Indikator Perhambaan Hutang Buruh Paksa diluar Kawalan Negara Penerima
2022.05.19
Washington
KEMASKINI pada 4 pagi waktu tempatan ETS - 2022-05-20
Malaysia berkata larangan keatas produk sawit dan getah keluaran negara itu atas kebimbangan amalan buruh paksa adalah tidak adil, terutamanya berkaitan perhambaan hutang kerana larangan tersebut tidak menghukum negara sumber yang kebanyakan pekerja berasal dari Bangladesh.
Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata, sekurang-kurangnya 10 daripada 11 indikasi buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang perlu dipatuhi sudah berjaya dicapai, tetapi indikasi melibatkan perhambaan hutang tidak dapat diselesaikan kerana ia melibatkan negara sumber.
“Adalah tidak adil Malaysia dikenakan hukuman larangan… pihak berkuasa yang mengenakan larangan terhadap barangan keluaran negara kita perlu menghukum negara sumber kerana Malaysia tidak memungut apa-apa daripada pekerja.
“Pekerja asing tidak membayar satu sen pun kepada Malaysia dan kenapa kita dihukum," persoal Saravanan semasa ditemui BenarNews di Washington minggu lepas.
Sejak beberapa tahun ini, pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan import terhadap lebih lima pengeluar produk getah dan pemilik ladang kelapa sawit tempatan atas dakwaan terdapatnya elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.
Perintah Penahanan Perlepasan atau dikenali sebagai WRO oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) melarang negara itu daripada mengimport barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang dikenalpasti mengamalkan amalan buruh paksa seperti yang ditetapkan oleh ILO.
Saravanan yang pada masa itu dalam lawatan kerja ke Washington bagi mengikuti program rasmi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS menambah yang Malaysia tidak wajar dipersalahkan dan dikenakan larangan barangan berhubung isu perhambaan hutang itu kerana ia berlaku di negara sumber dan diluar kawalan negara penerima.
Malaysia katanya sebagai negara penerima telah membawa masuk pekerja asing daripada 14 negara sumber tetapi tidak mendapat sebarang aduan berhubung isu perhambaan hutang kecuali Bangladesh.
“Kita sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan apa yang berlaku di negara sumber, sebaliknya menjadi mangsa penilaian antarabangsa, ini tidak adil bagi kita,” katanya lagi.
Menteri itu menambah yang Putrajaya sedang berusaha untuk menangani isu perhambaan hutang melalui kebenaran bagi 25 agensi untuk membekal tenaga pekerja asing Bangladesh berbanding sepuluh buah agensi antara tahun 2016 dan 2018.
“Kami boleh memantaunya isu perhambaan hutang dengan lebih baik berbanding tahun 2016 di mana kami perlu berurusan dengan lebih 1,500 agensi pengambilan di Bangladesh dan kini kami hanya mempunyai 25 agensi, ini bermakna ada pemantauan yang lebih baik dari pihak kami, dan juga boleh menjalankan siasatan agensi mana yang mengamalkan perhambaan hutang,” tambah Saravanan lagi.
Pada 19 Disember lepas, Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memansuhkan pembekuan pengambilan pekerja Bangladesh baharu yang dilaksanakan sejak September 2018, tetapi butiran MoU itu tidak didedahkan kepada umum.
Saravanan semasa ditanya berkata, MoU yang ditandatangani itu bukanlah satu kontrak sebaliknya perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan – Malaysia dan Bangladesh - berhubung pembekalan tenaga kerja.
“Dalam MOU itu, apa yang kami nyatakan adalah mengenai sistem apa dan saluran bagaimana yang mahu digunakan. Manakala butiran lanjut mengenai pengambilan atau pekerjaan ditandatangani antara majikan dan agensi pengambilan. Kami tidak tahu apa yang telah dipersetujui,” katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Bangladesh berkata isu perhambaan hutang tidak dibincangkan secara eksplisit dalam MoU perjanjian untuk memulakan semula pengambilan pekerja Bangladesh di Malaysia, tetapi peruntukan utama dimasukkan yang dibuat adalah untuk mengurangkan penggunaan orang tengah dalam pengambilan.
“Isu perhambaan hutang tidak disebut dalam MoU secara langsung semasa perjanjian itu dimeterai antara kedua-dua negara. Tetapi kami memasukkan beberapa isu iaitu untuk menghentikan budaya menghantar pekerja asing melalui orang tengah; ia akan membantu mereka daripada terjebak dalam perhambaan hutang tersebut,” kata Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmad kepada BenarNews pada Khamis.
Untuk rekod, sebelas indikasi ILO adalah penyalahgunaan mereka yang lemah, penyimpanan dokumen pengenalan diri, kawalan pergerakan, kerja lebih masa yang melampau, keadaan kerja dan tempat tinggal yang mendera, penipuan, isolasi, perhambaan hutang, penahanan gaji, keganasan fizikal dan seksual, dan intimidasi.
Pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia membabitkan kos tertentu seperti levi, perbelanjaan praperjalanan, perjalanan dan penempatan sementara, dengan mereka juga 'diikat' oleh majikan melalui ikatan atau bon hutang untuk membayar semula kos berkenaan dengan potongan gaji atau upah.
Jumlah levi dan perbelanjaan berkaitan perlu mengikut jumlah ditetapkan kerajaan bagi mengelak berlakunya potensi amalan buruh paksa.
Rakyat Malaysia secara amnya agak keberatan untuk mengisi jawatan bagi pekerjaan dalam kategori 3D (kotor, bahaya, sukar) yang menyebabkan monopoli oleh pekerja asing dalam sektor tertentu.
Kebanyakan pekerja asing yang bekerja di Malaysia dalam sektor berintensif buruh adalah dalam pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan pembantu rumah.
Semasa di Washington, Saravanan mengadakan pertemuan dengan Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan CBP, AnnMarie Highsmith dan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa, Jabatan Buruh Amerika Syarikat, Thea Lee, di mana menurut Menteri itu, kedua-dua agensi tersebut bersedia meneruskan kerjasama strategik dengan Malaysia untuk membanteras buruh paksa menerusi penubuhan jawatankuasa kerja yang akan bertemu setiap tiga bulan dengan memberikan fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa termasuk berkongsi kepakaran dalam aspek perpindahan teknologi, bina upaya dan program perantis.
Muzliza Mustafa, Nisha David di Kuala Lumpur dan Jesmin Papri di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.