Parti Pembangkang Malaysia Saman Perdana Menteri
2015.08.12

Krisis politik Najib Razak kini semakin meruncing apabila pihak pembangkang memfail saman sivil terhadap Perdana Menteri; manakala sekumpulan penggodam mengancam untuk melancarkan serangan siber besar-besaran sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu memfail saman sivil terhadap Najib di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, dengan menuduh beliau melanggar undang-undang pilihanraya Malaysia atas kesalahan menerima sumbangan derma haram yang melebihi had.
Saman itu turut menuntut diadakan pilihanraya baru.
“Saman ini adalah tindakan lanjut daripada pendedahan akhbar The Wall Street Journal berkenaan wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib bagi kegunaan kempen Pilihanraya Umum Ke-13 lalu yang diakui sebagai ‘wang derma’,” kata Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR.
"Jika ‘derma’ tersebut telah secara keseluruhannya digunakan bagi tujuan pilihanraya, ia tentu sekali telah melanggar peraturan pilihanraya, dan terdedah kepada pelbagai rasuah serta taktik korup yang digunakan oleh parti UMNO dan Barisan Nasional," katanya yang juga anak pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim.
Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu adalah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansor dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib, mempunyai hutang lebih daripada RM41.5 bilion (AS$11 bilion), sedang disiasat kerana rasuah dan salah urus kewangan.
Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan itu adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.
Sebulan selepas laporan akhbar itu diterbitkan, agensi anti-rasuah nasional Malaysia berkata, hasil siasatan mendapati wang di dalam akaun Najib adalah sumbangan daripada penderma dari Timur Tengah, dan bukannya daripada 1MDB.
Bagaimanapun, badan itu tidak mendedahkan identiti penderma dari Timur Tengah itu.
Belum terima saman
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan, ternyata RM2.6 bilion yang digunakan itu melebihi 26 kali ganda had yang dibenarkan dari segi undang-undang di Malaysia.
Tambah beliau, Seksyen 19 Akta Pilihanraya 1954 hanya membenarkan perbelanjaan sehingga RM200,000 bagi calon Parlimen dan RM100,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pada itu, pemimpin UMNO dan pegawai SPR ketika dihubungi BeritaBenar berkata, mereka masih belum menerima surat saman berkenaan dan hanya akan mengulas selepas menerimanya.
"UMNO akan menyerahkan kepada peguam untuk menentukan tindakan selanjutnya apabila menerima surat saman itu nanti," kata Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansor kepada BeritaBenar dan tambah beliau, Ibu Pejabat parti belum lagi menerima surat saman tersebut.
Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof pula berkata, suruhanjaya itu hanya akan memutuskan tindakan selanjutnya selepas penasihat undang-undang mengkaji saman berkenaan.
Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli akan menganjurkan satu perhimpunan dan solat hajat di Pandan Indah pada Khamis untuk terus memberi tekanan kepada Najib meletakkan jawatan.
Acaman penggodam
Perdana Menteri Malaysia itu juga mendapat tekanan yang sama daripada sebuah kumpulan yang dikenali sebagai ‘Anonymous Malaysia’.
Dalam sebuah video lapan minit yang disiarkan menerusi akaun Youtube World of Buzz, kumpulan berkenaan mahu Najib meletakkan jawatan atau berdepan dengan serangan siber terbesar di Malaysia.
Kumpulan itu tekad untuk melumpuhkan laman-laman web kerajaan Malaysia pada 29 dan 30 Ogos ini.
Dalam satu kenyataan kumpulan itu mendakwa kesemua laman yang menggunakan gov.my dan edu.my bakal menjadi sasaran termasuk laman web milik 1MDB, NajibRazak.com, SPRM dan Polis diRaja Malaysia (PDRM).
Mereka juga mengancam untuk melancarkan serangan terhadap 150 laman web lain dalam tempoh 48 jam jika permintaan mereka ditolak.
Dalam pada itu, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Wilfred Madiius Tangau berkata, kementerian telah mengarahkan semua pihak berkepentingan dalam Infrastruktur Maklumat Kebangsaan Kritikal (CNII) supaya meningkatkan usaha untuk menangani serangan dan ancaman kumpulan berkenaan.
"Kementerian melalui CyberSecurity Malaysia, pusat pakar teknikal keselamatan siber nasional Malaysia dan MIMOS Berhad, agensi pembangunan dan penyelidikan Sains, Teknologi dan Inovasi negara, telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi ancaman itu," katanya.
Sementara itu, CyberSecurtiy Malaysia berkata, mereka telah mendapat kerjasama beberapa pakar siber dalam dan luar negara untuk menangani ancaman itu.
Dalam pada itu, badan bukan kerajaan BERSIH 2.0, menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan penggodam itu.
"BERSIH 2.0 tidak bersetuju dan tidak bertolak ansur dengan serangan ganas, sama ada fizikal atau maya, ke arah sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik," kata Pengerusinya, Maria Chin Abdullah.
Kumpulan pengodam itu mendakwa menyokong perhimpunan Bersih 4 itu dan Maria turut menggesa supaya berhenti menyalahgunakan kempen badan bukan kerajaan itu kerana akan menjejaskan perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos akan datang.
"Kami mengutuk ancaman yang dikeluarkan oleh kumpulan penggodam ini yang telah menyalahgunakan kempen Bersih 4 dalam usaha untuk melanjutkan agenda mereka sendiri," katanya sambil menggesa polis mengambil tindakan segera.