Sabah Tahan 24 Pejuang Asing Terlibat Keganasan Sepanjang 2018

Zam Yusa & Ali Nufael
2019.02.14
Kota Kinabalu & Kuala Lumpur, Malaysia
Jolo.jpeg Polis dan tentera Filipina sedang mengawasi kawasan berlakunya kejadian letupan bom di luar gereja Roman Katolik di Jolo, wilayah Sulu, selatan Filipina, 27 Januari, 2019.
[AP]

Sekurang-kurangnya 24 pejuang asing ditahan pada 2018 di negeri Sabah, sebuah pusat transit yang terkenal dikalangan militan Islam yang cuba mahu menyelinap masuk ke selatan Filipina, kata pegawai keselamatan Malaysia kepada BeritaBenar pada Khamis.

Pihak berkuasa tempatan berkata mereka meningkatkan usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan dan pencerobohan warga asing, di tengah-tengah kebangkitan semula aktiviti militan Negara Islam [IS] di negara jiran.

Pengeboman di sebuah gereja di Pulau Jolo di selatan Filipina pada Januari lalu telah membunuh seramai 23 orang serta mencederakan lebih 100 orang, dan lelaki yang merancang pengeboman itu dipercayai pemimpin IS yang baru di Filipina, menurut seorang pegawai Amerika Syarikat.

"Sepanjang tahun 2018, seramai 24 militan telah ditahan di Sabah di bawah SOSMA, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,“ kata Pesuruhajaya Polis Sabah, Omar Mammah, sambil menambah bahawa tiada seorang pun daripada mereka rakyat Malaysia.

“Polis Sabah akan terus memerangi elemen Daesh dan pelbagai lagi bentuk keganasan daripada kumpulan lain yang menggunakan Sabah sebagai tempat berlindung," kata Omar yang merujuk kepada kumpulan IS, sambil menambah tindakan perlu diambil terhadap sindiket penyeludupan senjata ke Sabah termasuk melancarkan operasi khas dengan Bukit Aman.

Semasa diminta untuk mengesahkan maklumat itu, Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu jumlah penangkapan IS di Sabah pada tahun 2018 ialah seramai 29 orang.

Suspek IS yang ditangkap di seluruh Malaysia pada 2018 berjumlah 85 orang dengan 44 daripada mereka terdiri daripada warga asing manakala 41 orang pula rakyat tempatan, katanya.

Dua negeri yang mempunyai bilangan penangkapan yang signifikan adalah Johor (15) dan Selangor (14).

Keseluruhannya, angka 2018 mewakili penurunan berterusan dari tahun 2016, dengan 119 penangkapan yang serupa. Seramai 106 suspek militan ditangkap pada 2017, kata Ayob.

Pecahan penangkapan mengikut negara atau kewarganegaraan pada tahun tersebut tidak dapat diperolehi dengan segera.

Walaubagaimanapun, pada Oktober 2017, para pegawai Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah menahan 45 militan asing sehingga bulan itu, dan sejumlah 70 sejak 2013.

Omar juga berkata beberapa kerangka operasi telah disediakan dalam usaha untuk mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang asing dari Filipina yang sedang berdepan dengan ketegangan serta konflik di bahagian selatan negara itu.

Tangkapan Tertinggi

Menurut penganalisis keselamatan serantau daripada Universiti Malaysia Sabah(UMS) Ramli Dollah, penahanan anggota pengganas yang tinggi di Sabah bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Pergerakan anggota pengganas dan warganegara dari Filipina dan Malaysia sudah lama terjadi. Lokasi kedua negara yang begitu dekat dan sempadan yang luas membantu pengganas untuk bebas bergerak di antara ke dua-dua negara itu.

“Ini jelas dapat dilihat ketika peristiwa berdarah Lahad Datu pada 2013 yang melibatkan pengganas Sulu di mana mereka ini menceroboh Sabah dan pernah tinggal di negeri ini sebelum itu. Sangat mudah untuk pengganas dari Filipina untuk menyesuaikan diri dengan penduduk tempatan. Mereka juga kerap menggunakan Sabah sebagai tempat untuk transit atau merancang serangan yang akan datang selain dari Indonesia.

Menurut beliau, walaupun keadaan di Sabah masih ditahap yang terkawal, kerajaan perlu mengambil sikap proaktif bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Kerajaan perlu menaik taraf sistem keselamatan dengan ketidakseimbangan yang sedang berlaku di Selatan Filipina. Elemen keganasan boleh masuk kedalam negeri Sabah."

Pada Disember lalu, polis Sabah menahan seorang lelaki Filipina berusia 45 tahun yang merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dalam tangkapan di Tawau.

Dia disyaki terbabit dengan sekurang-kurangnya tiga siri penculikan di selatan Filipina dan Sabah, dan turut tersenarai sebagai individu dikehendaki ESSCOM [Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah].

Turut ditahan didalam satu operasi berasingan adalah sepasang suami isteri masing-masing berusia 48 dan 40 tahun, suspek lelaki warga Filipina bekerja sebagai buruh manakala isterinya warga tempatan seorang suri rumah, ditahan kerana menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran anggota ASG di Sabah.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada 30 Januari lalu turut berkata polis sedang memantau kawasan di Sabah seperti Tawau, Sandakan dan beberapa daerah lain yang dijadikan sebagai lokasi transit pengganas Daesh yang mahu menyusup ke selatan Filipina.

Fuzi berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kejadian letupan bom di Jolo, Filipina yang mengorbankan 27 orang dan mencederakan 77 mangsa lain pada 27 Januari.

Fuzi berkata, pihaknya kini meningkatkan kawalan berterusan terutama di Sabah kerana terdapat maklumat bahawa pengganas cuba menjadikan kawasan selatan Filipina sebagai lokasi operasi yang baru bagi pengganas Daesh.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.