Malaysia tidak iktiraf sekatan unilateral AS terhadap Hamas

Anwar Ibrahim berkata perdagangan dua hala mungkin terjejas jika Washington mengaitkan Kuala Lumpur dengan pembiayaan keganasan.
Minderjeet Kaur
2023.11.07
Kuala Lumpur
Malaysia tidak iktiraf sekatan unilateral AS terhadap Hamas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyampaikan ucapannya semasa perhimpunan solidariti kepada rakyat Palestin, di Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023.
[Hasnoor Hussain/Reuters]

KEMASKINI pada 11 pagi waktu tempatan ETS - 2023-11-08

Perdana Menteri Malaysia pada Selasa berkata negara itu akan terus mengekalkan hubungannya dengan Hamas dan berikrar tidak akan sesekali tunduk kepada ancaman sekatan 'unilateral', meskipun berdepan rang undang-undang Amerika Syarikat untuk menyekat para penyokong puak militan Palestin itu.

Anwar Ibrahim, yang lantang menyokong Palestin dalam kalangan pemimpin Islam dunia selepas pertempuran baharu meletus di Timur Tengah, memberi amaran bahawa perdagangan mungkin terjejas jika Washington mengenakan sekatan ke atas Kuala Lumpur di bawah rang undang-undang itu.

“Kita tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman, termasuk yang ini (ancaman sekatan),” katanya kepada Ahli Parlimen. “Ini adalah tindakan unilateral dan tidak sah kerana kita, sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan PBB.”

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada 1 Nov telah meluluskan Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas dan Kumpulan Pengganas Palestin Lain dalam undian dwipartisan 363-46. Akta itu kini menunggu pengundian di Dewan Senat.

Anwar berkata akta itu tidak akan mempengaruhi dasar atau keputusan Malaysia untuk terus menyokong Hamas, sambil menambah beliau telah menghubungi pemimpin negara Islam lain yang senada dan menyuarakan pandangan sama.

Malaysia, yang majoriti penduduknya beragama Islam, adalah penyokong tegar perjuangan Palestin dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Pemimpin tertinggi Hamas telah melawat Malaysia dan bertemu dengan beberapa perdana menteri terdahulu.

“Kita akan meneruskan hubungan dengan Hamas dan kita tidak menganggap Hamas sebagai sebuah organisasi pengganas. Sebaliknya, kita memberikan perbandingan yang jelas dan rasional, sama seperti pandangan kita terhadap pergerakan lain yang pernah berada di bawah program apartheid,” katanya.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata rakyat Palestin sedang berdepan tindakan penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.

“Justeru, apa yang berlaku ketika ini mewakili hak serta perjuangan rakyat Palestin yang sah dan itu menjadi asas pendirian kita,” kata Anwar.

Pada 31 Okt lepas, Anwar mendedahkan bahawa AS menghantar tiga nota bantahan kepada Malaysia selepas negara itu enggan melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas. Dua nota bantahan diterima pada 13 dan 30 Okt manakala yang ketiga dihantar kepada Nazri Aziz, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat di Washington.

07 MY-hamas2.jpg

Gambar-gambar tebusan warga Israel yang ditahan oleh militan Hamas ditayang pada dinding Kota Lama Baitulmaqdis, 6 Nov 2023. [Leo Correa/AP]

Kebimbangan pelaburan

Menerusi jawapan bertulis, Anwar berkata langkah meluluskan rang undang-undang itu hanya akan memberi kesan kepada Malaysia jika pentadbiran AS menyenaraikan negara itu sebagai antara pelabur asing yang terbukti telah memberikan sokongan kewangan dan material kepada Hamas atau gerakan Jihad Islam Palestin.

“Kemungkinan rang undang-undang ini diluluskan oleh Dewan Senat dan ditandatangani oleh Presiden Joseph Biden adalah tinggi susulan kecenderungan pro-Israel dalam kalangan majoriti anggotanya,” kata beliau.

Biden, yang berkunjung ke Israel pada pertengahan Oktober, telah berucap kepada rakyat Amerika sejurus kepulangannya.

“Kumpulan pengganas Hamas telah melakukan kejahatan yang tidak terperi di dunia. Tetapi apa yang menyedihkan ialah orang Yahudi tahu, mungkin lebih daripada apa yang diketahui oleh orang lain, bahawa tidak ada had kepada perbuatan keji yang ingin dilakukan jika mereka benar-benar mahu menyakiti orang lain,” katanya.

Biden berkata beliau sudah berbincang dengan Presiden Mahmoud Abbas daripada Pihak Berkuasa Palestin “dan mengulangi bahawa Amerika Syarikat kekal komited terhadap hak rakyat Palestin untuk menjaga maruah mereka serta menentukan nasib sendiri. Perbuatan kumpulan pengganas Hamas tidak melenyapkan hak rakyat Palestin dalam perkara itu."

Anwar berkata sebarang sekatan ke atas Malaysia mungkin memberi kesan dari segi penilaian terhadap kerajaan dan syarikat-syarikat AS di Malaysia sekali gus berpotensi menjejaskan peluang pelaburan di Malaysia.

Menurut laman sesawang Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah dagangan di antara Malaysia dan AS berkembang sebanyak 23.3 peratus kepada RM267.58 bilion (AS$60.70 bilion) pada 2022 berbanding RM216.97 bilion (AS$52.33 bilion) bagi tahun 2021.

Selain itu, syarikat-syarikat AS telah menyatakan hasrat untuk melabur sebanyak RM100 bilion (AS$21.4 bilion) dalam pelbagai sektor di Malaysia sejak 18 bulan lalu, demikian menurut Brian McFeeters yang pernah berkhidmat sebagai Duta AS ke Malaysia dari Februari hingga Ogos 2021.

Malaysia akan menggesa AS untuk menunjukkan teladan kepimpinan yang efektif dalam isu keselamatan antarabangsa dan konvensyen berkaitan, khususnya yang membabitkan keadilan berhubung isu kemanusiaan, kata Anwar.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.