Pegawai Malaysia, Filipina Sahkan Lelaki Bersenjata Culik 10 Nelayan di Sabah

Ali Nufael
2019.06.18
Kuala Lumpur, Malaysia
190618-abusayyaf-1000.jpg Warga Indonesia, Mohammad Nazer (kiri) dan Robin Peter sedang mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Zamboanga, selatan Filipina, setelah dibebaskan oleh militan Abu Sayyaf, 12 Disember 2016.
[AFP/ WESTMINCOM]

Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali telah menculik 10 nelayan dipercayai rakyat Filipina di perairan Sabah, negeri timur Malaysia, pada Selasa, dengan para pegawai keselamatan berkata penculikan terbaru di rantau itu mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam yang sering melakukan penculikan maut.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab dan pegawai juga tidak pasti sama ada Abu Sayyaf, kumpulan militan yang berpusat di selatan Filipina, terlibat dengan kejadian itu.

"Ya, kami dimaklumkan bahawa mereka bercakap dalam bahasa Melayu tetapi kami tidak dapat memastikan sama ada mereka penyamun tempatan atau mempunyai hubungan dengan Abu Sayyaf," kata Ketua Polis Sabah, Omar Mammah, kepada BeritaBenar.

Kesemua nelayan itu berumur antara 17 hingga 60 tahun dan dipercayai terdiri daripada suku Bajau Laut yang tinggal di selatan Filipina, katanya.

Mangsa diculik dari dua buah bot nelayan yang membawa 16 orang di daerah Lahad Datu, Sabah selepas mereka didatangi dua lelaki, kata pegawai keselamatan Filipina dan Malaysia kepada BeritaBenar.

Lelaki-lelaki bersenjata senapang M-16 itu menaiki bot nelayan tersebut dan merampas dokumen mereka sebelum melarikan diri dengan membawa bersama-sama 10 mangsa itu, kata pihak berkuasa.

Para penculik itu dipercayai menuju ke Pulau Sitangkai di selatan Filipina, yang mengambil masa 15 minit perjalanan menaiki bot dari perairan Tambisan di Lahad Datu, kata sumber Polis Sabah kepada BeritaBenar.

Pegawai berkata mereka masih cuba menentukan mengapa lelaki bersenjata itu tidak mengambil enam lagi nelayan lain yang turut berada di dalam kedua-dua bot berkenaan, yang kemudiannya melaporkan mengenai penculikan itu selepas diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor pada Selasa berkata bahawa kesemua 10 lelaki yang diculik itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan bot mereka berlayar tanpa sebarang permit semasa perintah berkurung.

"Mereka tidak mempunyai pengenalan diri. Kami percaya mereka bukan rakyat Malaysia," kata Mazlan kepada pemberita di Selangor.

"Setakat ini, kami tidak dihubungi oleh mana-mana pihak atau mana-mana kumpulan yang mengaku bertanggungjawab," katanya.

Penculikan itu berlaku seminggu selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, semasa temu bual dengan agensi berita nasional, Bernama, memberi amaran bahawa kumpulan Abu Sayyaf masih menimbulkan ancaman keselamatan terhadap negara itu. Amerika Syarikat telah menyenaraikan kumpulan tersebut sebagai organisasi pengganas asing.

Abu Sayyaf (ASG) adalah kumpulan terkecil daripada beberapa kumpulan bersenjata yang beroperasi di selatan Filipina, dan dianggap kumpulan yang paling kejam. Kumpulan berkenaan juga terkenal kerana menculik warga asing termasuk rakyat negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Tiga tahun lalu, Abu Sayyaf memenggal kepala dua tawanannya iaitu rakyat Kanada dan rakyat Jerman setelah kerajaan mereka enggan membayar wang tebusan yang diminta bagi membebaskan mereka.

Seorang pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, telah dinamakan sebagai ketua cawangan militan Negara Islam di selatan Filipina. Dia terbunuh selepas mengetuai kumpulan militan dalam pertempuran selama lima bulan dengan pasukan kerajaan semasa pengepungan bandar Marawi di selatan negara itu pada Oktober 2017.

Malaysia, Indonesia dan Filipina memulakan rondaan maritim trilateral pada Jun 2017 sebagai tindak balas terhadap kejadian penculikan yang menyasarkan bot nelayan pukat tunda dan kapal tunda di Laut Sulu dan Sulawesi oleh Abu Sayyaf.

Bulan lalu, Abu Sayyaf membunuh tebusan Belanda, Ewold Horn, seorang jurugambar hidupan liar berusia 59 tahun, semasa pertempuran di selatan Filipina yang juga menyebabkan sekurang-kurangnya enam anggota militan dan lapan anggota tentera mati, kata pihak tentera Filipina.

Penculikan pada Selasa berlaku selang beberapa hari selepas kerajaan negeri Sabah mengumumkan bahawa pasukan keselamatannya berada pada tahap sangat bersedia mengawal di sepanjang sempadan perairannya dalam menggagalkan pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

"Kami akan memberi keyakinan [kepada pelancong]," kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah.

“Kami tidak mahu orang luar memberi tanggapan bahawa Sabah bukanlah tempat yang selamat," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.