Myanmar Tolak Tuduhan Malaysia Melakukan Penindasan Terhadap Rohingya

Hadi Azmi
2016.12.06
Kuala Lumpur
161206-MY-myanmar-620.jpg Presiden Myanmar U. Htin Kyaw berjabat salam dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Zulkifeli Mohd Zin di Istana Presiden di Nay Pyi Taw.
[Ihsan Pejabat Presiden Myanmar]

Malaysia sedang menghadapi tindak balas daripada kerajaan Myanmar berikutan penampilan Perdana Menteri Najib Razak di perhimpunan di Kuala Lumpur pada hujung minggu di mana beliau mengutuk keganasan terhadap umat Islam Rohingya sebagai "pembunuhan beramai-ramai."

Presiden Myanmar U. Htin Kyaw dan Ketua Komander Jeneral Min Aung Hlaing berdepan dengan tetamu negara iaitu Ketua Angkatan Tentera Malaysia dan bersemuka mengenai beberapa isu semasa pertemuan pada Isnin di Istana Presiden di Nay Pyi Taw, menurut kenyataan pejabat presiden dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

"Hlaing memberitahu rakan sejawatnya dari Malaysia bahawa tiada pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku terhadap Muslim Rohingya," kata Myanmar Times memetik kenyataan Min Aung Hlaing dalam satu kenyataan.

Dalam pertemuan dengan Ketua Tentera Malaysia Zulkifeli Mohd Zin, Presiden Burma membincangkan kebimbangan Myanmar mengenai "berita palsu" berhubung keganasan di Maungtaw, sebuah bandar di [negeri] Rakhine barat di mana minoriti Rohingya bertumpu, menurut kenyataan Htin Kyaw itu.

"Presiden menjelaskan usaha kerajaan baru dalam menangani isu [dalam negeri] Rakhine mengikut undang-undang yang sedia ada. Terdapat standard hak asasi manusia serta norma dan langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Penasihat Negeri Rakhine dan suruhanjaya siasatan," kata kenyataan itu.

Lawatan Zulkifeli bukan untuk membincangkan mengenai isu Rohingya tetapi sebahagian daripada program lawatan beliau ke beberapa negara di rantau itu, sebelum bersara pada 16 Disember ini, seorang pegawai Kementerian Pertahanan Malaysia memberitahu BeritaBenar.

Tindakbalas Najib


Dalam mesej yang disiarkan di akaun Twitter miliknya, Najib berkata pada Selasa bahawa perhimpunan tersebut diadakan bertujuan untuk menunjukkan solidariti dengan nasib warga Rohingya dalam menarik perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Malaysia sedang bekerjasama dengan badan dunia Islam untuk menganjurkan mesyuarat menteri luar dari negara anggota "untuk membincangkan isu Rohingya."

Pada perhimpunan Ahad lepas, Perdana Menteri Malaysia mengkritik Myanmar dengan memetik fasal tidak campur tangan dalam piagam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang menghalang negara blok serantau itu dari campur tangan dalam urusan dalam negeri anggotanya.

Perhimpunan itu berlaku sehari selepas Malaysia menuduh kerajaan Myanmar melakukan pembersihan etnik, dan bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan turut melawat sebuah kampung di Rakhine di mana beribu-ribu Rohingya telah melarikan diri dari rumah mereka.

Keganasan Rakhine

Tentera Myanmar telah menjalankan operasi pembersihan keselamatan di bahagian utara negara itu yang bersempadan dengan Bangladesh, berikutan serangan maut ke atas pos-pos sempadan pengawal Burma pada awal Oktober, dengan pihak berkuasa mempersalahkan militan Rohingya.

Dalam tindakan keras itu, pihak tentera telah dituduh melakukan pembunuhan di luar undang-undang, merogol dan melakukan perbuatan khianat terhadap masyarakat Rohingya. Pihak tentera negara itu telah menafikan melaku sebarang kekejaman dan sebaliknya menyalahkan perbuatan khianat yang telah memusnahkan beratus-ratus rumah kaum Rohingya.

Keganasan telah menyebabkan beribu-ribu kaum Rohingya melarikan diri dengan menyeberangi sempadan ke Bangladesh. Pada Selasa, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) melaporkan bahawa beribu-ribu kaum Rohingya telah menyeberangi ke tenggara Bangladesh untuk melarikan diri daripada keganasan di Rakhine.

"Pasukan penyelarasan antara agensi, yang terdiri daripada agensi-agensi PBB dan NGO antarabangsa telah berada di daerah itu, dengan sentiasa menilai keadaan kemanusiaan dan telah mengenal pasti kira-kira 22,000 pendatang baru, sejak akhir November," kata IOM dalam satu kenyataan.

"Kebanyakan pendatang baru berada dalam keadaan lemah dan menjadi keutamaan bagi kami untuk memberikan akses kepada mereka kepada semua perkhidmatan yang disediakan," kata agensi itu yang telah menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada warga Myanmar tanpa izin di daerah Bazar Cox di Bangladesh sejak 2013.

Tindakbalas domestik


Perhimpunan Ahad lepas menyaksikan Najib duduk di atas pentas bersama Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – saingan tradisi terhadap Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dipimpin oleh Najib.

Selain daripada tindak balas dari Myanmar, Najib juga sedang menghadapi kritikan dalam negeri terhadap kehadirannya di perhimpunan tersebut.

Pada Isnin, gabungan kumpulan Myanmar Muslim Civil Society mengeluarkan surat terbuka yang antara lain menuduh Najib mengeksploitasi perhimpunan tersebut untuk kepentingan diri beliau bagi tujuan politik.

"Pada ketika ini, kami kecewa dengan inisiatif kurang berpengetahuan seperti perhimpunan di Malaysia, yang seterusnya boleh memburukkan lagi keadaan yang sukar dan dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan dan kestabilan masyarakat ASEAN.

"Kami dengan ini menegaskan bahawa masyarakat Islam di Myanmar tidak mengambilnya sebagai penindasan agama, tetapi isu kontroversial etnik," kata kenyataan itu.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Zulkifeli Mohd Zin, kiri, bertemu dengan Ketua Komander Tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing semasa lawatan beliau ke Myanmar. [Ihsan Pejabat Ketua Komander Tentera Myanmar]



Hata Wahari di Kuala Lumpur dan Kamran Reza Chowdhury di Dhaka menyumbang kepada laporan ini.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.