Polis Malaysia siasat kaitan insiden lain dengan serangan maut di balai
2024.05.20
Kuala Lumpur
Polis Malaysia sedang menyiasat sama ada terdapat kaitan antara empat insiden baru-baru ini yang mengancam institusi awam dan pegawai kerajaan sejak tiga hari lepas, salah satu daripadanya membawa maut, kata menteri dalam negeri pada Isnin.
Insiden pada awal pagi Jumaat melibatkan dua anggota polis maut selepas diserang oleh seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah balai polis di Johor dikuti pada petangnya dengan dua lelaki bersenjatakan parang pula cuba memasuki Istana Negara di Kuala Lumpur.
Pada Sabtu, seorang ahli parlimen kerajaan menerima ugutan bunuh dengan peluru diisi di dalam peti surat di kediamannya manakala pada Ahad di Pulau Pinang, seorang lelaki yang kemudiannya disahkan mabuk, cuba merampas senjata api seorang pengawal balai polis.
"Polis sedang memantau keselamatan dan ketenteram dalam negara pada tahap tertinggi susulan beberapa insiden serangan melibatkan institusi penting negara.
“Polis kini sedang menyiasat sama ada setiap kes berkenaan berkaitan antara satu sama lain.” kata Saifudddin Nasution Ismail kepada pemberita di Putrajaya pada Isnin.
“Adalah penting dalam siasatan polis untuk tentukan (insiden) adalah tindakan rambang atau sebahagian rancangan terkoordinasi, sama ada dilakukan individu atau kumpulan,”
Walaupun tiada sebarang maklumat menunjukkan suspek berumur 21 tahun dan ditembak mati dalam kejadian itu adalah ahli JI, rekod polis menunjukkan bahawa bapanya adalah bekas anggota kumpulan pengganas itu.
Tidak sampai 24 jam kes di Johor, dua lelaki pada hari yang sama cuba menceroboh Istana Negara di Kuala Lumpur.
Pihak berkuasa menjumpai sebilah parang bersama mereka dalam kejadian 4.40 petang itu.
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerima sekeping nota ugutan bunuh bersama dua butir peluru yang dimasukkan ke dalam peti surat rumahnya.
Pada awal pagi Ahad, seorang lelaki pula ditahan pihak polis ketika cuba merampas senjata api milik polis yang bertugas di Balai Polis Dato’ Keramat di George Town, Pulau Pinang.
Saifuddin Nasution berkata buat masa ini siasatan menunjukkan serangan di Johor bersifat sendirian atau 'lone wolf' manakala elemen mabuk menjadi motif kejadian di Pulau Pinang.
"Jadi ada kes yang kita syak sebagai mental pun ada tetapi terlalu awal jadi biar pihak polis membuktikan (kes) semua dahulu. Adalah penting setiap siasatan tanpa sebarang andaian dan spekulasi," katanya lagi.
Ketua Polis Negara Razarudin Hussain dalam kenyataan terbaru pada hujung minggu berkata suspek berusia 21 tahun yang membunuh dua anggota polis bukan ahli Jemaah Islamiyah meskipun bapanya bekas ahli kumpulan tersebut.
Jemaah Islamiyah ialah satu kumpulan pengganas terkait dengan Al-Qaeda. Kumpulan itu terbabit dalam serangan bom di Bali, Indonesia pada 2002 yang membunuh kira-kira 200 orang dan mencederakan lebih 200 lagi.
Dalam kes serangan di Johor itu, polis telah menahan reman tujuh individu termasuk lima keluarga suspek bagi membantu siasatan.
Serangan tersebut berlaku 15 tahun selepas kematian warga Malaysia, Noordin Mohammad Top yang menjadi strategis kumpulan berkenaan mati dalam serbuan unit anti-keganasan Indonesia di Jawa Tengah pada 2009.
Susulan serangan tersebut, Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura memantau perkembangan keselamatan serantau dan global.
Menurut satu kenyataan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura telah berhubung dengan pasukan di Malaysia mengenai serangan itu.
"Memandangkan situasi ancaman yang semakin memuncak, dan polis Malaysia sedang mencari beberapa anggota Jemaah Islamiyah yang lain, kami telah meningkatkan langkah keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaan kami.
"Langkah-langkah ini termasuk meningkatkan rondaan dan meningkatkan pemeriksaan ke atas pelawat dan pengangkutan. Pelawat wajar menjangkakan kelewatan di pusat pemeriksaan kerana pemeriksaan yang dipertingkatkan dan mengambil kira masa tambahan yang diperlukan untuk pelepasan imigresen," kata kenyataan itu pada Ahad.
Singapura turut pernah berdepan dengan ancaman keganasan kumpulan Jemaah Islamiyah membabitkan seorang warga Singapura kelahiran Indonesia, Mas Selamat Kastari yang terlepas daripada penjara republik itu pada 2008.
Tiru perlakuan jenayah
Pakar krimonologi, Haezreena Begum Abd Hamid daripada Universiti Malaya berkata, aspek mental kesemua pelaku dalam insiden-insiden itu perlu diambil perhatian.
"Kita kena kaji sejarah dan latar belakang suspek. Adakah perlakuannya berdasarkan niat jahat semata-mata atau cuba meniru perlakuan jenayah di Ulu Tiram sebelum ini? Ini kita tak tahu.
"Mungkin mereka sengaja mahu menyebabkan cemas dan provokasi kepada polis dan masyarakat, jadi banyak persepsi di sini," katanya kepada BenarNews.
Ujarnya, perlakuan jenayah mampu ditiru dan tersebar berdasarkan kajian sebelum ini.
Katanya, wujud pertalian antara jenayah ganas di satu-satu kejiranan dan kecenderungan mendapatkan peluang untuk terlibat dalam jenayah-jenayah ganas.
“Bagaimanapun, dalam kes Ulu Tiram ini serta kes-kes selepas itu, motifnya masih dalam siasatan dan kita tidak boleh mengandaikan yang pelaku hendak meniru apa-apa pelakuan jenayah. Apa yang perlu dikaji adalah kecenderungan melakukan jenayah sekiranya terdapat peluang berbuat demikian.
"Jika kita andaikan jenayah-jenayah selepas Ulu Tiram bertujuan menakutkan pihak berkuasa dan negara, penting untuk kita faham sebab di sebalik semua ini dan memberi respons tanpa mencipta ketakutan dan panik," katanya.
Tambah Haezreena, penjenayah oportunis tidak bercadang melakukan perbuatan itu namun akan melakukannya apabila peluang tersedia.
"Mungkin ada perasaan dendam, marah dan tidak berpuas hati kepada pihak berkuasa. Tiada masa yang lebih baik untuk bertindak berdasarkan perasaan-perasaan itu ketika mana emosi sedang memuncak dan orang ramai rasa tidak selamat."
Benci keganasan
Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan jenazah suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram perlu dikebumikan berjauhan daripada kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perbuatan sedemikian,
"Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan oleh suspek lebih-lebih lagi membunuh pegawai yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek," menurut kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid pada Isnin.
Jenazah suspek dikebumikan di Pusara Islam Sungai Tiram, berhampiran rumah keluarganya di Kampung Sungai Tiram dalam keadaan jauh daripada kubur-kubur yang lain pada tengah hari Isnin.
Upacara pengebumian tersebut dikawal ketat anggota polis dan semua pihak termasuk media tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan itu dengan pintu utamanya ditutup serta dikawal anggota keselamatan.