Beberapa Negara Asia Tenggara Tolak Hasrat Perjanjian COP26 Hentikan Penebangan Hutan

Indonesia, yang menandatangani perjanjian itu, dan Laos, yang tidak menandatanganinya, menyifatkan perjanjian itu sebagai tidak adil kepada negara-negara sedang membangun.
Staf BenarNews
2021.11.05
Jakarta, Kuala Lumpur & Manila
Beberapa Negara Asia Tenggara Tolak Hasrat Perjanjian COP26 Hentikan Penebangan Hutan Sebuah baj dengan muatan kayu balak menyusuri Sungai Mahakam dan melepasi bandar Samarinda di wilayah Timur Kalimantan, Indonesia pada 4 Nov 2021.
[AFP]

Malaysia, Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand pada minggu ini tidak menandatangani satu perjanjian antarabangsa untuk menghentikan dan memulihkan kemusnahan hutan menjelang 2030, walaupun Asia Tenggara - yang mempunyai 15 peratus daripada jumlah hutan tropika di dunia - adalah antara lokasi utama kemusnahan hutan.

Indonesia, negara paling luas dan mempunyai penduduk paling ramai di rantau itu, adalah antara 133 negara yang menandatangani perjanjian berkenaan pada sidang kemuncak COP26 di Glasgow, namun ia berdepan isu dengan beberapa negara yang memahami kandungan perjanjian itu secara literal.

"Kami dengan ini memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan menyeluruh bagi menghentikan dan memulihkan kemusnahan hutan serta kerosakan tanah menjelang 2030, dan pada masa yang sama mengamalkan pembangunan mampan dan menggalakkan transformasi luar bandar secara inklusif", menurut kandungan perjanjian itu yang dikenali sebagai Deklarasi Pemimpin Glasgow Mengenai Penggunaan Hutan dan Tanah.

Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar tidak bersetuju dengan jangkaan bahawa menghentikan penebangan hutan bermaksud tiada langsung kegiatan perhutanan. Beliau berkata adalah tidak adil untuk meminta Indonesia berbuat demikian.

Kenyataan itu menyebabkan para aktivis pencinta alam mempersoalkan sama ada Jakarta akan menarik balik ikrar yang dibuatnya pada Selasa.

Tambahan pula, perjanjian itu dianggap sebagai kejayaan bersejarah memandangkan Indonesia, Brazil dan Republik Demokratik Congo, yang mempunyai 85 peratus daripada keseluruhan hutan dunia, menandatangani perjanjian itu untuk melindungi kawasan hutan di negara masing-masing.

Menurut sebuah artikel yang disiarkan dalam jurnal Nature pada 2019, Asia Tenggara kehilangan kira-kira 80 juta hektar hutan di antara 2005 dan 2015.

Walaupun begitu, hanya Indonesia yang menandatangani perjanjian untuk melindungi hutan dan ia dibuat dengan beberapa syarat.

Berikut adalah pendapat beberapa kerajaan dan pakar di Asia Tenggara mengenai perjanjian COP26 dalam usaha mengekang kemusnahan hutan:

Indonesia

Sehari selepas presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo menandatangani perjanjian itu di Scotland itu bagi melindungi hutan, menteri alam sekitar negara itu berkata bahawa Indonesia tidak boleh dipaksa untuk komited kepada sifar penebangan hutan kerana ia akan menjejaskan pembangunan.

"Memaksa Indonesia untuk memberikan komitmen kepada sifar penebangan hutan pada 2030 adalah jelas tidak adil dan tidak wajar kerana setiap negara mempunyai masalah utamanya sendiri dan ia diberikan mandat oleh perlembagaan untuk melindungi rakyat mereka sendiri," kata Siti Nurbaya dalam catatan Twitter selepas bertemu dengan para pelajar Indonesia di Universiti Glasgow.

Beliau berkata Indonesia komited kepada usaha mengawal pelepasan gas sektor perhutanan tetapi ia tidak bermakna negara itu akan terus meghentikan penebangan hutan.

