Bekas Menteri Termuda Malaysia Daftar Parti Politik Baharu Tarik Minat Golongan Belia

Muzliza Mustafa & Nisha David
2020.09.17
Kuala Lumpur, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
200917-MY-SyedSaddiq.jpg Bekas Menteri Kabinet Syed Saddiq Abdul Rahman dan penyokongnya mengemukakan permohonan mendaftar parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Ibupejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di Putrajaya, 17 September 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang Ahli Parlimen berusia 28 tahun, yang juga bekas menteri termuda dalam sejarah Malaysia mengumumkan bahawa beliau telahpun mengemuka permohonan mendaftar sebuah parti baharu yang berasaskan generasi muda dan belia, di sebuah negara yang kebanyakkan pemimpin ulungnya berusia 60 tahun ke atas.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Ibupejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mengemukakan borang pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Putrajaya pada Khamis selepas beliau ditemubual sebuah stesen radio tempatan mengenai penubuhan parti baharunya itu.

“Saya akan ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftar MUDA sebagai parti politik yang akan dipimpin oleh anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi parti politik pertama Malaysia diterajui golong belia yang berbilang kaum dan agama untuk memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tua, muda, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,” kata Ahli Parlimen Muar dari Johor semasa siaran langsung di stesen radio tersebut, sebelum ke pejabat RoS.

Selepas mengemukakan borang pendaftaran, Syed Saddiq mencatatkan status di laman Twitternya dengan menulis '#MUDAsudahMULA' yang mendapat pelbagai reaksi daripada golongan muda di Malaysia.

Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata MUDA boleh disertai oleh pelbagai kaum di Malaysia dan tiada had umur ditetapkan namun begitu majoriti barisan hadapannya adalah terdiri dari golongan muda pelbagai latarbelakang.

"MUDA juga akan mewakili semua lapisan masyarakat tanpa mengira faktor umur, agama, bangsa, fahaman, ideologi, idealism dengan perjuangannya yang inklusif bagi semua.

“MUDA juga memberi fokus lebih terhadap polisi dan jalan penyelesaian terhadap masalah negara dengan tidak terkongkong oleh politik tua dan lama yang akhirnya sukar membawa negara maju kehadapan,” tambah beliau.

Pemimpin muda itu telah dipecat daripada partinya, BERSATU bersama beberapa anggota Parlimen lain termasuk bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz selepas berlaku kemelut politik negara pada akhir Februari sehingga membawa kepada penukaran kepimpinan di Putrajaya daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

Syed Saddiq juga mengesahkan yang parti baharunya itu turut merancang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang tetapi katanya masih terlalu awal bagi MUDA untuk membuat keputusan sama ada patut menyertai mana-mana gabungan parti politik sedia ada.

“Bila kami buktikan diri kami dahulu, masa itu baharulah kami akan berunding,” tambah Syed Saddiq.

Berdasarkan kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama tahun ini, jumlah penduduk yang dikategorikan sebagai golongan belia iaitu berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah dianggarkan seramai 9.2 juta yang mewakili 27.8 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk di Malaysia.

Tidak akan berjaya

Sebelum ini, Mahathir yang juga merupakan mentor kepada Syed Saddiq menyifatkan parti berasaskan orang muda yang akan digerakkan oleh anak didiknya itu tidak akan berjaya.

Bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu baru-baru ini berkata, walaupun orang muda adalah majoriti pada pilihan raya, namun faktor itu tidak cukup untuk memenangi sesuatu kerusi.

"Tidak cukup untuk menang hanya semata-mata dapat sokongan belia… Agak sukar untuk mereka berjaya, tetapi Malaysia negara bebas dan dia (Syed Saddiq) mahu lakukan bersendirian," kata Ahli Parlimen Langkawi seperti dipetik akhbar tempatan Berita Harian.

Menurut laporan itu, Mahathir menyatakan tidak mengetahui apakah tujuan sebenar Syed Saddiq untuk menubuhkan parti baharu bagi golongan muda.

Sebelum ini Syed Saddiq mengesahkan tidak menyertai Mahathir bersama parti baharu pimpinan bekas perdana menteri itu yang dikenali sebagai PERJUANG sebaliknya akan menubuhkan parti berasaskan orang muda berbilang kaum.

Mahathir baru-baru ini menubuhkan parti PERJUANG bersama empat lagi yang digugurkan keahlian daripada BERSATU yang antara lain memberi fokus menangani rasuah.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sivamurugan Pandian berkata parti MUDA itu boleh menarik minat generasi muda untuk menyertainya jika halatuju parti itu berbeza serta jelas berbanding dengan parti sedia ada.

"Jika MUDA bergabung dengan pemimpin lama yang wajar dijadikan contoh, ia juga boleh menjadi tarikan kerana parti MUDA tidak semestinya menolak golongan lama, selain turun kebawah dan menarik minat orang kebanyakan," katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung pula berpendapat undi orang muda kemungkinan akan pecah semasa pilihanraya umum akan datang dan beliau perlu mendapat sokongan remaja 18 tahun yang layak mengundi jika mahu berjaya.

“Sekiranya parti orang muda ini berdiri sendiri, ia tidak akan memberi impak yang besar kerana dalam pilihan raya mereka perlu memenangi hati segenap lapisan masyarakat bukan semata-mata orang muda,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.