Follow us

Rohingya: Malaysia Tingkatkan Kawalan Rondaan di Perairannya

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-04-02
E-mel
Komen
Share
Bot yang dinaiki 56 pelarian Rohingya terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak, yang dalam perjalanan menuju ke Malaysia terpaksa berlabuh di Pulau Lanta, Krabi, Thailand akibat ribut dan laut bergelora, 1 April 2018.
Bot yang dinaiki 56 pelarian Rohingya terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak, yang dalam perjalanan menuju ke Malaysia terpaksa berlabuh di Pulau Lanta, Krabi, Thailand akibat ribut dan laut bergelora, 1 April 2018.
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Malaysia sedang meningkatkan kawalan rondaan di perairan  Langkawi di Selat Melaka dan Laut Andaman berikutan laporan bahawa bot yang dinaiki berpuluh pelarian Rohingya sedang menuju ke negara itu.

Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Rozali Mohd Said berkata pada Isnin bahawa pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] telah meningkatkan rondaan serta pengawasan sebaik saja menerima maklumat risikan awal berhubung perkara itu semalam. Walaubagaimanapun,  masih tiada sebarang kesan atau tanda yang bot tersebut telah masuk ke perairan Malaysia.

“Enam buah aset APMM telah digerakkan dan kini berada di perairan Wilayah Utara untuk tujuan pengesanan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Pihak berkuasa Thailand dilaporkan telah mendapati sebuah bot yang dipercayai membawa 56 orang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya yang berjaya masuk ke perairan negara itu, berhampiran Pulau Lanta di Wilayah Krabi berikutan ribut pada malam Sabtu lalu.

Kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Malaysia dan bot berkenaan telah ditolak ke tengah laut selepas mendapat perlindungan sementara, dengan turut diberikan bantuan makanan dan minuman oleh pihak berkuasa Thailand.

Pihak berkuasa Thailand juga berkata bot yang dijumpai pada Sabtu itu merupakan bot Rohingya pertama dalam tempoh setahun.

Sementara itu Kolonel Polis Wilayah Krabi, Pattanachak Chakrabhan memberitahu BeritaBenar pada Ahad, berdasarkan siasatan, kesemua kaum Rohinyga yang berada di dalam bot berkenaan berasal dari Rakhine, Myanmar, dan hendak menuju ke Malaysia.

“Tetapi pada malam Sabtu, mereka berdepan dengan keadaan laut yang bergelora dan ribut kuat berhampiran perairan Pulau Ko Ha.

“Mereka dibawa ke perairan Pulau Ko Lanta untuk berlindung, dan turut diberikan bantuan makanan, bekalan air dan lain-lain sebelum bot mereka diiringi ke tengah laut untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang mahu dituju” tambahnya lagi.

Beliau berkata, siasatan mendapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Nyawa bergantung kompas murah

Seorang penduduk tempatan di pulau itu, Asdawuth Suden, semasa ditemui berkata, beliau adalah antara mereka yang mendapati bot berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa. Beliau turut memaklumkan pendatang Rohingya yang berada dalam bot tersebut dalam keadaan kurang baik.

"Ketika dijumpai, kami melihat ramai kanak-kanak. Kami tertanya-tanya bagaimana mereka dapat bertahan di dalam laut bergelora. Saya sedih dan menangis... Saya tidak tahu sejauh mana perjalanan mereka. Saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai GPS. Nyawa mereka bergantung kepada sebuah kompas yang murah untuk menuju ke destinasi yang mahu dituju …. Saya hanya tahu bahawa mereka mempunyai harapan yang tinggi, " kata Asdawuth.

Dalam pada itu, seorang pegawai Tentera Laut Thailand memberitahu BeritaBenar pada Isnin, dengan syarat tidak disiarkan namanya berkata, “Kami hanya boleh memberi mereka akses untuk meneruskan perjalanan. Apabila mereka tiba, kami berikan bantuan kemanusiaan dan mereka boleh teruskan perjalanan,”

“Tetapi kami tidak boleh membenarkan mereka masuk negara ini. Ini adalah peraturan Tentera Laut.  Mereka tidak boleh masuk Thailand kerana ini satu kesalahan.  Sememangnya mereka tidak mahu masuk ke Thailand. Mereka hanya mahu pergi ke tempat lain, " kata pegawai itu.

Bagaimanapun, Fortify Rights, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak Rohingya Muslim yang berpangkalan di Bangkok berkata yang badan itu telahpun mendokumenkan beberapa ketibaan pelarian Rohingya melalui jalan laut di Malaysia dan Thailand sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, termasuk bot yang tiba di Thailand pada Februari lalu.

"Masalah ini tidak akan lenyap dengan sendirinya," kata Matthew Smith, Ketua Pegawai Eksekutif Fortify Rights. "Kerajaan-kerajaan di rantau ini perlu menunjukkan kepimpinan dan menanggung kewajiban undang-undang mereka untuk melindungi pelarian dan tidak menghantar mereka ke jurang maut di lautan."

Di Bangladesh, Superitenden Polis Cox’s Bazar Afrozul Haque Tutul, menafikan bahawa bot yang dikatakan dalam perjalanan ke Malaysia, yang membawa pelarian Rohingya itu, bertolak dari negara berkenaan.

“Kami telah menyiasat untuk menentukan sama ada mereka belayar dari Bangladesh. Tetapi kami yakin bahawa mereka tidak bermula dari negara ini,

"Orang ramai tidak boleh lagi menggunakan laluan sungai dan laut untuk pergi ke Malaysia kerana pihak berkuasa telah menghentikan sebarang pergerakan bot di kawasan Bangladesh, di sempadan sungai Naf," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beberapa laporan sebelum ini menyatakan bahawa sebahagian besar daripada 1.1 juta Rohingya telah dinafikan kerakyatan oleh kerajaan Myanmar, dengan ramai daripada mereka yang tinggal di kem-kem pelarian, tidak dibenarkan keluar, dan tidak diberi pendidikan dan pekerjaan.

Pada tahun 2015, ribuan etnik Rohingya terperangkap dalam krisis orang hanyut yang berakhir di Malaysia dan Indonesia oleh kerana  kerajaan Thailand mengekalkan dasarnya untuk tidak menerima kaum tersebut.

Selain kaum Rohingya, laluan laut itu turut digunakan oleh pendatang tanpa izin dari Bangladesh.

Statistik terbaharu agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati hampir 70,000 pelarian dan pencari suaka Rohingya mendapat perlindungan di Malaysia.

Mariam Ahmad di Selatan Thailand, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.


Lihat Laman Penuh