ASEAN, Australia Tingkatkan Hubungan Strategik Di Tengah-tengah Ketegangan Laut China Selatan

Beijing pula masih menunggu pandangan badan serantau Asia Tenggara itu tentang meningkatkan hubungan dengannya.
Shailaja Neelakantan
2021.10.27
Washington
ASEAN, Australia Tingkatkan Hubungan Strategik Di Tengah-tengah Ketegangan Laut China Selatan Perdana Menteri Australia Scott Morrison menghadiri Sidang Kemuncak Australia-Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) secara maya dari Bangunan Parlimen di Canberra, 27 Okt. 2021.
[Edaran Pejabat Perdana Menteri Australia melalui AFP]

Negara-negara Indo-Pasifik, Australia dan ASEAN, bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka menjadi "perkongsian strategik yang komprehensif", kata pengerusi badan serantau itu pada Rabu mengenai hubungan yang dipertingkatkan itu, yang didambakan China sejak tahun lepas.

Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara dan Australia bersetuju meningkatkan hubungan mereka sebulan selepas beberapa anggota blok serantau itu mengkritik pemeteraian pakatan AUKUS, di mana Washington dan London akan memberikan teknologi kepada Canberra bagi membina kapal selam berkuasa nuklear.

Brunei, Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, mengumumkan dalam kenyataannya bahawa kedua-dua pihak itu kini bergerak melangkaui hubungan strategik semata-mata.

"Kami bersetuju untuk mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN dan Australia yang amat bermakna, substantif dan saling menguntungkan," kata pengerusi ASEAN itu.

Australia dan ASEAN mengadakan dialog dua hala buat kali pertama pada 1974.

"Kami gembira dengan kemajuan yang mantap dalam meningkatkan hubungan Dialog ASEAN-Australia sejak 47 tahun lalu, termasuk menjayakan Pelan Tindakan bagi Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Australia."

Sebelum Brunei mengeluarkan kenyataan itu, Perdana Menteri Australia Scott Morrison telah membangkitkan mengenai perkongsian strategik komprehensif (CSP) tersebut semasa beliau mengetuai delegasi negaranya pada sidang kemuncak ASEAN-Australia pada Rabu.

Canberra, katanya, mencadangkan supaya hubungan itu dipertingkatkan dan "sekiranya ASEAN memutuskan untuk bersetuju melaksanakan CSP, Australia sudah pastinya turut bersedia."

“CSP, bagaimanapun, bukanlah sekadar label. Kami akan menyokongnya dengan bahan yang dapat membentuk perkongsian kami untuk menangani cabaran yang rumit pada masa hadapan,” kata Morrison kepada rakan sejawatannya di ASEAN.

Canberra juga akan menyediakan A$124 juta (AS$93.1 juta) untuk membiayai projek, yang dikenal pasti bersama oleh ASEAN dan Australia, bagi menangani cabaran yang muncul, katanya. Ini termasuklah untuk pemulihan COVID-19, keganasan, jenayah rentas negara, keselamatan tenaga dan peralihan kepada teknologi pelepasan lebih rendah.

China dan ASEAN

Sementara itu, Beijing masih menunggu pandangan ASEAN berhubung hasrat China untuk meningkatkan perkongsiannya dengan badan serantau itu, seperti yang dinyatakannya pada tahun lalu dan diulanginya pada Jun lepas. Kuasa besar Asia itu sedang bersaing dengan Amerika Syarikat - dan kini dengan United Kingdom dan Australia – untuk menggunakan pengaruh di rantau yang menjadi pentas geopolitik global itu.

"Keinginan China untuk meningkatkan hubungan dua hala itu menunjukkan tentang pentingnya ekonomi dan strategik ASEAN kepada Beijing," kata ISEAS Yusof Ishak Institute, sebuah badan pemikir Singapura, dalam artikel yang diterbitkan bulan lepas.

Semasa Sidang Kemuncak China-ASEAN pada Selasa, Beijing tidak membangkitkan mengenai peningkatan hubungan itu. Tetapi, ia menambat hati mereka dengan menawarkan "untuk bersama-sama mengadakan sidang kemuncak bagi memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN" yang mungkin dihadiri Presiden Xi Jinping, menurut beberapa laporan.

Sehingga kini, cadangan China disambut dengan "tindak balas senyap yang sopan" daripada ASEAN, menurut artikel yang diterbitkan ISEAS.

"ASEAN bimbang jika ia menerimanya, ia mungkin ditafsirkan sebagai memihak" oleh Washington, dan sebarang hubungan politik atau keselamatan antara China dan blok serantau itu adalah tertakluk kepada perubahan yang berkaitan dengan ketegangan yang tidak menentu di Laut China Selatan, menurut laporan itu.

211027-SEA-Inside-asean-australia.jpeg
Kapal selam diesel-elektrik kelas Collins, HMAS Waller (SSG 75), milik Tentera Laut Diraja Australia semasa berlabuh di Pelabuhan Sydney, 2 November 2016. [AFP]

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif Taiwan dan negara-negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Beijing juga sedang menenterakan Laut China Selatan, yang dianggapnya sebagai kawasan miliknya.

Tanpa segan silu, ia meningkatkan pencerobohan ke kawasan zon ekonomi eksklusif negara penuntut lain, menggunakan militia maritimnya untuk mengganggu nelayan di perairan yang turut dituntut oleh negara lain serta menempatkan kapal-kapal peninjaunya di kawasan yang kaya minyak dalam perairan milik pihak lain.

Dalam menghadapi peningkatan kebebasan operasi Washington di Laut China Selatan pada masa ini, Beijing sedang mencari sekutu di Asia Tenggara tetapi negara-negara di rantau itu masih berhati-hati walaupun adanya pengaruh kewangan China.

Semasa menyampaikan ucapannya di Sidang Kemuncak Asia Timur pada Rabu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden "mengulangi komitmen AS terhadap perintah berasaskan peraturan antarabangsa dan menyuarakan kebimbangannya berhubung ancaman terhadap perintah itu."

"Amerika Syarikat akan terus bersama sekutu dan rakan kongsi dalam menyokong demokrasi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang serta kebebasan di lautan," kata Biden, menurut kenyataan White House.

Sidang Kemuncak Asia Timur merupakan forum dialog Indo-Pasifik yang merangkumi 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Rusia.

AUKUS dan ASEAN

Tiada satu pun daripada isu itu menjadi faktor antara ASEAN dan Australia walaupun pakatan tiga pihak AUKUS menjadi punca yang menyakitkan hati bagi beberapa negara anggota blok serantau itu.

Australia dan ASEAN nampaknya mengelak daripada memperkatakan mengenai pakatan itu yang terjalin antara Australia, AS dan UK yang diumumkan pada 15 Sept. lalu.

AUKUS dikatakan diwujud untuk menentang peningkatan pengaruh Beijing di Indo-Pasifik terutamanya di Laut China Selatan.

Tiga negara demokrasi maritim AUKUS itu tidak menyebut tentang China. Mereka berkata pakatan itu akan membolehkan mereka mengukuhkan sokongan bagi kepentingan keselamatan dan pertahanan masing-masing dan "membantu mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik."

Namun, Indonesia dan Malaysia tidak berpuas hati dengan pakatan itu dan menyatakan bahawa ia akan mendorong perlumbaan senjata - dan mungkin senjata nuklear - di Asia Tenggara. Filipina, Singapura dan Vietnam pula lebih yakin tentang AUKUS. ASEAN, yang bekerjasama secara konsensus, tidak bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bersama mengenai pakatan itu.

PM Morrison dan pegawai-pegawai tinggi Australia yang lain telah berhubung melalui telefon dan bertemu secara peribadi dengan para pemimpin dan menteri ASEAN untuk meyakinkan mereka bahawa Canberra sedar akan komitmennya terhadap langkah mencegah percambahan nuklear dan yakin dengan pemusatan ASEAN di Asia Tenggara.

Pada Rabu, kenyataan pengerusi ASEAN menyatakan bahawa badan serantau itu mengalu-alukan "sokongan dan pengesahan berterusan Australia terhadap pemusatan ASEAN" dan komitmennya terhadap keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau.

Dalam kalangan negara anggota ASEAN, Indonesia mengulangi kebimbangannya namun menyokong penuh hubungan yang dipertingkatkan oleh badan serantau itu dengan Australia.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata pakatan seperti AUKUS mestilah "tidak merumitkan kaedah kerja kami dalam menjalinkan kerjasama."

Morrison pula memberitahu ASEAN bahawa AUKUS memperkukuhkan lagi sokongan Canberra kepada kerangka serantau yang diterajui ASEAN.

"AUKUS merupakan tambahan kepada rangkaian perkongsian kami yang menyokong kestabilan dan keselamatan serantau," katanya pada Rabu.

J.C. Gotinga di Manila, Ahmad Syamsudin di Jakarta dan Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.