Malaysia: Junta Myanmar Perlu Lebih Terbuka Kepada Cadangan ASEAN

Nani Yusof
2022.05.16
Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia: Junta Myanmar Perlu Lebih Terbuka Kepada Cadangan ASEAN Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah menjawab soalan wartawan semasa sidang media di Hotel Willard InterContinental di Washington, 14 Mei 2022.
[RFA]

Junta Myanmar perlu melakukan lebih banyak lagi untuk membantu ASEAN menyalurkan bantuan kemanusiaan di seluruh negara yang dilanda pergolakan itu, kata diplomat tertinggi Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan menteri luar pembangkang Myanmar di Washington.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah memberitahu pemberita demikian di sini pada Sabtu selepas pertemuan pertamanya dengan Zin Mar Aung, rakan sejawatannya daripada kerajaan "bayangan" pembangkang Myanmar, yang terdiri daripada pemimpin pilihan rakyat yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

"Saya fikir junta harus lebih terbuka kepada cadangan-cadangan ASEAN terutamanya dalam situasi semasa bagi membolehkan agihan bantuan kemanusiaan dilakukan," kata Saifuddin pada sidang media itu.

“Kita perlu telus. Kita ingin memastikan apa sahaja yang disalurkan dapat sampai kepada kumpulan sasaran sebenar. Apa yang kita tidak mahu adalah bantuan kemanusiaan yang dijadikan senjata oleh junta dan digunakan dengan cara tertentu yang sangat diskriminasi sehinggakan hanya orang tertentu yang menerima bantuan itu."

Kedua-dua diplomat itu bertemu di sebuah hotel berhampiran White House, sehari selepas pemimpin Malaysia dan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara lain bertemu dengan Presiden Joe Biden dan pegawai-pegawai kanan AS pada Sidang Kemuncak khas AS-ASEAN di sini.

Saifuddin menyifatkan perbincangannya dengan Zin Mar Aung sebagai perbincangan "dari hati ke hati" yang banyak memberi tumpuan kepada cara menambah baik pengagihan bantuan kemanusiaan di Myanmar.

Zin Mar Aung, yang mewakili Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar di pentas dunia, kemudian memaklumkan dalam satu catatan Twitter mengenai pertemuannya dengan Saifuddin.

"Mengadakan pertemuan yang produktif dengan Menteri Luar Malaysia @saifuddinabd mengenai situasi yang teruk di Myanmar, dan bagaimana NUG dan Malaysia boleh bekerjasama untuk memulihkan keamanan dan demokrasi di Myanmar, termasuk bantuan kemanusiaan dan sokongan untuk pelarian Myanmar," menurut catatannya di Twitter pada Ahad.

Semasa lawatannya ke Washington, Zin Mar Aung turut bertemu dengan Wendy Sherman, pegawai kanan Jabatan Negara AS yang memainkan peranan penting dalam Sidang Kemuncak AS-ASEAN, di luar mesyuarat itu.

Dalam kalangan rakan sejawatannya di ASEAN, Saifuddin yang paling banyak membuat gesaan agar badan serantau Asia Tenggara itu mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Kerajaan Perpaduan Negara.

Kerajaan tentera Myanmar, dalam pada itu, telah mengecam laporan mengenai perbincangan yang diadakan di antara Jabatan Negara dan pegawai NUG di Washington serta menghantar nota bantahan kepada semua negara ASEAN dan Amerika Syarikat bagi meminta mereka supaya tidak berbincang dengan kerajaan bayangan, lapor Reuters pada Sabtu. Ia memetik kenyataan daripada kementerian luar yang dilantik oleh junta Myanmar.

Dalam pertemuan mereka, Saifuddin dan Zin Mar Aung turut membincangkan kemungkinan Malaysia membenarkan NUG membuka pejabat di Kuala Lumpur, kata Saifuddin sambil menjelaskan bahawa idea itu masih belum dibincangkan secara terperinci.

Memandangkan peranan NUG yang menonjol di Myanmar, kerajaan pembangkang boleh memainkan peranan penting dalam membantu menyalurkan dan mengagihkan bantuan kemanusiaan, kata Saifuddin.

“[Kami] mempunyai pemahaman yang sama bahawa bantuan kemanusiaan mesti disalurkan dengan cara tertentu yang telus. Kita tidak boleh membiarkan hanya pihak junta yang melakukan bantuan kemanusiaan itu,” kata Saifuddin kepada pemberita.

“Cadangan Malaysia ialah ia mestilah mewakili organisasi antarabangsa yang kukuh, dan cara terbaik ialah mempunyai organisasi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.”

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB sudah pun berada di Myanmar namun, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan, kata Saifuddin. Malaysia mencadangkan agar setiap negara anggota ASEAN menawarkan satu NGO untuk membantu menyampaikan bantuan kepada rakyat Myanmar, tambahnya lagi.

Tindakan keras dan kejam

Menurut kumpulan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 1,800 orang awam telah terbunuh semasa tindakan keras terhadap penentang rampasan kuasa yang diketuai oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, ketua junta, yang telah dilarang daripada menghadiri sidang kemuncak di Washington.

ASEAN dikritik hebat kerana gagal melaksanakan konsensus lima perkara yang disepakati oleh pemimpin badan serantau itu dan ketua junta pada sidang kemuncak tergempar di Jakarta pada April 2021.

Sejak itu, junta Myanmar enggan membenarkan utusan khas ASEAN bertemu dengan pegawai-pegawai NUG semasa lawatannya ke negara itu, yang merupakan satu daripada perkara yang terkandung dalam konsensus berkenaan.

Pada sidang akhbar itu, seorang wartawan bertanya kepada Saifuddin sama ada terdapat syarat bagi ASEAN untuk mengadakan rundingan tidak rasmi dengan NUG.

"Saya rasa syarat-syaratnya sudah pun ada di sini," katanya. “Kami katakan sekarang [kerana] selepas satu tahun, tiada apa pun yang digerakkan. Oleh kerana tiada apa pun yang digerakkan, akibatnya lebih ramai orang terbunuh, lebih ramai orang [telah] melarikan diri dari negara itu.”

"Kita tidak boleh menunggu satu tahun lagi, jadi kita perlulah kreatif," kata Saifuddin. "Dan, inilah sebabnya kita kata, lihat, kita sudah setahun berbincang dengan junta dan nampaknya tiada apa pun yang bergerak, jadi sudah tiba masanya kita berbincang pula dengan NUG walaupun ia secara tidak rasmi."

Perkhidmatan Myanmar Radio Free Asia menyumbang kepada laporan ini. RFA ialah perkhidmatan berita dalam talian yang bergabung dengan BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh