Marawi : Malaysia Buru Militan Cuba Seberangi Sempadan

Hareez Lee, Jeoffrey Maitem & Richel V. Umel
2017.11.02
Kuala Lumpur, Malaysia & Marawi, Filipina
171102-marawi-620.jpg AFP
Photo: Benar

Malaysia berkata agensi keselamatan meneruskan pemburuan di timur negeri Sabah yang bersempadan dengan Filipina untuk mengesan mana-mana anggota militan yang mungkin menyeberang ke negara itu selepas melarikan diri dari Marawi apabila satu lagi pertempuran meletus pada Khamis antara tentera kerajaan dengan lebih tiga dozen militan sesat di Marawi, kata para pegawai, 10 hari selepas Filipina mengisytiharkan bahawa pertempuran selama lima bulan dengan pejuang bersenjata pro-Negara Islam (IS) sudah tamat.

“Agensi keselamatan kini dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya, 24 jam [sehari], di Sabah. Bukan kami sahaja, tetapi juga pihak tentera, Pusat Kawalan Keselamatan Timur Sabah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” Kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun kepada BeritaBenar.

“Kami turut bergantung kepada risikan, dan kami sentiasa berhubung dengan rakan sejawat kami di Filipina untuk memantau pergerakan [ke arah wilayah kami]. Ketika ini kami mampu mengawal keadaan.”

Awal minggu ini, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei telah mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan Interpol untuk memberkas militan asing yang cuba menceroboh sempadan bersama mereka. Keempat-empat negara berkongsi wilayah di Kepulauan Borneo, yang terletak di selatan Filipina.

Para pegawai Filipina pada Khamis menyifatkan pertempuran terbaru itu sebagai kurang serius, dan berkata pejuang musuh tidak lagi berupaya untuk melancarkan serangan secara besar-besaran. Laporan mengenai pertempuran baharu dibuat sehari selepas para pegawai mengumumkan penangkapan Mohammad Ilham Syahputra, seorang militan Indonesia, selepas dia didakwa berenang menyeberangi sebuah tasik ketika cuba melarikan diri dari bandar yang telah musnah itu.

Para pegawai tentera berkata Mohammad Ilham telah mendedahkan bahawa berpuluh-puluh militan Abu Sayyaf dan puak Maute masih bersembunyi di zon pertempuran utama di bandar itu. Rakyat Indonesia itu turut memberikan butiran tentang lokasi rakan-rakan seperjuangannya, kata mereka.

“Berdasarkan pendedahan militan rakyat Indonesia yang kami berkas, kira-kira 39 pejuang sesat masih bersembunyi di zon utama kawasan pertempuran, itulah sebabnya kami masih meneruskan operasi pembersihan,” kata ketua petugas tentera tempatan Kolonel Romeo Brawner kepada BeritaBenar.

“Dia memberitahu para penyiasat kami bahawa jika mereka berjaya menawan Marawi, mereka juga akan menawan bandar-bandar Iligan dan Cagayan de Oro,” katanya merujuk kepada dua bandar berhampiran yang terletak di utara Marawi.

Dua militan terbunuh pada petang Rabu, termasuk Abu Thala, yang dipercayai menjadi orang kanan pemimpin IS Filipina merangkap komander kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang maut dalam pertempuran dua minggu lepas, kata Brawner.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada laporan baharu tentang militan yang maut pada Khamis.

Brawner berkata tentangan militan terbabit dianggap sebagai “tidak begitu signifikan” dan tidak mampu mendatangkan kerosakan yang teruk. Namun beliau memberi amaran kepada orang awam untuk terus berjaga-jaga kerana pihak berkuasa telah bertungkus-lumus memulihkan keadaan agar kembali normal di bandar yang telah musnah itu.

Hapilon telah dibunuh pada 16 Okt bersama-sama Omarkhayam Maute, seorang daripada dua beradik yang memimpin puak militan Maute. Turut terbunuh ialah Mahmud Ahmad, seorang bekas profesor universiti dari Malaysia yang didakwa membiayai serangan Marawi.

Pihak tentera berkata kematian Mahmud telah disaksikan beberapa tebusan yang berjaya melarikan diri namun mayatnya masih belum ditemui.

Pada 23 Okt, lima bulan selepas pertempuran mula meletus, kerajaan Filipina secara rasmi mengisytiharkan bahawa peperangan telah berakhir dan pihak tentera berkata ia telah membunuh sekurang-kurangnya 42 militan dalam serangan terakhir.

Kerajaan membuat pengumuman itu semasa mesyuarat dua hari menteri-menteri pertahanan ASEAN, yang turut dihadiri Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Jim Mattis dan rakan sejawatnya dari Australia, Marise Payne. Kedua-dua negara telah membantu dari segi pengawasan udara sebagai menyokong kempen tentera Filipina di Marawi, kira-kira 1,170 km (730 batu) di selatan ibu negara Manila.

