Bangladesh, Negara Lain Bersedia Hadapi Kemungkinan Kepulangan Pejuang IS

Prapti Rahman, Rina Chadijah & Muzliza Mustafa
2019.03.26
Dhaka, Jakarta & Kuala Lumpur
190326_IS_1000.JPG Anggota-anggota Pasukan Demokratik Syria berbaris sambil memegang senapang ketika pihak berkuasa mengumumkan kejayaan menumpaskan kubu terakhir Negara Islam di Syria, 23 Mac, 2019.
[Reuters]

Bangladesh akan menyekat kemasukan rakyatnya yang telah meninggalkan negara itu kerana mahu menyertai Negara Islam di Syria, kata pihak berkuasa pada Selasa, ketika Indonesia dan Malaysia turut mengambil langkah siaga berdepan kemungkinan kepulangan warganegara masing-masing setelah pasukan-pasukan yang disokong Amerika Syarkat (AS) berjaya menumpaskan kubu terakhir kumpulan ekstremis itu pada hujung minggu lalu.

Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai puak Kurdish, dengan bantuan serangan udara oleh AS, mengumumkan pada Sabtu bahawa mereka telah menawan kubu terakhir IS di Deir Ezzor yang terletak wilayah timur Syria dan menahan hampir 800 pejuang asing termasuk sejumlah rakyat Bangladesh.

"Jika ada suspek yang dapat masuk, kami akan menangkap dan membicarakan mereka mengikut lunas undang-undang. Kami tidak akan membenarkan mana-mana pengganas datang ke Bangladesh,"kata Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal kepada BeritaBenar ketika ditanya mengenai dasar kerajaan berhubung cubaan rakyat Bangladesh yang menyertai perjuangan IS, untuk kembali ke negara itu.

AS dan negara-negara lain telah meminta negara-negara sekutu supaya menerima kepulangan pejuang dari negara masing-masing, tetapi sebahagian besar daripada negara berkenaan menolak untuk berbuat demikian. Dalam tempoh dua minggu lalu, beribu-ribu orang melarikan diri dari Deir Ezzor yang terletak di tebing barat Sungai Euphrates, kata seorang jurucakap SDF.

Pihak berkuasa Dhaka tidak menyatakan berapa ramai rakyat Bangladesh telah meninggalkan negara itu untuk menyertai militan IS yang merempuh masuk ke seluruh Syria dan Iraq serta merampas wilayah-wilayah pada 2014. Tetapi Khan berkata mana-mana suspek pejuang atau penyokong IS akan ditahan serta merta jika mereka tiba di mana-mana lapangan terbang di Bangladesh.

"Kami telah mengarahkan pihak lapangan terbang supaya sentiasa mengawasi ketibaan mereka," katanya.

Beratus-ratus orang dari Asia Selatan, Tenggara

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih daripada 40,000 pejuang asing dari 110 negara mungkin telah meninggalkan negara mereka untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria dan Iraq.

Mereka termasuklah 800 orang dari Indonesia, 154 orang dari Malaysia, 100 orang dari Filipina dan 40 orang rakyat Bangladesh, menurut laporan Pusat Antarabangsa bagi Kajian Radikalisasi (ICSR) di King's College di London pada Julai 2018.

Sementara itu, seorang pegawai keselamatan Malaysia yang tidak mahu dikenali berkata Kuala Lumpur akan mempercepatkan usaha menghantar pulang rakyat Malaysia yang telah meminta bantuan untuk kembali ke tanah air.

“Kami masih berunding dengan beberapa pihak untuk membawa mereka pulang ke tanah air," kata sumber itu kepada BeritaBenar dalam satu temu bual telefon, yang merujuk kepada suspek militan.

"Usaha masih dijalankan dan terdapat banyak prosedur yang perlu kami patuhi dan ikuti kerana pasport mereka telah musnah akibat perang."

Beliau berkata seramai 51 rakyat Malaysia termasuk 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di penjara Syria yang dikendalikan oleh pasukan Kurdish. "Malaysia akan membawa mereka pulang ke tanah air berdasarkan beberapa syarat," katanya.

Ketua Unit Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay semasa ditemui BeritaBenar bulan lepas berkata, "Rakyat negara ini yang kembali dari Syria atau Iraq akan dinilai berdasarkan kes demi kes bagi menilai tahap penglibatan mereka dalam IS, dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka,"

Mereka yang kembali, katanya, tidak akan disumbat ke dalam penjara secara automatik.

“Jika mereka tidak ditahan,  mereka masih perlu mengikuti satu program deradikalisasi yang dikendalikan oleh pihak kami sebelum mereka dibebaskan semula ke dalam masyarakat. Selain itu, kami akan terus berhubung dengan mereka,” kata Ayob.

Seramai 102 rakyat Malaysia telah memasuki Syria dan Iraq sejak 2013 dengan harapan untuk menyertai IS, tetapi 40 daripada mereka telah terbunuh dalam pertempuran atau akibat lain termasuk sembilan orang yang mati akibat pengeboman bunuh diri manakala 11 orang lagi telah kembali ke tanah air, kata pegawai polis Malaysia kepada BeritaBenar sebelum ini.

Pada Isnin, jurucakap Polis Indonesia Brig Jen Dedi Prasetyo memberitahu wartawan di Jakarta bahawa unit anti keganasan polisi elit Densus 88 akan terus memburu suspek pengganas dan mengawasi sel-sel pengganas di negara itu walaupun IS kecundang di Syria.

"Densus 88 juga memprofilkan dan melaksanakan usaha mitigasi dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan terhadap sebarang kemungkinan serangan pengganas secara sendirian," kata Dedi.

