Amerika Syarikat Gesa Intimidasi Ketika China Terus Menekan Kapal Malaysia

Drake Long, Muzliza Mustafa, Ray Sherman & Jason Gutierrez
2020.04.23
Washington, Kuala Lumpur & Manila
200423-MY-ship-620.jpg Imej satelit menunjukkan kapal gerudi kendalian Malaysia, West Capella, di Laut China Selatan, 22 April 2020.
[Planet Labs Inc]

Diplomat kanan AS menuduh China mengerahkan kapal peninjau tenaganya ke perairan yang menjadi pertikaian di luar perairan Malaysia untuk menakut-nakutkan pihak lain yang turut menuntut Laut China Selatan daripada membangunkan sumber hidrokarbon di perairan yang kaya dengan sumber itu.

Sementara itu, Menteri Luar Malaysia meminta supaya pertikaian di Laut China Selatan diselesaikan secara aman, dengan beliau menerima tekanan daripada bekas menteri berkenaan agar mengambil tindakan tegas terhadap China.

Kapal peninjau China, Hai Yang Di Zhi 8, yang tiba di luar pantai Malaysia dengan diiringi kapal Pengawal Pantai China seminggu yang lalu, terus beroperasi di zon ekonomi eksklusif Malaysia pada  Khamis, menurut perisian pengesanan kapal. Ia berada berdekatan West Capella, kapal gerudi yang dikendalikan oleh syarikat minyak Malaysia, Petronas.

Kenyataan AS, yang dikeluarkan pada lewat Rabu di Washington oleh Setiausaha Negara Mike Pompeo, menyusuli satu persidangan telefon dengan rakan-rakan sejawatannya di Asia Tenggara untuk membincangkan tindak balas dalam menangani COVID-19.

Pompeo mengulangi pendirian AS bahawa China mengambil kesempatan daripada penularan wabak itu untuk menunjukkan penegasan tuntutannya di Laut China Selatan dan terlibat dalam "tingkah laku provokatif."

"RRC (Republik Rakyat China) telah mengerah armadanya termasuk kapal peninjau tenaga dengan tujuan untuk menakut-nakutkan negara lain yang turut membuat tuntutan di kawasan itu agar tidak terlibat dalam pembangunan hidrokarbon di luar pesisir," menurut kenyataan Pompeo yang merujuk kepada kapal Hai Yang Di Zhi 8.

"AS menentang keras perbuatan buli yang dilakukan China dan kami berharap negara-negara lain turut meminta negara tersebut supaya bertanggungjawab," kata Pompeo.

Helikopter MV-22B AS berlepas dari kapal USS America semasa operasi di Laut China Selatan, 19 April 2020. [Anggota Kelas 3 Jomark Almazan]

Kenyataan Pompeo menyusuli tindakan AS yang mengerah kapal perangnya di kawasan itu pada minggu ini ketika negara-negara Asia Tenggara berdepan tekanan daripada China di perairan yang menjadi pertikaian di rantau itu.

Komando Indo-Pasifik AS menyatakan kehadiran kapal USS America dan kapal USS Bunker Hill menunjukkan AS "menyokong usaha rakan sekutu dan rakan kerjasamanya dalam menentukan kepentingan ekonomi mereka sendiri."

Pompeo juga membangkitkan mengenai inisiden kapal nelayan Vietnam ditenggelamkan serta penubuhan stesen penyelidikan dan daerah pentadbiran baru di pulau-pulau dan terumbu-terumbu sebagai bukti bahawa China mengambil kesempatan daripada keadaan negara-negara jirannya yang terjejas akibat COVID-19.

Geng Shuang, jurucakap Kementerian Luar Negeri China, menyangkal tuduhan tersebut pada Khamis semasa sidang media di Beijing. Beliau menegaskan kedaulatan China terhadap pulau dan terumbu di Laut China Selatan serta perairan berdekatan.

"Kami komited untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dengan pihak-pihak yang terlibat secara langsung melalui dialog dan perundingan," katanya. "Sesetengah orang di AS mahu menggantikan fakta dengan khabar angin dan pembohongan selain menyemaikan perselisihan antara negara-negara jiran berkenaan. Cubaan seperti itu tidak akan berjaya."

Menteri Luar Australia Marisa Payne juga menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan China. Kenyataan beliau menyusuli langkah mengerah kapal frigat Australia untuk menyertai kapal perang AS bagi latihan bersama di Laut China Selatan pada minggu ini.

"Adalah amat penting sekarang bagi semua pihak mengelak daripada melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan kestabilan dan berusaha untuk meredakan ketegangan supaya komuniti antarabangsa  boleh memberi tumpuan penuh untuk menjalinkan kerjasama bagi menangani pandemik COVID-19," kata Payne yang dipetik sebagai berkata pada Rabu dalam laporan Sydney Morning Herald.

Walaupun kawasan berdepan ketegangan itu terletak dalam perairan Malaysia, namun Malaysia sendiri banyak berdiam diri sehinggalah Menteri Luar Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan pada Khamis.

Beliau menyatakan bahawa masalah di rantau itu harus diselesaikan secara aman dengan mematuhi Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut. Beliau berkata Malaysia tetap teguh dalam komitmennya untuk melindungi kepentingan dan haknya di Laut China Selatan, tetapi menambah kata: "Kami perlu menghindari insiden yang secara sengaja atau tidak di perairan ini."

Pakar maritim AS Greg Poling berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang tidak dapat dipertahankan dan mungkin menghentikan kerja-kerja eksplorasinya.

"Jika ada yang tidak jelas tentang bila kapal Hai Yang Di Zhi 8 akan meninggalkan perairan Malaysia, mereka akan hanya bergerak pergi selepas West Capella berbuat demikian, dan bukan sebelumnya, dan itu akan menjadi permainan penantian yang saya rasa tidak mungkin dimenangi oleh Malaysia,” kata Poling kepada wartawan Malaysia pada Khamis. Beliau merupakan pengarah Inisiatif Ketelusan Maritim Asia di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah kumpulan pemikir yang berpejabat di Washington.

Anifah Aman, bekas menteri luar Malaysia, meminta negaranya supaya mengambil "sikap yang konsisten dan berprinsip" dan mengambil "tindakan yang sesuai berhubung dengan kegiatan pengawasan yang dilakukan kapal-kapal China dalam kawasan maritim Malaysia.”

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang lebih kecil dan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia mungkin tidak dapat menghentikan kapal China, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menyuarakan tekad untuk tidak membiarkan kapal China melakukan sesuka hati dalam ruang maritim Malaysia," kata Anifah dalam satu surat terbuka. Beliau berkhidmat sebagai diplomat tertinggi Malaysia itu dari 2009 hingga 2018.

Tidak jelas sama ada kenyataan menteri luar itu pada Khamis adidorong oleh surat terbuka Anifah, tetapi Hishammuddin menafikan bahawa kerajaan tidak melakukan apa-apa.

"Kami berkomunikasi secara terbuka dan berterusan dengan semua pihak yang berkaitan termasuk Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat," kata kenyataan Hishammuddin.

Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, termasuk kawasan yang sampai ke pantai negara-negara jirannya yang lebih kecil. Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan juga mempunyai tuntutan bertindih di wilayah laut itu.

Malaysia, Vietnam dan Filipina secara langsung mempertikaikan tuntutan besar China itu dalam beberapa nota diplomatik yang dikeluarkan beberapa minggu lalu. Pada Rabu, Filipina mengemukankan dua nota diplomatik terhadap Beijing, dengan menyatakan bahawa ia telah melanggar undang-undang antarabangsa melalui tindakannya di Laut China Selatan baru-baru ini.

Pada Khamis, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin, Jr. meminta semua negara di rantau ini supaya memberi tumpuan kepada krisis COVID-19 dan kemungkinan akibatnya. Bank Dunia mengeluarkan laporan awal bulan ini mengenai prospek pemulihan ekonomi Asia Tenggara selepas krisis itu.

"Di Asia, pemulihan itu bergantung kepada pemulihan China akibat wabak yang membawa banyak kerosakan itu; tetapi ia bukanlah dalam bentuk yang menggoyahkan nilai kehormatan dan kedaulatan kita,” kata Locsin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.