Sementara itu, penganalisis keselamatan Malaysia Ahmad El-Muhammady memberi amaran bahawa Sabah mungkin menjadi kawasan panas seterusnya untuk aktiviti militan.

“Penganas akan menjadikan Sabah sebagai pangkalan baharu mereka atau tempat persinggahan,” kata Ahmad, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan seorang penasihat antikeganasan untuk pasukan polis.

Kepulauan Borneo, hanya berjarak kira-kira 30 km (19 batu) dari Tawi-Tawi, sebuah wilayah pulau di selatan Filipina di mana anggota Abu Sayyaf beroperasi.

“Orang ramai boleh berjalan menyeberangi sempadan semasa air surut,” katanya. “Anda hantar mereka pada sebelah pagi dan pada sebelah petangnya, mereka sudah boleh pulang. Tidak ada sesiapapun yang menjaga kawasan pesisir pantai sepanjang 3,000 batu itu.”

Wanita dan kanak-kanak terperangkap

Dalam pada itu, menurut Brawner, antara yang masih terperangkap di zon pertempuran ialah anggota keluarga puak militan Maute dan Abu Sayyaf.

“Baru-Baru ini kami telah menyelamatkan anak serta isteri anggota militan puak Maute. Mereka kini berada dalam tahanan polis kami yang melakukan siasatan tentang sejauh mana pembabitan mereka. Kami mempunyai maklumat bahawa ada antara mereka yang sudahpun menjalani latihan,” katanya.

Mohammad Ilham, suspek rakyat Indonesia, dianggap sebagai sasaran nilai tinggi yang telah dibawa ke Manila untuk disoal-siasat dengan lebih lanjut, kata ketua polis bandar Marawi Supt Ebra Moxir.

Pertempuran meletus pada 23 Mei apabila tentera dan polis memulakan langkah untuk menahan Hapilon, yang berada dalam senarai pengganas paling dikehendaki Washington. Bagaimanapun pasukan keselamatan itu berdepan dengan sekumpulan besar anggota militan bersenjata dari puak Maute, dengan dibantu oleh pejuang asing yang tidak diketahui jumlahnya, termasuk dari Malaysia dan Indonesia.

Ketika pertempuran berlaku, militan terbabit bergerak ke seluruh bandar itu. Mereka membakar bangunan, membunuh penganut agama Kristian dan memusnahkan bandar Marawi yang sebelum ini terkenal dengan keindahan pemandangan tepi tasiknya, yang hanya tinggal sisa-sisa runtuhan selepas lima bulan pertempuran.

Lebih 200,000 penduduk melarikan diri dari bandar itu. Kebanyakan mereka yang mula kembali sejak beberapa hari lepas mendapati rumah mereka telah musnah. Seorang pakar yang menilai kerosakan sebelum ini berkata tempoh kira-kira sedekad diperlukan untuk memulihkan sepenuhnya bandar itu.

Pertempuran sengit yang berlaku, diselang-seli dengan pengeboman setiap hari oleh jet-jet pejuang Tentera Udara, telah menimbulkan ketakutan iaitu IS mungkin memperoleh kubu kuat di Asia Tenggara. Sejumlah 942 militan, 165 tentera dan polis serta 47 orang awam terbunuh dalam pertempuran itu, menurut pihak tentera.

Penduduk yang tersingkir dari bandar Marawi di selatan Filipina menerima bekalan makanan, sementara pihak tentera berkata ia masih meneruskan pembersihan di bandar yang musnah itu daripada saki-baki pejuang musuh, 2 Nov 2017. [Jeoffrey Maitem/BeritaBenar]

‘Kini tiada lagi tembakan secara terbuka di Marawi’

Di Manila, jurucakap Kepresidenan Harry Roque berkata lebih banyak pertempuran dijangka berlaku ketika pihak tentera memburu pejuang sesat dari pihak musuh. Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan berhubung sekutu musuh dan berkata pertempuran mungkin merebak ke kawasan lain di bahagian selatan.

“Saya rasa ia amat mudah untuk dijelaskan. Ia sememangnya ciri peperangan jalanan bandar. Kini tiada lagi tembakan secara terbuka di Marawi,” kata Roque mengenai keganasan yang berterusan di Marawi.

“Saya tidak fikir mereka mempunyai keupayaan untuk menentang kami secara berdepan namun mereka mungkin masih bersembunyi dan itulah sebabnya pihak tentera terus berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya, merujuk kepada militan. “Itu juga sebabnya mengapa kami tidak membenarkan orang awam kembali ke kawasan zon peperangan sepenuhnya.”

Froilan Gallardo di Bandar Cagayan de Oro menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.