Dua Dalang Rusuhan Ditahan, Keadaan Sesak Dalam Pusat Tahanan Mungkin Punca

Seramai lebih 400 pelarian Rohingya telahpun diambil keterangan bagi mencari punca rusuhan, kata Ketua Polis Kedah.
Noah Lee & Iskandar Zulkarnain
2022.04.22
Kuala Lumpur & Kedah
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Dua Dalang Rusuhan Ditahan, Keadaan Sesak Dalam Pusat Tahanan Mungkin Punca Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, menunjukkan gambar empat tahanan dipercayai menjadi dalang utama kejadian dimana dua daripada mereka dikenali sebagai Nur Karim Shir, 34, dan Mohamed Ali, 30, yang berjaya ditahan pada Jumaat, di Bukit Tok Non, Bandar Baharu, Kedah, 22 April 2022.
[Zul Suffian/BenarNews]

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan dua daripada empat individu yang disyaki menjadi dalang kejadian rusuhan di sebuah pusat tahanan imigresen minggu ini, sementara 88 lagi tahanan Rohingya yang melarikan diri susulan rusuhan itu masih sedang diburu.

Sebuah organisasi yang memperjuangkan kebebasan wartawan di Malaysia pada Jumaat telah mengeluarkan peringatan melalui satu kenyataan kepada media negara itu supaya berhati-hati dalam laporan berhubung rusuhan tersebut, dan tidak menyebarkan retorik xenofobia serta perkauman yang boleh menggugat keselamatan komuniti Rohingya yang sudah sedia tersisih.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata siasatan awal mendapati wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan tahanan mengenai layanan yang diterima di pusat tahanan berkenaan, tetapi percaya bahawa rusuhan yang terjadi pada awal Rabu itu adalah kerana dorong oleh hasutan.

"Polis telah mengenalpasti empat dalang utama dalam kes ini yang berusia antara 21 dan 44 tahun. Dua suspek utama telah dapat ditangkap, manakala proses mengesan dan menangkap dua lagi sedang dilakukan. Kedua-dua mereka ditangkap di negeri ini.

"Pihak berkuasa juga meneruskan pencarian 88 lagi tahanan yang masih melarikan diri, termasuk 71 lelaki, sembilan wanita, serta lapan orang kanak-kanak. Usaha mengesan dilakukan dengan bantuan dari udara, sekatan jalan raya, serta penggunaan anjing pengesan dan anggota dari Pasukan Gerakan Am," kata beliau kepada satu sidang media di Kedah pada Jumaat.

Menurut Wan Hassan, siasatan mendapati antara sebab rusuhan pada Rabu berlaku adalah kerana tempat tahanan yang sesak dan tempoh tahanan disimpan di situ terlalu lama.

“Pihak Polis telah mengambil keterangan daripada 420 tahanan Rohingya dan juga cap jari mereka untuk rekod. [Rusuhan berlaku] mungkin disebabkan kesesakan dan berada dalam tahanan terlalu lama. Mereka hanya mengikut. Suspek utama menghasut supaya yang lain mengikutnya kerana unsur keselesaan,” tambah Ketua Polis Kedah itu.

Pada Khamis, pihak berkuasa Malaysia pada Khamis turut mengesahkan yang seorang tahanan Rohingya telah mati di Depot Tahanan Imigresen di Bandar Baharu, Kedah sebelum tercetusnya rusuhan pada awal pagi Rabu itu, dan mereka sedang menyiasat punca kematiannya.

Polis juga menyiasat dakwaan bahawa tahanan yang mati sebelum tercetusnya rusuhan adalah disebabkan individu itu dinafikan rawatan oleh pihak berkuasa yang mengendalikan depot tersebut, tambahnya lagi.

"Ada yang bercakap begitu (dinafikan rawatan), tapi elemen ketidakpuasan hati itu wujud. Saya percaya kalau tidak ada penghasut, mereka tidak akan melarikan diri," kata Wan Hassan ketika ditanya mengenai kematian tahanan tersebut.

Media beretika

Dalam pada itu, Centre for Independent Journalism (CIJ) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata selain memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dan komen mereka berhubung kes tersebut, media juga perlu membuat penyelidikan dan melaporkan mengenai sebab di sebalik kejadian yang menyaksikan lebih 500 pelarian melarikan diri serta enam kematian.

"CIJ menyeru saluran media dan pihak berkuasa agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam membuat liputan berkenaan golongan pendatang asing, pemohon suaka dan pelarian, serta memastikan agar liputan tersebut tidak menyebarkan kecenderungan yang membahayakan, atau stereotaip dan retorik xenofobia yang menggugat keselamatan komuniti yang terpinggir dan terdedah dengan ancaman.

"Kewartawanan yang baik berkhidmat untuk kepentingan awam dan ianya menjadi hal yang penting bagi masyarakat yang sihat dan selamat untuk melindungi dan bukannya memangsakan pihak yang lemah dan terpinggir," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh badan bukan kerajaan itu.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan media tempatan memetik pihak berkuasa Malaysia yang menyifatkan tahanan dalam pelarian sebagai "berbahaya" dan "akan bertindak di luar kawalan demi meneruskan kelangsungan hidup".

Menurut CIJ, penggunaan label sedemikian menggambarkan golongan tahanan Rohingya sebagai individu ganas dan tidak rasional, yang boleh menimbulkan sentimen kebencian kaum terhadap mereka dan mencetuskan diskriminasi serta tindak balas terhadap komuniti tersebut.

Selain itu, media juga digesa supaya mencabar naratif yang dimainkan kepada mereka dengan menggunakan fakta, serta mengangkat standard hak asasi manusia dalam laporan mereka.

"CIJ ingin menggesa supaya media mencabar dan melawan naratif diskriminasi dengan fakta, serta mengutuk dengan jelas akan segala bentuk kecenderungan, prejudis, dan ucapan benci yang ditujukan terhadap komuniti yang terdedah dengan bahaya.

"Kami juga menggalakkan liputan yang mengangkat standard hak asasi manusia sebaik mungkin dalam hal-hal berkenaan dengan layanan terhadap pendatang asing, pemohon suaka dan pelarian," kata kenyataan tersebut.

Dalam kejadian rusuhan pada awal Rabu, 528 tahanan termasuk kanak-kanak telah melarikan diri dari depot tahanan imigresen berkenaan. Enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak maut apabila terlibat dalam kemalangan ketika cuba melintasi lebuhraya, manakala dua tahanan dewasa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan parah.

Sebelum insiden rusuhan, terdapat 664 tahanan ditempatkan di depot itu di mana 430 adalah lelaki, 97 wanita dan 137 kanak-kanak.

Susulan kejadian tersebut, pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan operasi besar-besaran untuk mengesan kesemua tahanan yang melarikan diri, termasuk menggunakan helikopter.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh