Malaysia Jatuh 18 Anak Tangga Dalam Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia

Badan pemantau media antarabangsa Reporters Without Border berkata kejatuhan itu adalah yang terbesar berbanding negara lain.
Noah Lee & Ray Sherman
2021.04.20
Kuala Lumpur
Malaysia Jatuh 18 Anak Tangga Dalam Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia Ketua Editor portal berita Malaysiakini Steven Gan bercakap kepada pemberita selepas keluar dari kamar mahkamah di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, 2 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Keinginan kerajaan Malaysia untuk mempunyai 'kawalan penuh' ke atas maklumat telah menyebabkan negara itu jatuh sebanyak 18 anak tangga dalam laporan tahunan Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 oleh pemantau media antarabangsa Reporters Without Border (RSF), yang dikeluarkan pada Selasa.

Badan pemantau itu turut menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan lain dalam rantau yang sama telah mengambil kesempatan di atas pandemik COVID-19 untuk menekan kebebasan media.

"Malaysia jatuh sebanyak 18 anak tangga, iaitu dari 101 ke 119 pada tahun ini, " kata laporan indeks oleh RSF yang dikeluarkan setiap tahun sejak 2002, yang mengukur tahap kebebasan yang dinikmati oleh wartawan di 180 buah negara yang ditentukan oleh pengumpulan maklumbalas pakar berdasarkan kepada soalan yang diberikan.

"Kejatuhan sebanyak 18 anak tangga yang menghairankan itu, adalah yang terbesar berbanding negara lain dalam senarai indeks, dan ianya mempunyai kaitan secara langsung dengan penubuhan kerajaan gabungan pada Mac 2020.

“Ini sekaligus membawa kepada pengambilan ketetapan yang dikatakan untuk melawan 'berita palsu', dengan membolehkan pihak berkuasa memaksakan kebenaran dalam versi mereka," kata analisis laporan yang disiarkan di laman sesawangnya pada Selasa.

Laporan itu juga menyebut mengenai langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengembalikan Jabatan Hal Ehwal Khas, atau dikenali sebagai JASA, yang fungsinya "mengeluarkan propaganda politik dan telah diberikan peruntukan besar sebanyak RM85 juta (AS$20.65 juta) pada Belanjawan 2021", adalah antara faktor yang membawa kepada kemerosotan Malaysia dalam indeks kebebasan media itu.

"Kerajaan [Malaysia] juga bergantung kepada peruntukan perundangan draconian (jahat) untuk menghalang kebebasan media, yang digunakan sebagai senjata, termasuk penggunaan Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Di bawah undang-undang ini, yang sepatutnya dikaji semula secara penuh, pihak berkuasa mempunyai kawalan penuh ke atas lesen penerbitan manakala wartawan pula boleh dijatuhkan hukuman sehingga 20 tahun atas dakwaan menghasut," kata RSF lagi.

Badan pemantau media antarabangsa itu juga berkata dengan kembalinya pemerintahan yang bersifat autoritarian pada tahun 2020, ia telah membawa kepada pendakwaan, pemeriksaan polis dan juga kejadian di mana wartawan serta pemberi maklumat dihalau keluar dari Malaysia.

Sehubungan itu, ramai wartawan terpaksa menapis laporan mereka bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan oleh kerajaan, tambah laporan tersebut.

BenarNews juga mendapat reaksi daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan RSF itu, bagaimanapun pertanyaan tidak dijawab.

Laporan sama yang dikeluarkan pada April tahun lalu menyatakan Malaysia berada di tangga 101, dan 123 pada 2019, satu penurunan ketara semasa negara ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir, yang menunaikan janji pilihan raya gabungan itu untuk memansuhkan Peruntukan Orwellian bagi Akta Anti-berita palsu yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.

Malaysia berada di indeks antara 145 dan 147 dalam laporan RSF selama beberapa tahun semasa dibawah Najib.

Sejak Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara, selepas pengambilalihan kuasa tanpa dipiliha secara sah oleh rakyat pada Mac tahun lalu, terdapatnya beberapa insiden di mana wartawan menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa kerana laporan mereka yang dilihat bersifat kritikal terhadap kerajaan dan polisinya.

Ini termasuk seorang wartawan akhbar South China Morning Post yang disoalsiasat polis pada Mei tahun lepas berhubung ciapan Twitter beliau mengenai serbuan terhadap migran yang dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Sebulan selepas itu, pengarang portal berita kesihatan CodeBlue pula disiasat pihak berkuasa berhubung penerbitan laporan yang memetik mengenai inkuiri bebas berhubung kes kebakaran Hospital Sultanah Aminah, di Johor Baharu yang meragut enam nyawa pada 2016 atas alasan laporan tersebut masih belum diumumkan kepada awam ketika ia diterbitkan portal berkenaan.