Tahun lepas, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu memberitahu BeritaBenar dalam satu wawancara di Washington bahawa kira-kira 700 rakyat Indonesia telah menyertai IS.

Semasa berada di kemuncaknya pada 2014, Negara Islam yang juga dikenali dengan akronim lain seperti ISIS atau ISIL, telah menguasai Raqqa dan Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq dan menganggap kawasan tanah besar di kedua-dua sempadan negara itu sebagai kubu-kubu utamanya.

Pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi, yang mengaku dirinya pengganti  khalifah iaitu maharaja-maharaja Islam yang memerintah rantau itu dalam abad-abad lalu, mengisytiharkan penubuhan khalifah Islam di Mosul dan memujuk ribuan umat Islam di seluruh dunia termasuk rakyat Bangladesh, Malaysia dan Indonesia untuk pergi ke rantau itu dan berjuang.

Pada Ogos 2017, seramai 18 warganegara Indonesia yang mengaku  menyertai IS di Syria telah diletakkan dalam tahanan polis selepas kembali ke tanah air, kata para pegawai.

Kolonel Gerry Besana, jurucakap Tentera Filipina wilayah selatan memberitahu BeritaBenar dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa sistem keselamatan yang disediakan pihak berkuasa akan menyukarkan pejuang Filipina kembali ke negara itu.

Beliau berkata sekurang-kurangnya dua warganegara Filipina - Mohammed Reza Kiram dan isterinya, Ellen Barriga, seorang mualaf Muslim - dipercayai menyertai IS di Syria pada 2015.

"Kami bimbang lebih ramai pejuang tempatan telah dilatih di negara asing," katanya.

Suspek militan yang pro-IS disyaki telah membunuh sekurang-kurangnya 22 orang dalam satu serangan bom di sebuah gereja di selatan Filipina pada Januari lalu, kata pihak berkuasa.

Pada Mei 2017, satu lagi puak militan yang diketuai oleh Isnilon Hapilon, pemimpin IS yang diakui di Asia Tenggara, menawan bandar Marawi selatan dan melibatkan pasukan kerajaan dalam pertempuran selama lima bulan yang mengorbankan 1,200 orang, yang kebanyakannya militan. Hapilon adalah antara mereka yang terbunuh dalam pertempuran itu.

'Berketurunan Bangladesh' tidak sama dengan warganegara Bangladesh

Sementara itu, Khan menekankan bahawa ramai pejuang IS yang dikenal pasti sebagai warganegara Bangladesh dalam media antarabangsa adalah bukan rakyat negara itu walaupun mereka "berketurunan Bangladesh."

"Mereka tidak akan dibenarkan masuk ke Bangladesh," katanya.

Contohnya, Shamima Begum, yang menjadi tajuk berita selepas melarikan diri daripada keluarganya di London untuk pergi ke Syria pada 2015 ketika berumur 15 tahun dan berkahwin dengan seorang pejuang IS, telah disahkan sebagai warganegara Britain yang berketurunan Bangladesh.

"Dia tidak pernah pun melawat Bangladesh. Dia bukan rakyat kami," tegas Khan.

Para pegawai Bangladesh yang menangani anti keganasan sering menolak untuk bercakap mengenai IS. Tetapi, seorang pegawai di unit jenayah anti pengganas dan jenayah transnasional polis memberitahu BeritaBenar bahawa kira-kira 40 pemuda Bangladesh telah pergi ke Syria dan Iraq untuk berjuang bagi pihak IS.

Kerajaan tidak pernah mengakui kehadiran kumpulan militan itu di Bangladesh walaupun selepas militan mengaku bertanggungjawab untuk pembunuhan beramai-ramai di sebuah kafe Dhaka pada Julai 2016 - serangan keganasan paling dahsyat dalam sejarah negara itu.

Seramai 20 orang tebusan, dua anggota polis dan dua pekerja kafe serta lima anggota militan terbunuh dalam kejadian menawan kafe itu.

Dalam temu bual dengan akhbar Bangladesh, Prothom Alo, ketua anti pengganas polis, Monirul Islam, berkata rakyat Bangladesh yang pergi ke Syria dan Iraq untuk berjuang bagi pihak IS tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan Bangladesh.

"Beberapa orang yang pergi ke Syria telah cuba kembali ke tanah air. Gambar mereka dan data lain yang berkaitan telah dihantar ke pihak berkuasa lapangan terbang,"kata Islam. "Kami telah memberi arahan supaya memastikan mereka ditahan."

Seorang doktor Bangladesh, Rokonuddin Khandker dan isterinya, Nayeema Akter, serta anak perempuan mereka, Ramita Rokon dan Rezwana Rokon dan menantunya Saad Kayes, telah cuba kembali ke negara itu, kata pegawai anti keganasan kepada BeritaBenar.

Menurutnya doktor pergigian Arafat Rahman Tushar serta dua adiknya Ibrahim Hasan Khan dan Junaid Hasan Khan yang didakwa pergi ke Syria pada 2015 untuk berjuang dengan IS, juga cuba kembali ke Bangladesh.

Para pegawai penguatkuasa undang-undang percaya bahawa pejuang IS akan menimbulkan ancaman keselamatan di Bangladesh dengan menyertai kumpulan-kumpulan militan tempatan.

Rakyat Bangladesh yang pulang dari medan perang di Syria perlu disoal siasat dengan mendalam, kata penganalisis keselamatan Brig. Jen. Sakhawat Hossain kepada BeritaBenar.

"Mereka mesti dipisahkan daripada banduan biasa dalam penjara," katanya. "Kita perlu tahu apa yang membuatkan mereka mahu berjuang untuk IS."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.