Singapura Akan Gantung Lelaki Dari Sarawak 20 Mei Ini: Keluarga

Dennis Wong
2016.05.13
Kuching, Sarawak
160513-my-sarawak-execution620 Kho Jabing dari Sarawak, Malaysia akan dihukum mati pada 20 Mei selepas panel kehakiman di Mahkamah Agung Singapura (dalam gambar) mengekalkan sabitan beliau, 29 Mac, 2015.
AFP

Kerajaan negeri Sarawak di Malaysia Timur telah kehabisan usaha untuk menyelamatkan seorang lelaki tempatan daripada hukuman gantung yang akan dilaksanakan Singapura minggu depan kerana kesalahan membunuh, kata Ketua Menteri Adenan Satem kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Tarikh perlaksanaan hukuman terhadap Kho Jabing, 32, telah ditetapkan pada 20 Mei namun, pegawai-pegawai Sarawak tidak dapat memujuk pihak berkuasa Singapura untuk memberikan pengampunan kepada lelaki itu yang berasal dari Ulu Baram kerana membunuh seorang pekerja pembinaan di bandar raya itu lapan tahun lalu, kata beliau.

"Kami telah menghantar wakil untuk merayu mendapatkan hukuman ringan dan menulis surat kepada pihak berkuasa Singapura, tetapi kami gagal mengubah keputusan mereka," katanya kepada BeritaBenar.

Keluarga Kho menerima surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura pada Khamis yang memaklumkan bahawa pelaksanaan hukuman itu dijadual berlangsung Jumaat depan.

"Saya tidak percaya mereka akan menggantung abang saya pada hari ulang tahun kelahiran saya," kata adik Kho, Jumai, yang berusia 27 tahun, kepada BeritaBenar.

Pada  2010, Mahkamah Tinggi Singapura mendapati Kho bersalah menggunakan dahan pokok untuk membunuh pekerja pembinaan, Cao Ruyin, semasa cubaan rompakan pada 2008.

Sejak itu, keluarga Kho meminta kerajaan negeri Sarawak supaya membuat rayuan kepada pihak berkuasa Singapura untuk menukar hukuman mati kepada hukuma penjara seumur hidup.

Jumai dan ibunya dijangka berlepas ke Singapura pada Sabtu, dengan harapan mereka boleh memujuk kerajaan Singapura untuk menukar hukuman mati yang dihadapi Jabing.

"Saya masih berharap beberapa keajaiban akan muncul dalam keluarga kami. Apa yang kami minta adalah hukuman penjara seumur hidup supaya kami sekurang-kurangnya dapat bertemu dengannya selalu. Saya tidak mahu membawa abang saya pulang ke rumah di dalam keranda," kata Jumai.

Kho dijadual menjalani hukuman gantungnya pada 6 November, 2015, tetapi menerima penangguhan hukuman itu selepas peguamnya memfailkan usul mencabar keputusan itu. Pada 5 April, Mahkamah Agung mengekalkan hukuman mati dan menarik balik penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Pada Ogos 2013, berikutan semakan undang-undang hukuman mati mandatori Singapura, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan terhadapnya. Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencabar keputusan itu dan mahkamah tertinggi mengubah hukuman  kepada hukuman mati.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.