Polis Malaysia turut menyerbu pejabat stesen televisyen Al-Jazeera di Kuala Lumpur dan menyoalsiasat kakitangannya di atas penerbitan satu dokumentari melalui segmen ‘101 East’ berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”, yang berkisar mengenai layanan terhadap pendatang tanpa izin semasa pandemik Koronavirus pada Ogos.

Seorang individu yang ditemuramah oleh Al Jazeera dalam dokumentari tersebut, seorang warga Bangladesh bernama Rayhan Kabir telah diusir keluar dari Malaysia kerana bercakap mengenai nasib pendatang asing di negara tersebut.

Kerajaan dikritik sekat kebebasan media

Susulan kemerosotan prestasi Malaysia dalam indeks tersebut, beberapa ahli parlimen pembangkang telah menyuarakan kritikan mereka terhadap tindakan kerajaan menyekat kebebasan media di negara berkenaan.

Fahmi Fadzil, Anggota Parlimen Lembah Pantai yang juga pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat, menggesa supaya situasi kebebasan media di Malaysia diperbaiki.

"Ini sememangnya bukan satu pencapaian yang baik atau patut dibanggakan negara kita. Media yang terkongkong dan takut pada pemerintah mewujudkan suasana yang tidak baik, terutama apabila pemerintah salah guna kuasa, rasuah dan tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Media yang tunduk sudah pasti hanya akan mengiakan kebobrokan dan kezaliman yang dilakukan pemerintah.

"Oleh itu, kita wajib perbaiki keadaan. Apabila negara kita berlandaskan hukum (rule of law), amalan demokrasinya sihat, dan medianya berani lagi bebas, maka rakyat yang merupakan pembayar cukai sudah pasti akan menyaksikan pentadbiran yang adil dan baik.

“Bukan sahaja itu, malah pelabur antarabangsa juga akan yakin dan bersedia melabur di Malaysia. Ini akan menghidupkan semula ekonomi kita yang kian lesu," kata Fahmi dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau turut mengutarakan empat cadangan kepada kerajaan untuk memulihkan kebebasan media, iaitu supaya satu Majlis Media yang bebas diwujudkan, pemansuhan Ordinan Darurat berkenaan berita palsu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan manakala pindaan dibuat ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan sidang Parlimen diadakan semula.

"Parlimen sebagai institusi demokrasi terulung negara memainkan peranan penting sebagai tempat masalah rakyat didengari, dan di mana pentadbiran kerajaan diteliti dalam proses semak imbang. Parlimen yang mampu berfungsi dengan baik akan menambahkan keyakinan rakyat malah juga masyarakat antarabangsa bahawa negara kita diurus dengan baik.

"Oleh itu, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin mesti segera menasihati DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, terutama setelah Tuanku memberi titah nasihat bahawa Parlimen boleh bersidang tatkala Darurat berkuatkuasa," kata Fahmi.

Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga merupakan bekas menteri kabinet semasa era kerajaan Pakatan Harapan, pula menggesa supaya kerajaan memberikan respon mereka mengenai kemerosotan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media.

"Sebuah negara yang demokrasi harus memastikan kebebasan kepada pengamal media untuk bertugas dan menyampaikan berita. Apabila pengamal media berfungsi dengan baik tanpa sebarang cekaman kuku besi dari kerajaan, maka orang ramai akan dapat menerima maklumat yang benar, tepat dan betul.

"Reporters Without Borders telah melaporkan sebab utama kenapa ranking Malaysia makin teruk… Apa respons kerajaan PN dalam kedudukan baru Malaysia yang makin buruk ini?," kata beliau.

Sementara itu, Profesor kewartawanan Universiti of Nottingham Malaysia, Zaharom Nain berkata bahawa Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang berkisar mengenai penyalahgunaan rangkaian komunikasi di media sosial dan baharu, telah digunakan dengan banyak dalam tempoh dua tahun yang lalu.

"Penindasan terhadap kebebasan bukan sahaja mengenai pendakwaan di mahkamah menggunakan undang-undang, seperti yang pernah berlaku dan akan terus berlaku, tetapi lebih daripada itu, terutamanya melibatkan intimidasi dan ketakutan yang dibawa dengan ugutan untuk menggunakan undang-undang berkenaan. Ini membawa kepada wartawan melakukan penapisan secara sendiri dan berada dalam ketakutan," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Zaharom lagi, Ordinan Darurat mengenai berita palsu juga memberikan kuasa yang besar kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk mengambil tindakan keras terhadap pandangan yang mengkritik dan berbeza ketika pandemik COVID-19.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.