Malaysia: ASEAN Tidak Mampu Selesai Isu Rohingya

Hata Wahari
2017.09.06
Kuala Lumpur
170906-my-anifah-1000.jpg Menteri Luar Malaysia Anifah Aman dan Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif bersalaman semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, 1 Ogos 2017.
AFP

Kerajaan Malaysia menegaskan ia sudah hilang keyakinan kepada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam menyelesaikan krisis Rohingya di Myanmar yang telah melihat puluhan ribu orang Islam meninggalkan kediaman mereka ekoran keganasan yang tercetus di negeri Rakhine.

Menteri Luar Anifah Aman pada Rabu memberitahu, sidang ASEAN yang telah diadakan sebelum ini membincangkan perkara tersebut tetapi Myanmar yang telah berjanji menanganinya gagal berbuat demikian.

“Malaysia telah menyuarakan kebimbangan kepada Myanmar dan negara-negara lain di dalam mesyuarat ASEAN serta mereka berjanji akan menyelesaikannya tetapi kita lihat perkara ini tidak ditangani malahan semakin meningkat keganasan terhadap orang Islam Rohingya,” katanya pada Rabu selepas menemui Menteri Luar Brazil Aloysio Nunes di Putrajaya pada Rabu.

Beliau menambah, sebanyak tujuh persidangan ASEAN telah membincangkan perkara tersebut dimana Malaysia telah berulang-kali menyuarakan kebimbangannya, namun ia masih tidak berhasil.

"Saya berpendapat ASEAN tidak lagi dapat menangani isu ini. Saya tidak lagi menaruh harapan terhadap pertubuhan itu untuk menyelesaikan masalah orang Islam Rohingya," tegasnya.

Sehubungan itu katanya Malaysia akan menggunakan saluran lain iaitu membangkitkan perkara tersebut di peringkat yang lain - di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pembanjiran orang Rohingya di sepanjang sempadan Myanmar-Bangladesh bermula selepas pemberontak Rohingya melancarkan serangan serentak terhadap 30 pos polis dan pengkalan tentera di bandar Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung di Myanmar pada Jumaat, menurut laporan Radio Free Asia (RFA), yang juga entiti BeritaBenar.

Pegawai-pegawai berkata serangan itu menyebabkan lebih 100 orang terbunuh, termasuk berpuluh-puluh pemberontak, dan mencetuskan pertempuran baru apabila kerajaan meningkatkan usaha untuk menghentikan kekacauan itu.

Duta dipanggil


Kementerian Luar Malaysia pada Selasa telah memanggil Duta Myanmar ke Malaysia, Sein Oo untuk menyatakan rasa tidak puas hati mengenai keganasan terkini di wilayah Rakhine negara itu.

Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hubungan Dua Hala,  Raja Nushirwan Zainal Abidin  dalam pertemuan itu telah menyatakan kepada Sein Oo bahawa Malaysia merasa bimbang terhadap keganasan dan penindasan berterusan yang dihadapi etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.

Duta Myanmar itu juga telah diingatkan bahawa negara-negara ASEAN terikat dengan prinsip antarabangsa berkaitan dengan  perlindungan dan pelaksanaan hak asasi manusia yang terkandung dalam Piagam ASEAN.

Sementara itu di Dhaka, Kementerian Luar Bangladesh memanggil seorang diplomat kanan di Kedutaan Myanmar untuk menyuarakan rasa tidak senang terhadap krisis yang kini menyaksikan hampir 150,000 pelarian Rohingya melintasi sempadan sejak 25 Ogos, menurut angka yang dikemaskini oleh PBB pada Rabu.

Selain itu, Malaysia juga menekankan kepada Myanmar bahawa negara itu perlu membuka pintu untuk bantuan kemanusiaan disampaikan kepada orang Islam Rohingya.

Anifah dalam satu kenyataan media pada Selasa juga menegaskan bahawa negara-negara anggota ASEAN telah berulang kali membuat seruan terhadap Myanmar untuk mencari penyelesaian secara aman, namun Myanmar tidak menunjukkan kehendak mahupun hasrat untuk berbuat demikian.

“Meskipun kerajaan Myanmar memberi jaminan untuk melaksanakan pendekatan bagi menyelesaikan masalah, insiden-insiden keganasan yang dilaporkan media secara meluas baru-baru ini menunjukkan hanya sedikit kemajuan dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehingga kini, laporan berhubung kekejaman ke atas etnik Rohingya di wilayah Rakhine masih berterusan dan terkini, kerajaan Myanmar bertindak menyekat kemasukan bantuan antarabangsa berupa makanan, air dan bahan perubatan ke kawasan bergolak itu.

Menurut Anifah, Malaysia percaya isu keganasan dan penindasan yang dihadapi oleh etnik Rohingya perlu diangkat ke peringkat forum antarabangsa.

“Masyarakat antarabangsa telah meletakkan harapan besar terhadap Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk mencapai keamanan dan perdamaian di Myanmar,” katanya dalam kenyataan itu.

Tegas beliau, Suu Kyi sebagai penerima Anugerah Nobel yang berdiri untuk prinsip-prinsip hak asasi manusia, menjadi harapan Malaysia untuk beliau dapat memenuhi harapan ini kelak.

Turki dan Iran

Anifah dalam kenyataan itu berkata beliau telah berhubung secara telefon dengan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mengenai krisis tersebut.

“Perbincangan itu meliputi nasib etnik Rohingya serta cadangan mengadakan mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di mana  tempat dan tarikh akan ditentukan kelak,” katanya mengenai panggilan telefon pada Isnin itu.  

Anifah juga menegaskan akses bantuan kemanusiaan ke kawasan bergolak itu tidak sewajarnya disekat dan isu keganasan yang berlaku mesti ditangani sewajarnya supaya tidak menjadi krisis kemanusiaan.

Dalam pada itu Malaysia juga telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada warganegaranya untuk menangguhkan perjalanan ke Myanmar memandangkan keganasan yang semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan meminta rakyat Malaysia yang sudah berada di Myanmar agar mengambil langkah-langkah berhati-hati dengan mengambil perhatian kepada masalah keselamatan pada setiap masa .

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan mematuhi setiap undang-undang di Myammar dan mendaftarkan diri di Kedutaan Malaysia di Yangon, Myanmar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.