Malaysia Tahan Sekumpulan 35 Warga Rohingya Mendarat di Selangor

Mereka dipercayai antara 40 warga asing yang menaiki bot dari Indonesia dan mendarat di pantai Kampung Sungai Serdang, di Kapar pada Rabu.
Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-01-06
Share
Malaysia Tahan Sekumpulan 35 Warga Rohingya Mendarat di Selangor Seorang wanita Rohingya bersama anak-anaknya yang terperangkap dalam lumpur diselamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Selangor di sebuah kawasan pantai di Kapar, Selangor, 6 Januari, 2021.
[Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor]

Pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 35 warga Rohingya dan lima rakyat Indonesia tanpa dokumen yang mendarat di sebuah pantai di Selangor pada awal pagi Rabu, dengan sumber keselamatan memberitahu bahawa kesemua mereka itu tiba dengan bot dari Medan, Indonesia.

Penahanan kumpulan etnik Rohingya di Selangor itu adalah yang pertama bagi tahun ini, dan pemangku Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed memberitahu BeritaBenar yang kesemua mereka termasuk rakyat Indonesia itu mendarat di pantai Kampung Sungai Serdang, di Kapar.

"Seramai 40 pendatang tanpa dokumen telah mendarat di pantai Kampung Sungai Serdang yang terletak di daerah Kapar pada kira-kira jam 4 pagi, daripada jumlah itu, 31 adalah etnik Rohingya manakala lima lagi rakyat Indonesia, yang ditangkap sebaik sahaja tiba oleh sepasukan anggota yang terlibat dalam Ops Benteng.

“Seorang wanita bersama tiga kanak-kanak Rohingya yang mahu ke pantai selepas tiba dengan bot telah terperangkap dalam lumpur dan pihak polis terpaksa memanggil pasukan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mereka. Kesemua mereka ditahan, selepas kerja menyelamat selesai,” kata Arjunaidi kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

Beliau berkata, kesemua 40 yang ditahan itu telah dihantar ke Ibupejabat Polis Daerah Klang untuk proses siasatan termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam pada itu sumber keselamatan yang tidak boleh disiarkan namanya kerana tidak mempunyai kebenaran bercakap kepada media memberitahu BeritaBenar, kesemua 35 etnik Rohingya yang ditahan itu terdiri daripada 17 wanita, lapan lelaki, tujuh kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan manakala semua lima warga Indonesia adalah wanita. Tiada perincian umur yang diberikan.

"Kesemua etnik Rohingya dan Indonesian yang ditangkap dalam Ops Benteng itu dipercayai berlayar dari Bagan Asahan, dekat Tanjung Balai di Medan, Indonesia. Ketika mereka ditangkap, bot yang mereka naiki sudah lesap," tambah sumber itu lagi.

Malaysia memperkenalkan Ops Benteng bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak COVID-19, selepas negara itu mengambil keputusan menutup pintu sempadannya sejak Mac tahun lepas.

Ops Benteng itu melibatkan Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin.

Pada 22 Jun lalu, Malaysia mengusir sebuah bot yang membawa sekitar 300 pelarian Rohingya yang cuba memasuki perairan di Pulau Langkawi, Kedah sehingga mencetuskan kemarahan antarabangsa terhadap Putrajaya.

Terdahulu itu, pada 9 Jun, Malaysia menahan 269 pelarian Rohingya berhampiran perairan yang sama selepas membenarkan bot berkenaan mendarat berikutan kerosakan yang dialami bot tersebut.

Rohingya keluar dari kem

Sementara itu, Geutanyoe Foundation, badan amal kemanusian yang ditubuhkan di Aceh, Indonesia, pada 1999, melalui Pengarah Operasinya Rima Shah Putra berkata sejak Jun, sekitar 262 etnik Rohingya yang berada di kem perlindungan di Aceh telah meninggalkan kem tanpa kebenaran pasukan petugas yang menjaga kem.

Katanya, kesemua mereka didapati berpindah ke Medan kerana mahukan kebebasan penempatan yang boleh dipilih berbanding di Aceh yang mewajibkan mereka tinggal di dalam kem.

"Pelarian Rohingya yang tinggal di kem sementara di Aceh wajib tinggal di dalam kem manakala di Medan mereka mempunyai kebebasan dan pilihan dalam menentukan tempat tinggal. Selain itu, Medan mempunyai akses untuk memasuki Malaysia secara haram, daripada Tanjung Balai,” dakwanya.

Rima menambah, destinasi utama perlarian Rohingya adalah Malaysia dan bukannya Indonesia, kerana mereka mahu bersatu dengan ahli keluarga yang telahpun berada di Malaysia.

“Dengan berada di Medan, mereka mempunyai peluang tinggi untuk menyeberangi Selat Melaka untuk ke Malaysia, dan walaupun etnik Rohingya diberikan layanan baik seperti pendidikan dan akses kesihatan yang disediakan oleh organisasi antarabangsa seperti agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu - UNHCR, mereka masih mahu ke Malaysia," tambah beliau.

Sementara itu sebuah lagi badan kemanusiaan iaitu Kumpulan Kerja Rohingya di Asia Pacific Refugee Rights Network (APRRN) memberitahu BeritaBenar, ketibaan kumpulan Rohingya pada Rabu yang kebanyakannya adalah wanita menunjukkan mereka mahu berada di Malaysia untuk bersama suami atau calon suami mereka.

Ketuanya, Lilianne Fan berkata, Malaysia adalah destinasi utama pelarian Rohingya, dengan kebanyakkan mereka yang tiba di Aceh tahun lalu kerana gagal mendarat di Malaysia selepas dihalau pihak berkuasa, masih mahu menyeberangi Selat Melaka untuk ke Malaysia.

"Semua etnik Rohingya yang tiba di Aceh tahun lalu, pada asalnya mahu datang ke Malaysia kerana kebanyakan mereka mempunyai ahli keluarga tetapi terpaksa mendarat di Indonesia selepas gagal mendarat di Malaysia atau Thailand,” tambah beliau.

Fan turut meletakkan harapan tinggi supaya pihak berkuasa Malaysia dapat memberi akses kepada UNHCR untuk bertemu dengan pelarian yang baru tiba itu dengan meminta agar memberi pertimbangan terhadap penahanan alternatif kepada wanita dan kanak-kanak bagi mengurangkan kesesakan di depoh dan juga konteks COVID-19.

“Kami berharap pihak berkuasa memberikan akses kepada UNHCR untuk membantu kerajaan menentukan identiti dan status mereka selain  melihat keperluan lain dan meminta pihak berwajib mempertimbangkan alternatif dalam aspek penahanan supaya kesesakan di depoh dan berada dengan konteks COVID-19 dapat dikurangkan," tambah Fan.

BeritaBenar cuba menghubungi UNHCR untuk mendapatkan maklumbalas berkenaan pendaratan terkini warga Rohingya itu tetapi permintaan tidak mendapat balasan.

Malaysia kini telah mencatatkan 125,438 jangkitan positif COVID-19 dengan lebih 2,000 kes harian direkodkan sejak beberapa minggu lalu, dan pada Rabu negara itu mempunyai jumlah harian positif koronavirus yang tertinggi iaitu sebanyak 2,593 kes.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh