Penganalisis: ASEAN Mesti Halang Cubaan Kemboja Benarkan Junta Myanmar Hadiri Mesyuarat

Mesyuarat peringkat menteri luar pada minggu depan akan menguji komitmen negara anggota ASEAN untuk mendesak tentera Myanmar supaya mematuhi konsensus lima perkara.
Staf BenarNews
2022.01.10
Penganalisis: ASEAN Mesti Halang Cubaan Kemboja Benarkan Junta Myanmar Hadiri Mesyuarat Perdana Menteri Kemboja Hun Sen (kiri) berbincang dengan ketua tentera Myanmar Min Aung Hlaing (kanan) semasa majlis makan malam di Naypyidaw, 7 Jan 2022.
[Edaran Televisyen Nasional Kemboja (TVK) melalui AFP]

Komitmen ASEAN untuk mengekalkan integritinya dalam menghadapi ‘permainan’ Kemboja dengan junta Myanmar bakal diuji pada mesyuarat secara bersemuka menteri-menteri luar badan serantau itu yang akan datang, kata penganalisis pada Isnin.

Jika negara-negara anggota mahu memastikan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tidak membinasakan diri sendiri, mereka mesti menolak sebarang cubaan pengerusi ASEAN 2022 yang juga Perdana Menteri Kemboja Hun Sen untuk membenarkan menteri luar rejim Myanmar menghadiri mesyuarat itu, kata seorang pemerhati.

"Jika Kemboja berkeras untuk menjemput junta ke mesyuarat ASEAN, kita mesti berkata 'tidak'. Jika perlu, kita boikot sahaja mesyuarat itu. …pada pandangan saya, [Menteri Luar] Retno tidak perlu hadir,” kata Rizal Sukma, bekas duta Indonesia ke Britain, kepada BenarNews, yang merujuk kepada Retno Marsudi.

“Jika Kemboja mahu membinasakan ASEAN, dan negara-negara ASEAN tidak kisah mengenainya, oleh itu, tidak mengapalah,” kata Sukma, penyelidik kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpejabat di Jakarta.

Sukma dan penganalisis lain mengulas demikian setelah mengikuti perkembangan lawatan Hun Sen ke Naypyidaw pada Jumaat dan Sabtu, di mana beliau bertemu dengan ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Hun Sen akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat utama ASEAN yang pertama sebagai pengerusi badan serantau itu pada 18 hingga 19 Jan dalam satu permukiman menteri-menteri luar di Siem Reap.

Setakat Isnin, BenarNews menerima pengesahan setiausaha akhbar menteri luar Malaysia bahawa diplomat tertinggi negara berkenaan akan menghadiri mesyuarat minggu depan itu secara maya.

Di Jakarta, jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata negara-negara anggota ASEAN akan diberi taklimat pada mesyuarat itu mengenai hasil lawatan Hun Sen ke Myanmar, tetapi beliau enggan menyatakan sama ada Menteri Luar Retno Marsudi akan menyertai mesyuarat tersebut.

Pegawai dari kedua-dua negara enggan mengulas mengenai lawatan Hun Sen ke Naypyidaw atau kemungkinan menteri luar junta Myanmar akan menghadiri mesyuarat minggu depan di Siem Reap. Sementara ityu, pegawai di kementerian luar Thailand dan Filipina tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, jurucakap kementerian luar Kemboja memberitahu Radio Free Asia (RFA) bahawa perkara mengenai sama ada Wunna Maung Lwin turut dijemput ke Siem Reap akan diketahui tidak lama lagi.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa beberapa hari lagi," kata Koy Koung.

Jurucakap tentera Myanmar, Mej. Jeneral Zaw Min Tun, pula optimistik apabila ditanya mengenai hasil lawatan Hun Sen.

Lawatan itu "akan membantu perwakilan kita [di ASEAN]," katanya kepada RFA, mendakwa pihak junta telah memenuhi satu daripada konsensus lima perkara ASEAN dalam pelan tindakan demokrasi seperti yang disepakati pada April lalu – iaitu menamatkan keganasan.

