Malaysia Pertingkat Kawalan Keselamatan Di Sabah

Laporan sebuah agensi media antarabangsa memetik sumber yang mendakwa satu mesyuarat membincangkan rancangan menghantar perisik serta 600 militan menawan Sabah.
Ray Sherman & Nisha David
2021.12.10
Kuala Lumpur
Malaysia Pertingkat Kawalan Keselamatan Di Sabah Unit Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah [ESSCOM] sedang mengawal perairan di sekitar timur Sabah yang bersempadanan dengan Filipina, 10 Dis, 2021.
[Ihsan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah]

Malaysia mengambil langkah mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan timur negeri Sabah susulan laporan yang masih belum sahih yang mendakwa bahawa sekumpulan pemimpin Sulu di selatan Filipina sedang merancang serangan ke atas negeri itu, menurut Menteri Pertahanan Malaysia pada Jumaat.

Hishammuddin Hussein bagaimanapun menyatakan bahawa setakat ini risikan tentera tidak menemui sebarang bukti berkenaan rancangan yang dikatakan itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan maklumat mengenai perkara itu dengan pihak keselamatan di Filipina serta negara jiran lain di rantau berkenaan.

Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak, mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius," tambah Hishammuddin.

Tambahnya, bahagian risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) juga konsisten dalam memantau situasi serta meneliti sebarang indikasi yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Saya juga telah arahkan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, dan Tentera Udara Diraja Malaysia, untuk memastikan ATM turut meningkatkan kesiapsiagaannya ke tahap paling tinggi di negeri berkenaan terutama di Pantai Timur Sabah," kata Hishammuddin dalam kenyataan media pada Jumaat.

Selain itu, Menteri berkenaan juga berkata beliau turut bekerjasama secara rapat dengan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, serta Menteri Pertahanan Indonesia, Probowo Subianto di bawah Perjanjian Kerjasama Trilateral bagi memastikan keselamatan di kawasan perairan serantau.

"Memelihara keamanan dan kesejahteraan Sabah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi Kementerian Pertahanan. Walau apa jua ancaman dan cabaran sekalipun, saya dan kepimpinan kementerian akan terus memastikan keselamatan Sabah tidak dikompromi dan kedaulatan negara tidak sewenang-wenangnya dinodai,’ katanya lagi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respon terhadap laporan yang dibuat oleh sebuah agensi berita antarabangsa yang memetik sumber yang mendakwa satu mesyuarat telah berlangsung pada 1 Disember lepas di selatan Filipina bagi membincangkan satu rancangan untuk menghantar perisik serta 600 militan bagi menawan negeri Sabah.

Mesyuarat itu, yang dikatakan membabitkan 19 orang Datuk Bandar dari selatan Filipina, kononnya telah mempersetujui langkah untuk melancarkan pencerobohan pada Febuari 2022 sempena memperingati peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 yang menyaksikan 72 orang terbunuh.

Jangan panik

Sementara itu, Panglima ATM Affendi Buang turut menggesa warga Sabah supaya tidak menjadi panik dengan maklumat yang masih belum sahih bagi mengekalkan ketenteraman awam.

"ATM sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan mempertahankan keselamatan negara adalah keutamaan kami.

"Sehingga hari ini, risikan dan operasi tidak menunjukkan sebarang bukti mengenai ancaman berkenaan," kata beliau.

"Walaubagaimanapun, ATM akan terus berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang ancaman dan mempertahankan kedaulatan negara," kata Affendi dalam satu kenyataan berasingan.

Tegas beliau, pasukan keselamatan mengambil serius sebarang isu yang boleh merisikokan kedaulatan negara dan mengancam hubungan Malaysia dengan negara lain dalam rantau itu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani juga menyatakan bahawa para pegawai dan anggota polis telah diarah mempertingkatkan keadaan berjaga-jaga susulan laporan berita itu.

"Kami memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman pencerobohan. Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah," kata Acryl dalam satu kenyataan pada lewat malam Khamis.

"Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas," tambah beliau.

Ambil langkah berjaga-jaga

Ramli Dollah, seorang penganalisis keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah berkata walaupun rancangan pencerobohan itu kedengaran seperti sesuatu yang tidak mempunyai kemungkinan tinggi, pasukan keselamatan Malaysia tetap perlu mengambil lebih langkah untuk berjaga-jaga.
"Selalunya, isu sebegini akan timbul apabila pilihan raya di Filipina semakin hampir. Ia hampir serupa dengan apa yang berlaku pada pilihan raya lepas.

"Kalau awak tanya saya apakah kemungkinan perkara ini berlaku, saya akan katakan tiada. Akan tetapi, ia juga bukanlah mustahil," kata beliau kepada BenarNews.

Ramli merujuk kepada musim pilihan raya yang semakin hampir di kedua-dua negara Malaysia dan Filipina.

Bagi menerangkan mengenai betapa rendah kemungkinan serangan berlaku, Ramli berkata ia adalah kerana para penduduk serantau, serta di seluruh dunia secara amnya, masih hidup dalam ketakutan terhadap ancaman pandemik COVID-19 terutama sekali dengan adanya varian baharu Omicron pada masa ini.

"Tambahan pula, Royal Sulu Force [RSF - kumpulan yang terlibat dalam pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013] patut belajar daripada apa yang berlaku sewaktu pencerobohan Lahad Datu dahulu, di mana mereka tidak betul-betul bersedia untuk menghadapi peperangan dengan kerajaan Malaysia. Harga yang mereka perlu bayar teramat tinggi," tambah beliau.

Sebarang cubaan serupa pada masa kini juga tidak akan mendapat sokongan dari rakyat Sabah, termasuk ahli keluarga serta mereka yang mempunyai talian etnik dengan penceroboh, tambah Ramli.

"Insiden Lahad Datu adalah satu pengajaran yang baik buat orang Tausug dan Bajau, atau komuniti imigran Filipina di Sabah, kerana mereka terpaksa menghadapi cacian dan kejian, selain ditangkap dan dihantar pulang ekoran kejadian pertempuran tersebut.

"Saya tidak rasakan bahawa mereka mahu tragedi itu berulang," kata beliau.

Ramli berpendapat bahawa kumpulan di Selatan Filipina itu mungkin berasa marah dengan kerajaan Malaysia kerana ia memberikan sokongan kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sebuah organisasi militan yang berpusat di Mindanao, Filipina dan bukannya menyokong Barisan Pembebasan Nasional Moro yang merupakan organisasi politik yang mempunyai ramai pengikut di wilayah Sulu.

Isu kedaulatan negeri Sabah telah menjadi satu pertikaian yang berpanjangan antara Malaysia dengan Filipina.

Untuk rekod, peristiwa pencerobohan yang berlaku pada 2013 itu bermula pada 11 Febuari apabila sejumlah 235 militan termasuk sebahagian yang lengkap bersenjata api mendarat di Lahad Datu bagi menuntut Sabah.

Pertembungan antara kumpulan militan berkenaan dengan pasukan keselamatan Malaysia telah berlangsung lebih sebulan, sebelum ia berakhir pada 23 Mac, 2013.

Seramai 56 orang penceroboh dari Sulu, 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia, dan enam orang awam telah terbunuh. Insiden itu telah membawa kepada penubuhan ESSCOM sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan di perairan Sabah.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.