Sarawak Mulakan Tuntutan Penurunan Kuasa

Dennis Wong
2016.07.05
Kuching, Sarawak
160705-my-sarawak620 Perdana Menteri Najib Razak (kiri) bersama Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem semasa pertemuan lebih dua jam membincangkan mengenai tuntutan penurunan kuasa di Sarawak kuasa daripada kerajaan persekutuan Malaysia di Putrajaya, 4 Julai 2016.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem dilihat telah memulakan rundingan dengan Perdana Menteri di Putrajaya berkaitan tuntutan penurunan kuasa serta beberapa perkara lain termasuk pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri dan permohonan royalti minyak dan gas.

Pertemuan dengan Najib Razak diadakan di Putrajaya pada Isnin, dengan kedua-dua pemimpin itu mengeluarkan satu kenyataan bersama, selepas perjumpaan itu diadakan.

Bagaimanapun pejabat Ketua Menteri Sarawak pula berkata, satu kenyataan rasmi berhubung maklumat pertemuan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Kenyataan bersama tiga perenggan yang dikeluarkan itu antara lain menyebut “satu perbincangan telah diadakan di antara kedua-dua pemimpin dalam membincangkan berkenaan penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembangaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold”

“Perbincangan itu bertujuan memperkukuhkan tadbir urus kerajaan negeri Sarawak dalam mendukung semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai salah sebuah negeri yang aman dan makmur di dalam Malaysia,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan bersama itu juga berkata, memorandum tentang pendirian kerajaan negeri juga telah disampaikan kepada Perdana Menteri pada pertemuan itu dengan mengambil maklum bahawa beberapa perkara tadbir urus memerlukan perbincangan teknikal lanjut antara kedua-dua pihak.

“Adalah dipersetujui oleh Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pada satu mesyuarat teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada Ahad, pejabat Ketua Menteri itu telah mengeluarkan kenyataan yang antara lain berkata, semasa pertemuan itu, Adenan akan menyerahkan dua memorandum kepada Najib termasuk senarai 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan pada 21 Januari lepas, mengenai tuntutan penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri.

Rundingan itu melibatkan tiga fasa di mana fasa pertama rundingan penurunan kuasa melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan,  rundingan fasa kedua akan menyentuh tentang hak negeri itu (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas.

Berbanding dengan Semenanjung Malaysia, Sarawak menikmati kuasa autonomi dalam pentadbiran, imigresen dan perkara-perkara kehakiman, termasuk mengawal kemasukan dan kediaman terhadap mereka yang bukan penduduk Sarawak.

Kuasa autonomi


Kuasa autonomi yang diberikan kepada negeri itu adalah sebahagian daripada perjanjian tertulis dalam Perjanjian Malaysia 1963, yang antara lain menyatakan bahawa Sarawak adalah rakan saksama dengan Tanah Melayu (Semenanjung Tanah Melayu), apabila ia bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Rakyat Sarawak mahu kerajaan Malaysia memberikan bahagian yang lebih besar terutamanya kutipan hasil daripada sumber semulajadi dan permintaan terbesar adalah peningkatan daripada lima peratus kepada 20 peratus royalti daripada pengeluaran minyak dan gas negeri itu.

Najib, yang mengetuai BN semasa kempen pilihan raya negeri pada Mei lepas telah menolak permintaan berkenaan dengan berkata "ia bukan masa yang sesuai untuk meneruskan rundingan kerana hasil kerajaan telah merosot disebabkan oleh kejatuhan mendadak harga minyak dan gas."

Pertemuan Najib dan Adenan di pusat pentadbiran negara, Putrajaya itu menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan perbincangan teknikal selanjutnya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing dan beberapa pemimpin negeri yang dihubungi BeritaBenar bagaimanapun enggan memberitahu mengenai perbincangan kedua pemimpin itu, sambil menambah yang mereka tidak mengetahui mengenainya sama sekali.

Sementara itu, rakyat Sarawak memberi reaksi umum berhubung pertemuan kedua-dua pemimpin itu yang mana gambar mereka telah dimuat naik di laman Facebook rasmi pada Isnin.

Pergerakan "Sarawak untuk rakyat Sarawak", sebuah kumpulan yang giat mahu memisahkan Sarawak dari Malaysia percaya langkah yang diambil Adenan itu merupakan yang terbaik dalam mendengar suara rakyat negeri itu.

Pengasas pergerakan itu Peter John Jaban semasa dihubungi BeritaBenar percaya Ketua Menteri berusia 72 tahun akan membawa negeri berkenaan lebih dekat ke arah memiliki kuasa autonominya sendiri.

"Kami percaya kepadanya," kata Peter, yang juga DJ Radio Free Sarawak dan pejuang hak asasi manusia, kepada BeritaBenar.

Dr Faisal Hazis, dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Adenan perlu memberi tekanan kepada Najib jika mahu tuntutan penurunan kuasa serta tuntutan lain di perolehi.

"Isu ‘autonomi’ adalah salah satu isu utama semasa kempen pilihan raya lalu, Adenan perlu memastikan bahawa janji beliau dapat ditunaikan," katanya kepada BeritaBenar.

Walau bagaimanapun, ahli perniagaan Sarawak, Dylan Tan, agak ragu-ragu dengan pentadbiran Putrajaya dan percaya Najib dan kepimpinannya akan cuba mengheret atau melambatkan segala keputusan berkaitan perkara berkenaan.

"Adenan perlu segera memberi tekanan lebih tegas kerana beliau hanya mempunyai satu penggal untuk memastikan apa yang dijanjikan ditepati, manakala Najib pula sedang menghadapi cabaran politik yang sukar yang mungkin akan menenggelamkan aspirasi rakyat Sarawak," katanya kepada BeritaBenar.

Adenan pada Mei lepas telah memenangi pilihan raya negeri itu dengan 72 daripada 82 kerusi menjadi milik Barisan Nasional, gabungan parti yang memerintah Malaysia.

Beliau mengambil alih jawatan pada 2014 daripada Abdul Taib Mahmud yang memegang jawatan berkenaan selama 33 tahun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.