"Jika konsepnya ialah tiada penebangan hutan, ini bermakna tiada jalan yang akan dibina, oleh itu bagaimana dengan manusia, apakah mereka perlu dipinggirkan?" kata Siti Nurbaya dalam catatan Facebook selepas itu.

Kenyataan Siti Nurbaya menerima kritikan daripada aktivis alam sekitar.

Menurut Greenpeace, aktiviti pembakaran hutan bagi tujuan perladangan telah menyebabkan pelepasan karbon hampir 104 juta metrik tan sejak 19 tahun yang lalu. Ia adalah bersamaan dengan 33 kali ganda pelepasan gas daripada aktiviti menjana elektrik untuk semua kediaman di ibu negara Indonesia pada setiap tahun.

Namun, menurut Kementerian Alam Sekitar, Indonesia telah mengambil beberapa langkah bagi mengawal penebangan hutan. Kementerian itu berkata Indonesia kehilangan 115,459 hektar (285,300 ekar) litupan hutan pada 2020 yang menurun sebanyak 75 peratus berbanding pada 2019.

Pada Khamis, Siti Nurbaya memberi penjelasan berhubung kenyataan tegas beliau mengenai isu tersebut.

"Arahan presiden adalah jelas bahawa pembangunan yang dilaksanakan kerajaan mestilah selari dengan dasar untuk mengurangkan penebangan hutan dan pelepasan gas," katanya dalam catatan Twitter.

"Perlu ada keseimbangan".

211105-my-inside2-sea-cop2.jpg

Longgokan pokok-pokok yang ditebang di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Preah Roka di wilayah Preah Vihear, Kemboja pada Mac 2021. [Ihsan Rangkaian Belia Kemboja]

Laos

Seperti Indonesia, Laos juga tidak bersetuju dengan perjanjian itu kerana ia berkaitan dengan status negaranya sebagai negara membangun, kata seorang pegawai kerajaan kepada Radio Free Asia, entiti BenarNews.

"Laos tidak menandatangani perjanjian itu kerana ia masih negara yang sedang membangun dan memerlukan hutan untuk membangunkan ekonominya," kata pegawai dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, yang enggan namanya disebut atas sebab keselamatan.

"Kami masih bergantung kepada hutan dan pertanian untuk menghasilkan makanan serta mengurangkan kemiskinan; bagaimanapun, kerajaan kami mempunyai dasar bagaimana untuk menggunakan sumber asli kami dengan bijak dan melindungi alam sekitar pada masa yang sama.”

Pegawai itu berkata Laos masih perlu melakukan pembersihan tanah dan hutan untuk membangunkan infrastruktur termasuk jalan raya, landasan kereta api, sekolah dan hospital.

"Kerajaan kami mahu membangunkan negara supaya ia boleh beralih daripada status sebagai negara paling mundur pada 2026. Oleh itu, adalah mustahil untuk langsung tidak memusnahkan sebahagian daripada sumber asli kami," katanya.

Walaupun begitu, kerajaan "mempunyai dasar bagaimana untuk menggunakan sumber asli dengan bijak dan pada masa sama melindungi alam sekitar kami," katanya.

Kemboja

Kemboja, yang kehilangan 26 peratus daripada litupan hutannya sejak 2000 berdasarkan imej satelit – yang bersamaan 2.3 juta hektar (5.7 juta ekar) - tidak menandatangani perjanjian untuk menghentikan penebangan hutan itu.

Neth Peaktra, jurucakap Kementerian Alam Sekitar, tidak menyatakan sebarang alasan mengapa Kemboja tidak menandatangani perjanjian tersebut.

"Kementerian ini menyokong kenyataan COP26 dan mengulangi komitmen kerajaan untuk melindungi sumber asli dan ekosistem, serta memulihkan dan menanam semula hutan," katanya kepada Perkhidmatan Khmer RFA.

Kemboja mempunyai kira-kira 8.5 juta hektar litupan hutan dan 41 peratus daripadanya dilindungi oleh kementerian berkenaan, kata beliau.

Bagaimanapun, San Maly, aktivis Rangkaian Belia Kemboja, memberitahu RFA bahawa kerajaan telah gagal melaksanakan komitmennya untuk melindungi hutan.

Perhutanan di Kemboja semakin berkurangan berikutan pembalakan haram dan jenayah hutan yang lain, katanya.

211105-my-inside3-sea-cop2.jpg
Para penduduk diselamatkan menggunakan bot daripada rumah mereka yang dilanda banjir ekoran Taufan Vamco di Wilayah Rizal, Filipina 12 Nov 2020. [Reuters]

Malaysia

Di Malaysia, dengan Perdana Menterinya Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan bahawa negara itu berusaha menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, namun sebuah NGO tempatan mengkritik kerajaan kerana hanya menghantar seorang wakil -- yang bukannya menteri alam sekitar negara itu -- ke sidang kemucak COP26.

"Kami meneka bahawa ia sesuatu yang disengajakan bagi mengelak daripada menandatangani perjanjian antarabangsa untuk menghentikan penebangan hutan di COP26, demi menjaga air muka," kata PEKA dalam satu kenyataan.

Sebagai negara yang berazam untuk mengekalkan 50 peratus litupan hutan, Malaysia merupakan negara kelapan tertinggi dari aspek pelepasan gas per kapita kumulatif dari 1850 hingga 2021.

Malaysia mungkin tidak dapat menunaikan janjinya untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, kata pengasas PEKA Shariffa Sabrina Syed Akil kepada BenarNews pada hujung bulan lepas.

"Malaysia akan tersasar daripada matlamat itu berdasarkan tahap keseriusan yang ditunjukkan kerajaan sekarang... kita masih lagi mengamalkan cara pemikiran yang menyalahkan takdir tuhan apabila berlakunya sesuatu bencana," kata beliau.

Filipina

Negara kepulauan itu menyatakan komitmennya untuk memelihara hutan dengan menjadi antara 100 penandatangan perjanjian bagi menyelamatkan hutan dunia itu.

Filipina adalah sebuah negara yang paling terdedah kepada masalah iklim namun menyumbang hanya 0.3 peratus kepada pelepasan gas rumah hijau dunia. Manila, bagaimanapun, komited untuk menurunkan lagi kadar pelepasan gas itu sehingga sebanyak 75 peratus dalam tempoh sedekad akan datang, seperti mana yang dipersetujuinya dalam Azam Sumbangan Negara bagi Perjanjian Paris 2015.

Filipina dilanda kira-kira 20 taufan setiap tahun dengan setengah daripadanya membawa kemusnahan besar. Pada 2013, negara itu dilanda Super Typhoon Haiyan iaitu taufan paling kuat yang pernah dialami negara itu sehingga menyebabkan kemusnahan besar dan mengorbankan lebih 6,000 orang.

Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr., yang menyertai Sidang Kemuncak Glasgow, berkata negara-negara kaya perlulah memimpin usaha mencari penyelesaian dan membantu negara-negara yang memerlukan.

"Ketidakadilan paling hebat yang berlaku kini adalah mereka yang mengalami penderitaan paling teruk adalah mereka yang paling kurang menyumbang kepada krisis yang wujud hari ini," kata Locsin dalam kenyataan di COP26 pada 31 Okt.

Peguam Ma. Ronely Bisquera-Sheen yang juga pengarah eksekutif kumpulan alam sekitar Tanggol Kalikasan (Pelindung Alam Semulajadi) menyambut baik ikrar perlindungan hutan itu. Namun, beliau berkata ia masih terlalu awal untuk meraikannya.

"Realitinya ialah ia memerlukan kesungguhan politik yang amat besar untuk melaksanakan ikrar ini," katanya kepada BenarNews.

"Butirannya rumit dan boleh mencetuskan masalah kelak.”

Ronna Nirmala dan Ahmad Syamsudin di Jakarta, Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur, Jason Gutierrez di Manila, dan perkhidmatan berita Laos dan Kemboja Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.