Beliau merujuk kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan dua hari Hun Sen ke Myanmar yang menyatakan bahawa pihak junta telah melanjutkan gencatan senjata dengan semua Pertubuhan Bersenjata Etnik (EAO) sehingga akhir 2022.

Kenyataan itu tidak menyebut tentang aktivis pro-demokrasi.

Pada Isnin, Perdana Menteri Kemboja mempertahankan tindakannya mengadakan lawatan itu dengan mendakwa telah mencapai tiga hasil utama konsensus lima perkara berkenaan: gencatan senjata, bantuan kemanusiaan untuk semua pihak, dan menghantar utusan khas ASEAN untuk berdialog dengan semua pihak yang berkepentingan.

220110-SEA-Inside-Kemboja-Burma.jpg

Seorang pekerja melaraskan bendera ASEAN di sebuah dewan mesyuarat di Kuala Lumpur, 28 Okt. 2021. [Reuters]

'Selamatkan integriti ASEAN'

Penganalisis dan aktivis hak asasi manusia, bagaimanapun, kecewa dengan lawatan Hun Sen kerana beliau tidak bertemu dengan pemimpin pro-demokrasi dan sebaliknya mendengar tentang krisis itu hanya daripada pihak junta, yang menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat dalam rampasan kuasa pada Februari lalu.

Ada yang menolak kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kemboja dan Myanmar dan menganggapnya sebagai pembohongan. Mereka berkata bahawa apa-apa manfaat yang dicapai oleh ASEAN dengan menghalang kehadiran Min Aung Hlaing daripada sidang kemuncak utama badan serantau itu pada tahun lepas kerana tidak melaksanakan pelan hala tuju lima perkara itu, telah terjejas berikutan lawatan Hun Sen ke Myanmar.

Kenyataan bersama itu "adalah cubaan yang salah dan berbahaya apabila memberi gambaran adanya kejayaan, padahal tindakan satu pihaknya itu telah melemahkan dengan mendadak pengaruh kolektif ASEAN untuk menyelesaikan krisis di Myanmar," kata Charles Santiago, pengerusi kumpulan Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) dalam satu kenyataan pada Ahad.

"Diplomasi penyangak Hun Sen adalah ancaman kepada ASEAN," kata APHR.

Men Nath, wakil Majlis Pemerhati Kemboja yang berpangkalan di Sweden, memberitahu RFA bahawa hasil lawatan Hun Sen ke Myanmar adalah "sifar."

“Ia adalah sama sekali bertentangan dengan mekanisme ASEAN untuk menyelesaikan isu Myanmar,” katanya pada Isnin.

"Apa yang [Hun Sen] lakukan dengan merujuk kepada mekanisme ASEAN hanya menyebabkan perpecahan dalam ASEAN."

Perdana Menteri Kemboja itu mengutamakan perpaduan ASEAN daripada demokrasi atau hak asasi manusia, kata Hunter S. Marston, penuntut ijazah doktor falsafah di Kolej Asia dan Pasifik, Australia National University.

“Malangnya, ASEAN tidak mempunyai konsensus berhubung cara untuk mendekati Myanmar, jadi kita akan lihat sama ada negara-negara demokrasi yang ada di dalam blok ini akan bangkit menentang Hun Sen [dan] memastikan junta Myanmar bertanggungjawab,” katanya kepada BenarNews.

Ketua-ketua negara anggota ASEAN yang lain perlu "segera melibatkan diri... untuk menyelamatkan integriti ASEAN sebagai satu forum serantau," kata penganalisis Malaysia, MD Mahbubul Haque yang merupakan pensyarah Pengajian Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin, kepada BenarNews.

“Perdana Menteri atau Presiden Indonesia, Malaysia atau Singapura perlu saling bekerjasama dengan erat berhubung krisis Myanmar. Anda tidak boleh bergantung kepada Thailand atau Filipina,” kata MD Mahbubul.

"Jangan biarkan [Hun Sen melakukannya] seorang diri."

Tria Dianti dan Ronna Nirmala di Jakarta, Nisha David di Kuala Lumpur, Shailaja Neelakantan di Washington serta Radio Free Asia, perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews, menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.