan dan dehidrasi selepas sebulan hanyut di laut,” menurut UNHCR, agensi pelarian PBB pada Selasa.

“Mereka yang terselamat dalam kalangan 174 orang yang tiba semalam memberitahu UNHCR bahawa kira-kira 26 orang telah meninggal dunia dalam perjalanan disebabkan keadaan yang begitu teruk di atas bot.”

Ann Maymann, wakil UNHCR di Indonesia, mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Indonesia dan masyarakat di Aceh kerana membenarkan pelarian Rohingya terbabit mendarat.

"Tindakan itu membantu menyelamatkan nyawa manusia daripada melayang atas sebab-sebab tertentu, menamatkan penderitaan kebanyakan mangsa yang terdesak," menurutnya dalam satu kenyataan.

Taher berkata dia bersama yang lain hanyut di laut selama 35 hari sebelum bot yang membawa mereka tiba di pantai Aceh.

"Di sekeliling kami, apa yang kelihatan hanyalah laut," katanya.

Katanya dia meninggalkan isteri dan empat orang anak di Cox’s Bazar, sebuah daerah di tenggara Bangladesh, di mana kira-kira sejuta pelarian Rohingya berteduh di kem pelarian berhampiran dengan sempadan Rakhine, negeri kelahiran mereka di Myanmar.

"Saya mahu ke Indonesia," katanya. "Saya meninggalkan keluarga kerana ingin mencari pekerjaan di sini dan anak-anak saya masih belajar di kem itu."

“Kami ke sini dari kem pelarian Rohingya yang terbesar di Bangladesh dengan harapan rakyat Indonesia akan memberi kami peluang untuk menimba ilmu. Saya ingin menimba lebih banyak ilmu,” kata Umar Faruq, seorang lagi pelarian Rohingya kepada AFP.

Ketibaan kumpulan pelarian terbaharu di Aceh itu adalah daripada bot sindiket penyeludupan manusia yang hanyut di perairan di utara wilayah itu, menurut pertubuhan kemanusiaan.

"Ya, ini adalah bot sama yang kami rayu pelbagai pihak selamatkan beberapa minggu lalu," kata Lilianne Fan, pengasas bersama dan pengarah antarabangsa Yayasan Geutanyoe, sebuah kumpulan kemanusiaan di Malaysia.

Sejak beberapa hari dan minggu kebelakangan ini, Fan bersama beberapa NGO lain serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mendesak kerajaan di rantau itu bertindak pantas untuk mencari dan menyelamatkan pelarian yang cuba melakukan perjalanan berbahaya serta terlarang dengan bot sindiket penyeludupan manusia namun gagal.

"Jadi, saya berpendapat sebagai sebuah rantau, kita benar-benar perlu melihat krisis ini dengan serius dan perlu belajar daripada tragedi ini serta mencegah bencana subkemanusiaan daripada berlaku pada masa hadapan."

Pegawai kanan pengawal pantai dan kerajaan baharu Malaysia pula tidak menjawab beberapa panggilan telefon dan mesej daripada BenarNews mengenai tindakan pihak berkuasa negara itu untuk membantu pelarian Rohingya yang terkandas.

Rizal Fahmi, seorang sukarelawan bagi NGO tempatan iaitu Asar Humanity Aceh, berkata keadaan kebanyakan pelarian terbabit "agak membimbangkan."

"Kebanyakan daripada mereka terbaring lemah dan telah dirawat dengan memasukkan titisan intravena," katanya kepada BenarNews.

"Kesihatan mereka semakin merosot selepas berminggu-minggu berada di tengah lautan, tanpa bekalan makanan atau minuman," katanya.

Jurucakap IOM Indonesia Ariani Hasanah Soejoeti pula berkata organisasinya telah menghantar pasukan respons kecemasan dan kini menjalankan penilaian kesihatan bersama kerajaan tempatan.

"Laporan menunjukkan 34 orang memerlukan rawatan segera," katanya kepada BenarNews.

IOM turut membantu pihak berkuasa tempatan menyediakan perkhidmatan kesihatan, perumahan sementara, air dan sanitasi untuk pelarian, katanya.

Sepanjang tahun 2022 sahaja, lebih 2,000 pelarian Rohingya menaiki bot penyeludup di Teluk Benggala dan Laut Andaman dan hampir 200 orang dilaporkan maut setakat ini, menurut kenyataan UNHCR yang dikeluarkan pada Selasa.

"UNHCR juga telah menerima laporan yang belum disahkan iaitu sebuah bot tambahan yang membawa kira-kira 180 orang masih hilang dan semua penumpang dianggap sudah meninggal dunia," kata agensi itu.

Indonesia telah membantu menyelamatkan hampir 500 pelarian Rohingya yang tiba dengan empat bot dalam tempoh enam minggu lepas, kata UNHCR.

“UNHCR menggesa negara lain untuk mengikuti contoh ini. Kebanyakannya tidak mengambil sebarang tindakan meskipun menerima banyak rayuan untuk mendapatkan bantuan,” tambahnya.

221227-MY-ID-Rohingya-Inside1.jpg

Pelarian Rohingya menerima rawatan perubatan di pusat perlindungan sementara di Pidie, wilayah Aceh, Indonesia, 26 Dis 2022. [Foto Antara/Joni Saputra/melalui Reuters]

Amnesty International pula berkata ketibaan terbaharu pelarian Rohingya itu memperlihatkan keadaan yang semakin memburuk di Myanmar selepas kudeta tentera pada Februari 2021 serta situasi kem di Bangladesh yang teruk.

“Tahun ini mungkin terpahat dalam memori pelarian Rohingya sebagai antara yang paling tragis sehingga mereka nekad melakukan perjalanan berbahaya melalui laut,” kata Usman Hamid, pengarah eksekutif Amnesty di Indonesia.

Usman menggesa kerajaan Indonesia mempertingkat usaha-usaha menyelamat dan bekerjasama dengan negara di rantau itu untuk membantu pelarian yang hanyut di laut.

“Dalam keadaan apa jua sekalipun, pihak berkuasa tidak boleh menghantar sesiapa pulang ke negara di mana mereka berdepan penganiayaan atau pencabulan hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu di Bangladesh, seorang pegawai kanan kerajaan berkata pihak berkuasa cuba menghalang pelarian Rohingya daripada meninggalkan kem-kem di Cox’s Bazar.

"Kami melakukan segala yang terdaya untuk menghalang mereka daripada melakukan pelayaran berbahaya itu," kata Mohammad Mizanur Rahman, pesuruhjaya Bangladesh bagi bantuan dan penghantaran pulang pelarian, kepada Reuters.

“Kami pergi dari pintu ke pintu dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat di kem terbabit untuk menjelaskan mengenai bahaya apabila melakukan pelayaran itu. Agensi penguatkuasaan kami, tentera laut dan pengawal pantai diletak dalam keadaan berjaga-jaga. Mereka kini memberkas individu yang terlibat sindiket pemerdagangan manusia,” katanya.

Arie Firdaus di Jakarta dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.