Bot Rohingya Terapung Berhampiran Perairan Thailand Selama Empat Bulan - Pegawai Malaysia

Nisha David, Hadi Azmi & Pimuk Rakkanam
2020.06.10
Kuala Lumpur & Bangkok
200610-MY-Rohingya1000.JPG Pelarian Rohingya yang dipintas oleh pengawal pantai Malaysia berhampiran perairan Langkawi dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen di Jeti Kuala Kedah, Malaysia, 3 April 2018.
[Reuters]

Sebuah bot yang membawa ratusan etnik Rohingya dan terapung di laut sejak empat bulan lalu telah beberapa kali dihalang daripada memasuki perairan Malaysia, kata seorang pegawai kanan maritim Malaysia pada Rabu yang turut memaklumkan bahawa bot itu kini berada di kawasan perairan selatan Thailand.

Etnik Rohingya yang menaiki bot itu dipercayai dibekalkan bahan makanan serta minyak oleh sindiket dari Thailand dan Myanmar, kata Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kepada BeritaBenar.

"Bot itu, yang membawa kira-kira 300 orang, kini berada di perairan Pulau Koh Adang (Thailand). Kami percaya bahawa bot itu berlepas dari Cox's Bazar (Bangladesh) pada Februari bersama sebuah lagi bot yang berjaya mendarat,” kata Mohd Zubil Mat Som, Ketua Pengarah APMM, merujuk kepada bot yang ditunda ke darat di Langkawi, sebuah pulau di utara Malaysia, pada Isnin.

Bot kedua itu "melakukan banyak percubaan untuk memasuki perairan Malaysia sebelum ini namun gagal kerana berjaya dikesan oleh peronda kami," katanya.

Seorang pegawai Tentera Laut Thailand menafikan sebarang kehadiran bot Rohingya di kawasan perairan Thailand di Laut Andaman sekitar Koh Adang, sebuah pulau yang terletak berhampiran sempadan Malaysia.

“Berdasarkan rondaan kapal dan helikopter, saya tidak nampak sebarang laporan yang menyatakan bahawa pihak kami telah mengesan kehadiran bot Rohingya. Kami tidak mengesan sebarang bot,” kata pegawai itu kepada BeritaBenar dengan syarat namanya dirahsiakan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan media secara langsung.

Para pegawai Malaysia pula beberapa kali menegaskan bahawa tidak ada bot yang dibenarkan memasuki perairan wilayahnya tanpa kebenaran. Bot yang ditunda di Langkawi telah dibawa ke pantai hanya selepas puluhan penumpangnya bertindak terjun ke laut dan berenang ke daratan menuju ke arah pulau itu. Pihak berkuasa negara itu kemudian melaporkan bahawa enjin bot tersebut sengaja "disabotaj."

70 peratus tidak boleh berjalan


Ketua pengawal pantai Malaysia itu turut mengesahkan bahawa kedua-dua bot Rohingya telah belayar dari Cox's Bazar, sebuah daerah di tenggara Bangladesh di mana hampir sejuta pelarian Rohingya dari Negeri Rakhine di Myanmar mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian di kawasan yang luas itu.

"Pihak sindiket telah menyediakan bekalan bahan makanan dan minyak bagi bot itu. Tidak ada bot yang mampu bertahan dan terapung di laut selama empat bulan tanpa bantuan,” kata Mohd Zubil.

Pihak berkuasa Malaysia telah mula memeriksa sejumlah 269 etnik Rohingya yang berada di atas bot yang telah ditunda ke darat pada 8 Jun, termasuk saringan koronavirus, kata ketua APMM itu.

Beliau juga memberitahu yang 70 peratus daripada mereka tidak dapat berjalan dengan baik kerana sudah berbulan-bulan terpaksa duduk dan berjongkok di atas bot berkenaan.

Pada Rabu, pegawai agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata mereka masih berusaha untuk mendapatkan akses kepada 269 etnik Rohingya itu yang ditempatkan di sebuah pusat tahanan di Langkawi sejak Isnin.

"Pada peringkat awal ini, UNHCR langsung tidak memiliki sebarang informasi tentang kumpulan itu dan oleh yang demikian, tidak dapat mengesahkan asal usul mereka atau memberikan maklumat mengenai keadaan mereka," kata seorang jurucakapnya di Kuala Lumpur semasa menjawab soalan BeritaBenar.

"UNHCR telah meminta akses segera untuk bertemu kumpulan itu untuk menilai keperluan perlindungan mereka dan telah menawarkan bantuan bersama-sama rakan kongsinya, kerajaan Malaysia, dengan menyediakan bantuan kemanusiaan segera dan  perkhidmatan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya.

Agensi PBB itu turut memuji Malaysia atas "tindakan kemanusiannya yang positif" dengan membenarkan bot tersebut mendarat di Langkawi – yang merupakan kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan menyaksikan pihak berkuasa Malaysia membenarkan pelarian Rohingya memasuki perairan wilayah negara itu setelah menutup pintu sempadan bagi mengelak penularan lanjut  jangkitan COVID-19.

"Tindakan membenarkan pelarian dan pencari suaka mendarat pada masa yang tepat dan selamat adalah penting dalam usaha menyelamatkan nyawa, sesuai dengan norma-norma antarabangsa untuk melindungi pencari suaka dan mereka yang berisiko di laut, termasuk prinsip tiada penolakan semula," kata UNHCR.

‘Malaysia sepatutnya hantar Rohingya ke Myanmar’

Sehari sebelum itu, Menteri Pertahanan Malaysia Ismail Sabri Yaacob berkata Malaysia akan menghantar pulang penumpang bot tersebut ke Bangladesh jika disahkan bahawa perjalanan mereka bermula dari Cox's Bazar.

Di Dhaka, Menteri Luar Bangladesh AK Abdul Momen berkata kerajaannya tidak akan mengambil etnik Rohingya yang mendarat di Malaysia.

“Etnik Rohingya adalah warganegara Myanmar dan Malaysia harus menghantar etnik Rohingya itu ke Myanmar dan bukannya ke Bangladesh. Jika tidak, mereka (Malaysia) boleh membiarkan etnik Rohingya itu berada di negara mereka sendiri,” katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu di Bangkok, kumpulan pembela hak asasi manusia Fortify Rights meminta negara-negara Asia membenarkan bot-bot Rohingya mendarat.

"Negara-Negara di rantau ini harus segera membenarkan pelarian Rohingya dan mangsa sindiket pemerdagangan manusia untuk mendarat. Etnik Rohingya adalah mangsa genosid dan mereka memerlukan perlindungan, bukannya dibiarkan mati di laut,” kata Putthanee Kangkun, seorang penyelidik bersama kumpulan itu, kepada BeritaBenar pada Rabu.

Pelarian yang menaiki bot itu tidak seharusnya ditahan bagi tempoh masa yang tidak pasti atau selama-lamanya, katanya.

"Kami tahu ada lebih banyak bot di laut," kata beliau merujuk kepada maklumat yang disampaikan rakan sekerjanya di Banglandesh.

"Kami mendapat tahu daripada temu bual sebelum ini yang membabitkan dua bot baru-baru ini bahawa ada pelarian Rohingya yang mati di laut dan keadaan amat teruk di atas bot terbabit. Contohnya ketiadaan makanan dan air,” katanya.

Pada pertengahan April, ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya dikatakan "kebuluran" ketika dibawa ke darat di Cox's Bazar setelah percubaan mereka untuk ke Malaysia melalui jalan laut gagal, dan saksi mengatakan bahawa pihak berkuasa Malaysia telah menolak bot mereka.

Semasa merentasi lautan, puluhan penumpang maut dan mayat mereka telah dihumban ke dalam laut, kata mangsa yang terselamat dalam perjalanan itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.